Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Saturday, June 2, 2012

Tsunami Selatan Akan Berpihak Keoada BN, Bukan Pembangkang


Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak tanggapan PAS kononnya tsunami selatan akan melanda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, menurut mereka, tsunami yang dikatakan itu akan memihak kepada BN dan yakin dengan sokongan rakyat, BN akan meneruskan penguasaan kerajaan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa tsunami selatan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang apabila pakatan pembangkang yakin akan menang di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata tsunami itu juga akan berlaku di selatan Semenanjung kerana tsunami dari arah utara sudah kering dan tepu.


Anggota Parlimen Jasin Melaka Datuk Ahmad Hamzah ketika menyangkal dakwaan PAS itu berkata pengaruh pembangkang sejak akhir-akhir ini sebenarnya semakin berkurangan dan menurun, tambahan pula rakyat semakin sedar terhadap apa yang dimomokkan kepada mereka sebelum ini hanyalah janji-janji manis belaka.

"Pada saya bercakap soal tsunami ini, tsunami sebaliknya akan berlaku yang mana rakyat akan menyokong parti dan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya memenangi kerusi-kerusi di Melaka dan membentuk kerajaan," katanya.

Katanya kesedaran rakyat adalah berpokok pangkal kepada inginkan kemajuan berterusan dan kesinambungan kepada usaha yang dilakukan kerajaan dengan pelbagai perancangan seperti program transformasi dalam pelbagai aspek dan sudut.

"Rakyat nampaknya tidak mengharapkan pembangkang untuk melakukan semua ini. Perjuangan pembangkang juga nampak tidak jelas langsung," katanya.

Anggota Parlimen BN kawasan Muar, Johor Datuk Razali Ibrahim berkata apa pun boleh diperkatakan oleh parti yang bertanding, tetapi tsunami yang didakwa akan berlaku di selatan itu tidak bersandarkan kepada sebarang alasan yang kukuh.

"Jika dia bersandarkan pada prestasi, saya tak nampak keyakinan rakyat kepada mereka kerana kerjasama mereka (pembangkang) amat rapuh. Mutu kerja pun jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan BN," katanya. Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata pembangkang cuma bersandarkan janji yang tidak pasti, termasuk mainan sentimen, emosi dan fitnah bagi mendapatkan sokongan.

Anggota Parlimen BN kawasan Jempol, Negeri Sembilan Datuk Lillah Yassin berkata jangkaan itu tidak akan berlaku kerana kekuatan BN di selatan adalah sokongan yang bergantung kepada undi orang Melayu.

"Di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan undi teras datang daripada orang Melayu, dengan sokongan masyarakat daripada kaum India dan Cina yang akan berpihak kepada BN.

"Sebahagian besarnya pula terdapat tanah rancangan Felda yang mana majoriti masyarakat Felda iaitu peneroka akan memberi sokongan kepada BN.

"Faktor lain pula, kesemua janji yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk rakyat sudah mula dinikmati oleh mereka. Mereka sangat bersyukur dalam hal ini," katanya.

Lillah berkata rakyat juga sekarang sudah dapat menilai dengan baik apabila pembangkang sendiri menghadapi masalah untuk menguruskan negeri yang mereka menangi pada pilihan raya umum yang lepas.

"Tidak ada jaminan masa depan untuk mereka di negeri-negeri berkenaan, jadi saya tak nampak bagaimana pembangkang dapat menubuhkan kerajaan di negeri-negeri terbabit," katanya.

Sunday, April 17, 2011

Realisasikan Transformasi Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) bersama Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu melaungkan hidup Barisan Nasional setelah meraikan kemenangan pada Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 di Kuching, Sabtu. - Foto BERNAMA


Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (MStar)


SEGALA ramalan dan telahan sudah terjawab. Keputusan pilihan raya Sarawak ke-10 yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) nyata sekali membuktikan tsunami politik yang melanda negara pada pilihan raya umum 2008 tidak berulang di Bumi Kenyalang ini.

Kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga membuktikan rakyat masih menaruh kepercayaan kepada corak kepimpinan parti itu terutama sekali bagi membela nasib mereka.

Rakyat Sarawak sekali lagi memberi isyarat bahawa atmosfera politik di negeri ini cukup berbeza dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Semenanjung.

Buktinya rakyat menolak cara berpolitik yang 'bertuhankan' kuasa ataupun bersifat peribadi kerana bagi mereka isu pembangunan sama ada fizikal dan rohani adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Menerusi keputusan pilihan raya Sarawak semalam, kemenangan BN dengan memperoleh 55 kerusi daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut memberi petanda tersendiri kepada parti berkenaan secara keseluruhan.

Walaupun rakyat masih mahu mengekalkan BN, namun secara tidak langsung mereka memberi ingatan kepada kepimpinan parti itu terutama dari sudut transformasi yang dilaung-laungkan.

