Wednesday, October 17, 2012

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Menganiayai Bumiputera — UMNO

“Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah mengapa wang itu diperam (disimpan) sahaja tanpa digunakan untuk yang sepatutnya iaitu bina rumah mampu milik dan kos rendah kepada Bumiputera di Pulau Pinang...Saya kesal dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri (Lim) yang mengabaikan dan tidak mempedulikan nasib Bumiputera terutama orang Melayu di negeri ini.”
- Datuk Azhar Ibrahim

Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membelanjakan wang dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta didakwa adalah satu penganiayaan terhadap orang Melayu di negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata tindakan itu juga ternyata menunjukkan Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak mempedulikan nasib Bumiputera terutama golongan miskin dan tidak mempunyai rumah.

“Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah mengapa wang itu diperam (disimpan) sahaja tanpa digunakan untuk yang sepatutnya iaitu bina rumah mampu milik dan kos rendah kepada Bumiputera di Pulau Pinang.

“Saya kesal dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri (Lim) yang mengabaikan dan tidak mempedulikan nasib Bumiputera terutama orang Melayu di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang Mohd Nor Suhaili Jamali sebagai berkata Lim perlu memberi penjelasan mengenai tindakannya tidak membelanjakan wang Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta bagi membina rumah mampu milik atau kos rendah untuk rakyat.

Mohd Nor dilaporkan berkata wang itu sepatutnya dikembalikan semula kepada rakyat untuk dibina rumah mampu milik dan rumah kos rendah bagi golongan Bumiputera.

Azhar berkata kerajaan negeri boleh membina lebih 10,000 rumah mampu milik dan kos rendah dengan wang yang terdapat dalam akaun berkenaan tetapi tidak melakukannya.

Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang ditubuhkan pada September 2009 bertujuan mengakaunkan sumbangan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pemaju atau pihak lain.

Ia bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan aktiviti atau program yang berkaitan dengan pembelian atau pembangunan tanah, rumah, ruang komersial atau hartanah lain untuk manfaat penduduk Bumiputera.

Saturday, August 11, 2012

Apakah Pemansuhan Ordinan Darurat Satu Kesilapan Besar?

Oleh CHAN KIM HOE

Walaupun pada Khamis 19 Julai yang lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak andaian bahawa pembebasan tahanan punca jenayah meningkat, tetapi masyarakat awam secara amnya masih khuatir akan keselamatan diri dan kediaman mereka ekoran daripada pembebasan 1,473 banduan baru-baru ini.

Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu sekalipun melegakan sedikit tetapi jauh disudut hati, rakyat secara umumnya khuatir akan keselamatan diri mereka, anak-anak dan juga keluarga.

Rakyat masih berasa bimbang, peningkatan kes jenayah adalah disebabkan oleh keputusan kerajaan membebaskan tahanan tersebut di seluruh negara yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011.

Pembebasan dilakukan sejak beberapa bulan lepas ekoran pengumuman pemansuhan oleh kerajaan terhadap ketiga-tiga akta tersebut tahun lepas. Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan kesemua bekas tahanan yang dibebaskan akan dikawal serta tempat tinggal mereka juga akan dipantau. Tetapi ini masih tidak meredakan perasaan gelisah orang awam mengenai jaminan keselamatan mereka.

Pada pengamatan saya, ini semua berlaku kerana masyarakat secara umum pada mulanya mengambil mudah dan memandang ringan akan kepentingan akta-akta yang telah dimansuhkan itu. Sebahagian besar termakan dengan kempen supaya akta-akta itu dihapuskan tanpa mengambil kira akan kesan yang bakal terjadi akibat daripada pemansuhannya. Mereka menyokong kerana terpengaruh dengan kempen ke arah perlunya sebuah masyarakat sivil, ketelusan dan sebagainya.

Malangnya, jenayah adalah satu perkara yang bukan sahaja rumit tetapi memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Hanya polis yang mampu membuat keputusan yang tepat apabila berhadapan dengan penjenayah, bukannya kita orang awam yang tidak tahu apa-apa tentang aktiviti jenayah. Ini kerana tidak semua orang sanggup dan bersedia tampil ke hadapan untuk menjadi saksi dalam perbicaraan kes-kes jenayah kerana khuatir akan menjadi mangsa sasaran kumpulan kongsi gelap kerana mendedahkan aktiviti mereka.