Bagi BN sendiri, idea transformasi seharusnya dilihat dari pelbagai sudut bukan sahaja untuk mentranformasikan rakyat selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), namun ia juga perlu diamati dari aspek kepimpinan.

Kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud seharusnya sudah merasai getaran kehendak rakyat terutamanya bagi melihat generasi baru diberi kepercayaan memimpin Sarawak agar terus 'mansang' atau maju.

Selama 30 tahun pemerintahan Abdul Taib di Sarawak, beliau sudah banyak melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

Namun rakyat merasakan sudah tiba masanya beliau meletakkan beban yang dipikulnya selama ini kepada generasi baru selari dengan kehendak rakyat selaras dengan konsep gagasan 1Malaysia iaitu rakyat perlu didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Keseriusan kerajaan BN melakukan transformasi politik berjaya meleburkan slogan 'undi untuk perubahan' atau 'ubah' yang dibawa pakatan pembangkang.

Memang benar rakyat mahukan perubahan, tapi menariknya keinginan mereka itu bukan atas dasar membuta tuli mahu mengubah kepimpinan sedia ada kepada yang baru tanpa mempertimbangkan kemampuan sebenar pembangkang.

BN sendiri tahu, jumlah kerusi yang mereka menangi kali ini berkurangan berbanding pilihan raya 2006 apabila menang selesa dengan 63 kerusi.

Namun pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh melihat ia sebagai kebangkitan pembangkang di Sarawak ataupun indikator kepada sokongan rakyat terhadap penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Faktor Anwar' yang turut berkampung di Sarawak dengan siri ceramahnya langsung tidak menyumbang kepada kejayaan parti itu apabila hanya menang tiga daripada 49 kerusi yang mereka tandingi.

Pembangkang seharusnya melihat bahawa perubahan atau transformasi yang cuba dizahirkan rakyat pada pilihan raya kali ini bukan bermaksud mereka sudah bosan atau mual dengan kepimpinan BN namun ia hanya manifestasi ke arah perubahan angin kepimpinan.

Rakyat tahu masa depan mereka bukan bergantung kepada faktor individu sebaliknya bersandarkan kepada parti mana yang terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Kekalahan teruk Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) apabila hanya memenangi enam daripada 19 kerusi yang ditandingi adalah contoh baik kepada transformasi yang diinginkan rakyat.

SUPP, salah satu komponen BN di Sarawak menghadapi tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Tan tewas kepada calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau, Miri dengan majoriti 1,590 undi.

Ling memperoleh 5,998 undi manakala Dr Chan pula meraih 4,408 undi. Keputusan ini adalah kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri ke-10 bukan sahaja kepada parti itu malah kepada BN secara keseluruhannya.

Kepimpinan parti itu perlu menilai kembali faktor yang menyumbang kepada kekalahan mereka terutamya sekali ekoran tewas di tangan DAP khususnya di kawasan majoriti masyarakat Cina di bandar.

Semua peringkat kepimpinan SUPP perlu bermuhasabah mengenai kekalahan berkenaan dan perlu memikirkan jalan keluar kepada kebuntuan yang dihadapi mereka.

Masyarakat Cina pastinya mempunyai percaturan tersendiri apabila buat kali kedua menolak SUPP. Demi masa depan BN, Dr George perlu memberi laluan kepada muka baru yang lebih segar untuk menguruskan SUPP bagi memenangi semula hati rakyat.

Ketulusan Abdul Taib sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seharusnya diteladani apabila mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri dalam penggal kali ini.

Kesediaan memberi laluan kepada muka-muka baru menjadikan BN sebagai sebuah parti yang disenangi rakyat apabila meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Thursday, April 14, 2011

Najib Bukan Khuatir Tetapi Yakin BN Peroleh Dua Pertiga Kerusi Di Sarawak

Media alternatif sepatutnya tidak memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri mengenai keyakinan beliau akan menang dua pertiga kerusi dipertandingkan.

Tetapi itulah mainan pihak-pihak tertentu yang tidak mahu lihat Barisan Nasional (BN) menang cemerlang. Berikutan itu semalam, Perdana Menteri menjelaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai kemenangan dua pertiga kerusi pada pilihan raya Sarawak Sabtu ini walaupun menghadapi tentangan sengit pembangkang.

Perdana Menteri berkata kenyataan beliau mengenai perkara itu telah tidak dilaporkan sepenuhnya oleh media alternatif hingga mengambarkan BN khuatir tidak boleh memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerusi.

Menurut Najib, media alternatif telah memetik kenyataannya dalam konteks yang berlainan daripada apa yang beliau maksudkan.

"Jadi saya harap dengan penjelasan ini tidak ada keraguan lagi bahawa pendirian saya dengan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) adalah sama," katanya kepada TV3 dan Bernama di Kuching.

Berikut ialah kenyataan Najib mengenai penjelasan itu:

PERDANA MENTERI: Saya hendak menegaskan bahawa saya yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai majoriti dua pertiga (kerusi) dalam pilihan raya kali ini walaupun pilihan raya ini saingannya lebih sengit daripada pilihan raya yang lalu tetapi berdasarkan pada pengamatan dan tinjauan saya dua pertiga itu memang mampu diperolehi oleh BN. Saya telah cuba perjelaskan pada pagi tadi bahawa dalam amalan demokrasi tujuan kita ialah untuk menubuhkan kerajaan, itu matlamat yang paling minimal dan dua pertiga ini saya kata sebagai bonus, tetapi bonus yang mampu dicapai oleh kita. Jadi ada pihak telah menyalahtafsirkan kenyataan saya kononnya kita (BN)sudah khuatir, dah goyang, dua pertiga tak mungkin dicapai. Itu tidak benar.

SOALAN: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri, mesej Datuk Seri kepada pengundi?

PERDANA MENTERI: Saya ingin menasihatkan pada pengundi-pengundi di Sarawak ialah untuk kekalkan Barisan Nasional sebagai parti pilihan mereka sebab track record kita dan kemampuan kita dan hala tuju kita tidak ada siapa pun boleh pertikaikan dan dengan ini pentingnya kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebab negeri Sarawak ini besar dan memerlukan sumber yang banyak hanya kalau kita mempunyai kerjasama yang erat bahawa rasanya masa depan Sarawak akan lebih terjamin lagi. Jadi saya harap para pengundi jangan terpesong atau termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pembangkang, tetapkan pendirian mereka bahawa pilihan untuk masa depan mereka dan kemakmuran rakyat dan negeri Sarawak adalah dengan Barisan Nasional.

Sunday, November 28, 2010

'THIRD FORCE' - PKR BERDEPAN CABATAN ZAHID

MStar Online (Sabtu November 27, 2010
Tajuk asal - Fenomena 'Third Force': BN Tak Rugi, PKR Tak Untung


Fenomena third force atau boleh diterjemahkan sebagai kuasa ketiga nampaknya melanda lagi politik negara sama ada di pihak parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Dalam pakatan pembangkang atau lebih tepat lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), gelombang third force ini telah melanda parti itu dan diakui sendiri oleh Timbalan Presidennya, Senator Dr Syed Husin Ali.

Semasa merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Jumaat beliau berkata, ada percubaan untuk membentuk kelompok third force dan kalau terjadi, ia boleh memberi nafas baru kepada Umno dan BN.

Syed Husin seolah-olah mahu berkongsi kebimbangan dengan ahli-ahli wanita dan pemuda PKR apabila mengakui bahawa kelompok itu bakal menyulitkan Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sebenarnya, gelombang kuasa ketiga ini bukan perkara baru dalam Umno khususnya tetapi ia berlalu begitu pantas sebelum lenyap begitu sahaja.

Pada tahun 1987 berlaku krisis kepimpinan apabila Tengku Razaleigh Hamzah - yang tewas tipis kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan nombor satu parti dengan 761 berbanding 718 undi - keluar dari Umno dan menubuhkan Semangat 46 pada tahun 1989.

Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pada ketika itu merupakan Menteri Kewangan dalam Kabinet Dr. Mahathir keluar dari parti pemerintah selepas yakin beliau memiliki kekuatan tersendiri yang mampu menggugat Umno ketika itu - parti yang dianggap bukan Umno sebenar selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 mengharamkannya.

Gelombang kuasa ketiga amat dirasakan Umno ketika itu dengan penubuhan Semangat 46 tetapi hayatnya tidak panjang apabila mula berganding dengan pembangkang mengakibatkan ramai ahlinya kembali kepada Umno.

Akhirnya parti serpihan Umno itu dibubarkan dan Ku Li sendiri menyertai semula Umno pada tahun 1996.

Umno berdepan dengan Semangat 46 pada ketika seperti dua lembu jantan yang berlaga di tengah-tengah gelanggang. Arena politik pada ketika menyaksikan pertembungan seperti Umno-'Umno' sehinggalah Semangat 46 tersungkur.

Tetapi nada berbeza ditunjukkan PKR apabila mahu berdepan dengan kuasa ketiga mereka.

Syed Husin yang berpengalaman luas dengan sepak terajang politik berpendapat, kelompok itu perlu ditangani secara bijaksana.

""Kita tak perlu tepikan terus, kita perlu bincang," itu katanya ketika ditanya bagaimana pakatan pembangkang mahu berdepan dengan kumpulan itu.

Beliau tidak mahu kelompok itu seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dianggap sebagai kuasa ketiga kepada Umno oleh Dr. Mahathir pada ketika ini.

"Tapi kita tak mahu kalau ada third force dalam Pakatan, yang akhirnya akan menguntungkan parti lawan," katanya.

Seolah-olahnya Syed Husin 'merestui' kuasa ketiga dalam PKR tetapi pastikan ia tidak memberi kelebihan kepada Umno.