Itulah mengapa akta-akta kediaman terhad dan buang negeri diwujudkan agar para penjenayah yang diketahui oleh polis terlibat dalam kes-kes jenayah tetapi tidak dapat dibuktikan menerusi proses undang-undang, dibendung kegiatan mereka menggunakan akta-akta ini.

Kini selepas akta-akta ini dimansuhkan, barulah orang ramai sedar betapa mereka telah melakukan kesilapan dengan mendesak agar akta ini dimasuhkan. Perasaan dan rasa gelisah ini juga kini wujud di kalangan masyarakat Cina dan India yang rata-rata kononnya dahulu menentang kuat kewujudan akta ini. Mereka juga sedar kini bahawa pemansuhan akta-akta berkenaan adalah satu kesilapan yang besar. Mereka tidak lagi berasa selamat selepas ia dimansuhkan.

MStar, 11 Ogos 2012

Wednesday, June 20, 2012

Rasakan...Kakitangan KUIN Serah Memo Kepada MB Kedah

Mohamed Taulan (tengah) menerima memorandum daripada Mohamad Azki Hafizi (kanan) sambil diperhatikan Dr Jamil (kiri).

Mengaku sajalah, tidak mampu mentadbir negeri dengan baik!!!

Terserlah kini Kerajaan Kedah yang diterajui PAS banyak kelemahannya.

Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) pun nak hidup. Tak kan nak makan buku atau telan komputer...

Hari ini lebih 60 kakitangan  Kuin  menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi Kuin mengenai ketidakpuasan hati terhadap pengurusan selain menuntut kebajikan mereka terbela berikutan kemelut yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Memorandum diserahkan oleh wakil kakitangan Kuin, Mohamad Azki Hafizi Ibrahim kepada Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, yang mewakili Menteri Besar merasmikan Majlis Budaya Kualiti Kuin.


Kesemua kakitangan hadir berpakaian serba putih sebagai simbolik kepada perjuangan mereka yang mahu membersihkan Kuin daripada unsur-unsur yang menafikan hak mereka.

Antara tuntutan yang dibangkitkan ialah Rektor Kuin, Profesor Datuk Dr Jamil Osman meletak jawatan kerana didakwa gagal berfungsi sebagai ketua jabatan yang adil serta menyiasat Insaniah Holdings dan anak syarikatnya.

Mohamad Azki Hafizi berkata, lima perkara asas yang dibangkitkan ialah penangguhan pelaksanaan pekeliling kerajaan membabitkan kenaikan gaji pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dan kenaikan kadar bantuan sara hidup.

“Perkara lain yang turut dibangkitkan ialah kemudahan ketika cuti sakit dan masalah kesihatan Rektor, menyiasat Insaniah Holdings, wujud nepotisme dalam Insaniah Holdings serta hubungan Kuin dengan Bina Darulaman Berhad (BDB),” katanya.

Salinan memorandum itu turut diserahkan kepada Canselor Insaniah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Pro Canselor Insaniah, Datuk Dr Abdul Halim Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, kakitangan Kuin turut mengemukakan memorandum tuntutan kepada Rektor apabila Kuin gagal membuat bayaran kepada bank dan institusi kewangan termasuk tunggakan gaji, yang didakwa berpunca daripada krisis kewangannya.

Kemelut Kuin mula mendapat perhatian apabila ia dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, April lalu.

Mahdzir sebelum ini mendedahkan Kuin berdepan krisis kewangan yang serius selain mendesak Azizan memperjelaskan peruntukan yang disalurkan.

Krisis ini tidak dapat disembunyikan lagi apabila Kuin didakwa meminta bantuan kewangan Menteri Besar Incorporated (MBI) sebanyak RM500,000 bagi menyelesaikan pembayaran gaji kakitangan bulan lalu.

Difahamkan, bayaran gaji kakitangan Mei dibuat dua peringkat iaitu gred 45 ke bawah dibayar terlebih dahulu manakala gred 45 ke atas dibayar selepas menerima bantuan MBI.

Ini bukan pertama kali kerana Kuin pernah memohon bantuan MBI sebanyak RM2 juta termasuk dari Syarikat Air Darul Aman (Sada) RM2 juta.

Sebelum ini, Mahdzir mendakwa antara punca krisis kewangan disebabkan anak syarikat Kuin gagal berfungsi selain menjadikan pelajar sebagai mangsa dengan mengenakan caj tinggi seperti yuran pengajian dinaikkan (RM60-RM200 jam/kredit), caj .

Sinar Harian