Siapakah kuasa ketiga itu? Kelompok berkenaan banyak dikaitkan dengan bekas Pengerusi PKR Wilayah Pesekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid dikenali dengan ketegasan prinsipnya. Semasa dalam Umno beliau cuba menegakkan kehendaknya dan akhirnya melatak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum menyertai PKR.

Perjalanan politik Zaid dalam PKR agak pendek tetapi penuh warna-warni. Beliau berjaya membina pengaruh dalam masa yang singkat - tidak sampai 18 bulan.

Dicalonkan sebagai wakil PKR pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebelum tewas kepada BN yang diwakili P. Kamalanathan namun beliau tidak berhenti di situ.

Bagi memastikan momentumnya dalam PKR tidak hilang, Zaid menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden bersaing dengan anak emas Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Azmin Ali.

Maka pengisytiharan 'perang' pun bermula antara Zaid dengan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak. Tetapi stamina Zaid tidak bertahan lama apabila secara mengejut menarik diri dari pertandingan seterusnya meletakkan semua jawatan dalam parti diikuti bertindak keluar dari PKR.

Semua tahu alasannya.

Dan yang terakhir pada malam Sabtu, bekas calon Timbalan Presiden PKR itu mengumumkan penubuhan parti baru pada Januari ini.

"Yang pasti ‘Keadilan’ tidak akan digunakan dalam parti baru ini. AKIM (Angkatan Keadilan Insan Malaysia) pun bukan... Ia parti baru dengan nama baru yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan semua pihak,” jelasnya.

Walaupun begitu, penganalisis politik berpendapat Zaid bukanlah kuasa ketiga dalam PKR. Beliau diibaratkan tidak akan menjadi ancaman kepada sama ada Pakatan Rakyat atau BN.

Fenomena kuasa ketiga ini tidak pernah panjang dalam sejarah politik negara. Kelompok itu tidak akan kekal dalam kancah politik jika tiada penggantungan kepada pakatan pembangkang ataupun BN.

Kuasa ketiga kali ini umpama pakatan pembangkang kehilangan sesuatu yang tidak menguntungkan BN.

Sunday, November 14, 2010

BARISAN NASIONAL - ANTARA KEMELUT & KESTABILAN

Utusan Malaysia 14 November 2010

Nik Aziz - liabiliti kepada PAS?

UNTUK seketika selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Barisan Nasional (BN) menjadi tumpuan arena politik negara.

Ia berikutan pencapaian terburuknya dalam sejarah pilihan raya apabila kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan terlepas genggaman kekuasaan di tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Kedah sementara Pas terus memerintah di Kelantan.

Kedudukan BN dikatakan semakin tergugat apabila dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan beberapa bulan selepas pilihan raya umum 2008, parti itu tewas.

Antaranya termasuklah di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) BN kecundang di Bukit Selambau, Permatang Pasir dan Manek Urai. Semua itu menyebabkan pakatan pembangkang yang disertai oleh PKR, DAP dan Pas mula bercita-cita tinggi untuk menawan Putrajaya.

Mereka menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai sasaran kononnya untuk 'mentalkinkan' BN. Pembangkang juga menguar-uarkan sejarah politik dunia menunjukkan sebuah parti yang memerintah terlalu lama tidak akan bertahan dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Jepun dan India.

Berikutan itu maka ramailah yang resah apakah benar hala tuju politik negara akan berubah pada pilihan raya umum akan datang. Ada ketika seolah-olah kita semua sudah dibelenggu kebimbangan BN tidak akan berkuasa lagi selepas pilihan raya berkenaan. Tetapi senario sejak kebelakangan ini seharusnya memberikan isyarat kepada pembangkang bahawa rakyat negara ini tidaklah selama-lamanya akan terperangkap dengan agenda politik sempit mereka.

Kegigihan dan kesungguhan kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melakukan transformasi kepada pemerintahan negara mula dilihat menarik hati rakyat.

Isyarat diterima di DUN Bagan Pinang dan Galas, Parlimen Hulu Selangor dan Batu Sapi. Jangan lupa DUN Batang Ai sebelumnya.

Walaupun terlalu awal untuk dijadikan ukuran namun ia sekurang-kurangnya menyuntik semangat kepada BN untuk terus berusaha mengembalikan sepenuhnya sokongan rakyat kepada mereka.

Apa yang berlaku di dalam pakatan pembangkang sekarang termasuklah cara mereka memerintah di negeri-negeri yang dikuasai sudah membuktikan kestabilan negara dalam pelbagai bidang akan tergugat.

Masa depan rakyat tidak boleh dipertaruhkan kepada satu pakatan yang dianggotai tiga buah parti yang ibarat biarpun tidur setilam dan sebantal tetapi selimut berbeza dan mimpi lain-lain.

Tindakan-tindakan mereka bagaikan 'kera mendapat bunga' setelah diberi kuasa akibat protes rakyat kepada BN pada tahun 2008 telah membuktikan pakatan berkenaan masih belum layak disandarkan harapan memerintah negara ini.

Lihatlah bagaimana sebuah parti yang mengaku demokratik tetapi dilihat memerintah penuh rasis di Pulau Pinang, sekutunya pula menggunakan nama keadilan tetapi tindakan mereka sendiri tidak adil hatta dalam parti sendiri manakala teman mereka, sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi tindak-tanduk tidak mencerminkan keadaan itu.

Mengulas perkara ini seorang penganalisis politik terkenal di utara tanah air berkata, rakyat sudah melihat bagaimana situasi dalam pakatan pembangkang dan ia seharusnya memberikan mereka ruang untuk menilai.

''Memang dulu BN ada masalah, namun kepimpinan Najib telah memperlihatkan kesungguhan untuk atasi semua isu-isu besar yang membelenggu UMNO dan BN.

''BN khususnya UMNO kini tampil jauh lebih bertenaga dan dinamik serta kukuh berbanding pakatan pembangkang yang semakin berkecamuk,'' katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana Pas kini dibelenggu pemikiran yang berkecamuk dan hala tuju tidak jelas sehingga menimbulkan persoalan apakah mereka kini berada di landasan yang betul atau tidak.

''Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata menjadi liabiliti besar kepada Pas.

''Oleh itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden mesti berani menguasai Pas dan melebarkan pengaruh beliau seperti era 80-an dulu,'' katanya.

Mengenai PKR, beliau berkata parti sudah menjadi parti yang semakin hari semakin hilang taring dan kredibilitinya.

''Pakatan pembangkang nyata sebuah marriage of convenience yang cacamarba. Negara akan lebih berkecamuk jika mereka berpeluang memerintah. Keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara akan hancur berkecai di tangan mereka,'' katanya.

Dalam situasi dunia yang semakin mencabar kini, negara sememangnya tidak boleh lagi terjebak dengan ketidakstabilan atau ketidaktentuan politik seperti mana dialami pada tahun 2008.

Sikap marah, protes dan benci sehingga sanggup menggadaikan masa depan negara dengan mengundi pakatan pembangkang yang berjaya mengabui mata rakyat melalui mainan politik persepsi harus dihentikan.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat, di tangan mereka penentu sama ada mereka hendak memilih kestabilan atau kekacauan. Kestabilan politik negara perlu dipertahankan, mereka sudah melihat apa yang terjadi apabila pembangkang mempunyai secebis kuasa.

Ketika diminta mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, perbezaan teras perjuangan menjadi satu petanda utama bahawa tidak wujud satu persefahaman yang jelas akan hala tuju sebenar pembangkang untuk membawa negara ini jika ditakdirkan mereka berjaya membentuk kerajaan pada suatu masa nanti.

''Pelbagai polemik telah berlaku dari semasa ke semasa yang menjadi tontonan rakyat. DAP dilihat semakin ketara tidak kasihnya kepada orang Melayu sebagaimana yang banyak didedahkan di Pulau Pinang. Manakala di Perak pula, pemimpin-pemimpin parti itu mula bergaduh sesama sendiri. Semua kerana kuasa dan pengaruh.

''Pas pula, walaupun mempunyai kapasiti untuk mempengaruhi orang Melayu dengan kekuatan falsafah politik dan teras perjuangan mulai dilihat oleh masyarakat Melayu akhir-akhir sebagai parti yang hanya menjadi pak turut semata-mata dalam pakatan.

''PKR sebagaimana yang semua ketahui sudah pun berada di ambang kehancuran yang berlaku bukan diakibatkan oleh pihak luar tetapi adalah kerana faktor dalaman mereka sendiri,'' katanya.

Oleh itu, kata beliau, rakyat perlu melihat kesungguhan Perdana Menteri yang menunjukkan kualiti kepimpinan dan kebijaksanaan beliau dalam merancang strategi-strategi untuk negara baik dari segi ekonomi, politik dan pembangunan masyarakat

''Pembaharuan yang cuba diketengahkan dalam bentuk Pelan Transformasi Negara yang mencakupi dimensi ekonomi, sosial dan terakhir politik telah membuka mata banyak pihak akan keseriusan kerajaan untuk mengembalikan semula kehebatan negara sebagaimana yang pernah kita kecapi suatu masa dahulu terutamanya di era Tun Dr. Mahathir Mohamad,'' kata Ahmad Masrizal.

Sememangnya rakyat sudah melihat kesungguhan kerajaan BN untuk membawa negara ke arah lebih berjaya bersandarkan kepada gagasan 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.' Mereka tidak boleh lagi terpedaya dengan perjuangan pakatan pembangkang yang berteraskan kepada prinsip untuk merebut kekuasaan semata-mata. Tindakan pembangkang yang tidak mengotakan segala janji seperti mana diuar-uarkan ketika pilihan raya umum lalu membuktikan masa depan negara tidak boleh digadaikan kepada kelompok seumpama ini.

Bagaimanapun BN terutamanya pemimpin serta ahli UMNO perlu konsisten dalam memenuhi agenda perubahan yang sedang diusahakan oleh Najib bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Rakyat sedar UMNO adalah tunjang kepada kekuatan BN. Keutuhan UMNO adalah kunci kejayaan BN. Oleh itu pemahaman ahli UMNO terhadap aspirasi Najib dan Muhyiddin yang dilihat masih lagi pada tahap sederhana haruslah dipertingkatkan demi untuk kelangsungan kepimpinan BN,'' kata Ahmad Masrizal.

Apa pun segalanya terserah kepada rakyat untuk menilai dan membuat keputusan. Mereka mempunyai dua pilihan sama ada ingin terus menyaksikan kemelut di pembangkang yang haru-biru kerana mendapat kuasa atau bersama-sama kerajaan BN meneruskan agenda kesejahteraan untuk rakyat dan negara.

Pokoknya, rakyat tidak boleh lagi bergantung atau menaruh harapan kepada 'roket' yang rakus bila ditambah kuasanya atau 'mata' yang sentiasa buta untuk menunaikan janji atau kepada bulan yang tidak akan dominan cahayanya kerana sekadar menurut.

Cukup-cukuplah arena politik negara dilihat berada dalam ketidakstabilan akibat mainan politik pembangkang. Senario ini perlu diubah dengan menjadikan kesungguhan BN untuk membawa kesejahteraan rakyat sebagai sandaran. Adalah sesuatu yang malang apabila negara ini terus berada dalam suasana politik tidak menentu sedangkan negara-negara lain sedang berlumba-lumba untuk menjadi negara maju.

Kestabilan politik, kemakmuran yang diusahakan dan kesejahteraan yang hendak dicapai melalui agenda kerajaan BN tidak harus disia-siakan. Mereka perlu mengingati pesanan Najib ketika menghadiri majlis kesyukuran di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin antara lain beliau berpesan,''

''Dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka. Banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa. Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai.''

Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri sudah dirasai oleh sebahagian besar rakyat yang melontarkan undi mereka kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu. Semoga mereka menginsafi kesilapan berkenaan dan mengembalikan nikmat yang hilang itu demi masa depan negara serta rakyat keseluruhannya.

Sunday, October 11, 2009

BN ada peluang cerah tawan DUN Bagan Pinang - Penganalisis politik

Sumber: mStar

Proses berkempen sudah tamat. Pagi ini, mulai jam 8.00 pagi akan bermula pengundian.

Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan hari ini.

Beberapa penganalisis politik tempatan berpendapat PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil ini tidak berjaya menimbulkan keraguan kepada pengundi walaupun menggunakan faktor isu peribadi calon BN dan pembangunan setempat.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein, beliau meramalkan kemenangan bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan berpihak kepada BN berdasarkan beberapa faktor.

Pertamanya menurut beliau faktor calon yang popular dan diterima penduduk tempatan memberikan kelebihan kepada BN.

"Secara dasarnya kita menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada BN walaupun calonnya pernah menghadapi masalah dalam laluan politiknya sebelum ini.

"Rakyat Negeri Sembilan khususnya di Bagan Pinang pastinya akan mengenangkan jasa dan sumbangannya kepada penduduk setempat dengan membawa banyak pembangunan," katanya kepada mStar Online.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dan PAS diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal September lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Ahmad Atory, berdasarkan hasil kajiannya terhadap trend pengundian bagi pengundi di kawasan Pantai Barat semenanjung Malaysia, rakyat lebih mengutamakan faktor calon yang mampu membawa kemajuan dari segi pembangunan.

Jelasnya keadaan ini berbeza dengan pengundi bagi kawasa Pantai Timur yang lebih mementingkan faktor agama.

"Jadi di sini jelas bahawa Mohd Isa telah terbukti dari segi keupayaan kepimpinannya untuk membangunkan Negeri Sembilan Port Dickson.

"Namun faktor ini masih belum dapat dibuktikan oleh calon PAS... ini mungkin menjadi faktor penyekat untuknya," katanya.

Ditanya sama ada faktor sejarah politik Mohd Isa seperti yang dibangkitkan PAS akan mengubah pendirian pengundi terhadap BN, Ahmad Atory berkata beliau yakin isu tidak tidak begitu memberi kesan kepada BN.

"Mana ada orang yang benar-benar sempurna, memang benar beliau pernah melakukan kesalahan... tapi itu cerita lama.

"Malah kalau kita hitung dari segi sumbangannya kepada rakyat Negeri Sembilan amnya dan penduduk Bagan Pinang khusnya, saya yakin faktor kebaikkan Mohd Isa akan menenggelamkan keburukkannya.

"Inilah kelebihan calon BN kali ini, kalau dalam pilihan raya kecil sebelum ini orang lebih nampak perkara-perkara tidak elok calon BN, tapi kali ini senarionya berbeza... kebaikkan Mohd Isa mengatasi segalanya," katanya.

Selain itu Ahmad Atory juga berkata faktor undi pos di kalangan anggota tentera dan polis juga memberi kelebihan untuk BN.

"Kita tak boleh tolak faktor kelebihan dari segi undi pos ini buat BN, sebab itulah PAS begi memberi perhatian kepada soal ini.

"Saya sangat yakin bahawa secara lazimnya kakitangan kerajaan sudah pasti akan menyokong kerajaan yang memerintah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tidak timbul faktor wujudnya penyelewengan dan pecah amanah di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempengaruhi undi pos hingga memihak kepada BN seperti yang didakwa PAS.

"Saya yakin soal SPR tak telus itu tidak timbul, SPR dan buat kerja mereka dengan baik dan telah melakukan banyak transformasi dari segi pengendalian pilihan raya.

"Tak perlu timbulkan terlalu banyak keraguan terhadap mereka, dalam hidup ini kalau asyik tak percayakan orang sahaja susah juga... susah nak hidup," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman juga berpendapat BN dilihat mempunyai laluan mudah dalam pilihan raya kecil kali ini.

Katanya peluang untuk BN memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah melebihi 50 peratus.

"Ada beberapa faktor yang memberi peluang kepada BN iaitu majoriti penduduk di Bagan Pinang adalah Melayu yang pastinya menyokong Umno.

"Manakala bagi PAS mereka sememangnya mengharapkan undi di kalangan kaum Cina dan India... tapi jumlah itu tidak besar," katanya.

Selain itu, Ahmad Nizamuddin juga berpendapat faktor undi pos akan memihak kepada BN.
"Perkara ini sukar untuk kita sangkal kerana kebiasaannya pengundi pos akan menyokong kerajaan.

"Oleh itu kita tak boleh meletakkan andaian bahawa jika mereka menyokong kerajaan bermakna mereka ini telah ditekan atau menerima ugutan... kebiasaannya kita akan memberi sokongan kepada pemimpin kita," katanya.

Tambah Ahmad Nizamuddin, beliau yang sempat meninjau perjalanan proses berkempen di Bagan Pinang beberapa hari lalu mendapati sokongan penduduk terhadap BN masih kuat.

"Pada zahirnya boleh dikatakan penduduk setempat menyokong BN memandangkan parti itu telah banyak melakukan transformasi mengikut kehendak rakyat.

"Jelas sekali BN telah melalui proses perubahan yang cukup ketara bagi memenangi kembali hati rakyat," katanya.

Saturday, September 5, 2009

ADUN TERENGGANU BUKAN ‘WAKIL RAKYAT’?

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.teganuku.blogspot.com)

Bagi saya, sikap negatif (wakil rakyat BN) sedemikian memburukkan keadaan dan kalaupun ‘marah’ dengan Menteri Besar, mereka perlu sedar bahawa mereka tetap milik rakyat kerana rakyat yang mengundi mereka. Atau apakah mereka menerima arahan daripada pucuk pimpinan di Putrajaya supaya memboikot sidang DUN untuk memalukan Ahmad Said?

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 24 Ogos lalu, berkata mana-mana wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau DUN perlu memahami bahawa antara tugas mereka ialah untuk menghadiri sesi sidang dewan.

''Tidak boleh tidak menghadirinya kecuali ada sebab. Budak-budak taman didikan kanak-kanak pun apabila ibu bapa tidak menghantar mereka pergi ke sekolah, guru akan tanya kenapa.

''Apatah lagi di peringkat lebih atas seperti sekolah menengah dan Parlimen, kita perlu memberikan sebab-sebabnya jika tidak dapat hadir," tegas beliau.

Kerana itu, adalah menarik untuk dilihat kes Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Siputeh, Kedah,yang dianggap kosong kerana mendakwa penyandangnya melanggar Artikel 51 UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri.

Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional (BN), yang menjadi wakil rakyat Kota Siputeh selama penggal keempat berturut-turut, didapati tidak menghadiri dua kali berturut-turut persidangan DUN pada 9 April dan 9 Ogos lepas tanpa kebenaran.

Artikel 51 menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri tidak hadir dengan kebenaran Speaker dua kali mesyuarat berturut-turut, maka tempatnya hendaklah menjadi kosong.

Isu itu timbul selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Kota Siputeh pada 17 Ogos lepas.

Itu di Kedah. Di Terengganu pula, isunya bukan sahaja tidak hadir tetapi memboikotnya. Ini terjadi pada sidang DUN Mei lalu.

Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Alasan sudah diketahui umum kenapa boikot dibuat. Malah ekoran daripada peristiwa itu, perbicaraan akan dilangsungkan di mahkamah gara-gara isu sms ugut bunuh.

Itu boikot dengan tidak menghadiri sidang.

Tetapi pada Sidang DUN terbaru – Selasa dan Rabu lalu (25 dan 26 Ogos 2009 lalu) , beberapa wakil rakyat BN daripada UMNO, bagaikan ‘memboikot’ persidangan.

Kenapa? MEREKA TIDAK MENGAMBIL BAHAGIAN PADA SESI PERTANYAAN LISAN atau juga PERBAHASAN.

Dari 13 orang ADUN hanya wakil Permaisuri, Abd Halim Jusoh yang mengemukakan satu soalan sahaja pada hari pertama persidangan.

Amat wajar jika Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan tindakan wakil rakyat BN yang bersikap demikian.

Apabila pemberita bertanyakan beliau mengenai ketiadaan penyertaan wakil rakyat BN dalam mengemukakan soalan dan sesi perbahasan, Ahmad Said tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak berupaya mengawalnya.

“Saya nak buat macam mana, saya bukan ada ‘remote control’ boleh kawal, biarlah rakyat menilainya.

“Mereka itu wakil rakyat, dewan (DUN Terengganu) bersidang tiga kali setahun. Jadi inilah masanya mereka (ADUN) kemukakan masalah dan perjuangkan hak kawasan masing-masing,” jelasnya pada sidang akhbar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, 26 Ogos lalu.

Ini bukan kali pertama. Pada sidang Mei lalu, juga tidak ada soalan lisan daripada wakil rakyat BN.

Untuk setiap enakmen yang dibentangkan oleh Ahmad Said – termasuk peruntukan tambahan perbelanjaan, tanah bagi orang Melayu atau juga perkara lain, hanya dua anggota dewan BN bangun, iaitu Adun Tepuh dan ADUN Air Putih untuk menyatakan “Saya Menyokong’ untuk bacaan-bacaan bagi dua usul.

Bagaimanapun, kedua-duanya juga tidak membahasakan sebarang usul.

Jelas kesemua 13 ADUN BN mengambil tindakan membisu dan tidak menyatakan sebarang pendapat melalui perbahasan – menentang atau menyokong usul dan enakmen yang dibentangkan secara sengaja.

Adalah sesuatu yang aneh apabila usul Menteri Besar tidak dibahaskan oleh ADUN BN umpama rang undang-undang di Dewan Rakyat tidak dibahas oleh ahli Parlimen BN.

Secara jujur, inilah kali pertama saya melihat kejadian ‘memboikot’ seperti ini sama ada di Dewan Rakyat atau mana-mana sidang DUN sejak 25 tahun yang lalu.

BN Terengganu kini mempunyai 24 ADUN ( 1 Menteri Besar, 10 Exco dan 13 wakil rakyat) sementara PAS mempunyai 8 wakil di DUN Terengganu dan Datuk Harun Taib sebagai Ketua Pembangkang.

Persoalannya, kenapa wakil rakyat BN (UMNO) tidak mahu mengambil bahagian dalam soal jawab, perbahasan dan sebagainya?

Apakah isu yang dibawa oleh BN pada sidang itu tidak membabitkan rakyat? Apakah mereka sudah menyelesaikan semua tuntutan rakyat?

Contohnya dalam isu tambahan peruntukan dan enakmen membolehkan tanah orang Melayu digadai di Setiu, apakah ini tidak relevan untuk mereka bahaskan?

Kenapa ADUN PAS pula yang mengambil bahagian dan memberikan pandangan dan langsung tiada daripada wakil BN?

Atau mereka ini hanya Ahli Dewan Undangan Negeri yang profesyen mereka hanya makan gaji dan bukan ‘wakil rakyat’ yang mampu berbahas, mengemukakan pandangan serta berfungsi sebagai wakil rakyat pada sidang DUN.

Bagi saya, sikap negatif sedemikian memburukkan keadaan dan kalaupun ‘marah’ dengan Menteri Besar mereka perlu sedar bahawa mereka tetap milik rakyat kerana rakyat yang mengundi mereka.

Atau apakah mereka menerima arahan daripada pucuk pimpinan di Putrajaya supaya memboikot sidang DUN untuk memalukan Ahmad Said?

Jika tidak, apakah pucuk pimpinan melihat telatah wakil rakyat BN ini sebagai sesuatu yang wajar dilakukan?

Atau pucuk pimpinan UMNO dan Putrajaya merestui tindakan seperti ini sebagai precedent kepada negeri-negeri lain jika mereka menentang atau tidak bersetuju dengan Menteri Besar ?
Jika mereka ‘wakil rakyat’ mereka akan membawa masalah atau permintaan rakyat ke DUN, iaitu tempat paling ‘mulia’ berbicara, berbahas dan mengemukakan pendapat.

Namun, ternyata ADUN UMNO Terengganu mungkin melihat sidang DUN bukan tempat meluahkan perasaan atau pesanan rakyat kawasan mereka sebaliknya suatu persidangan biasa yang tidak penting pun untuk mereka.

Kalau mereka merasakan sidang DUN penting, mereka pasti tidak akan memboikotnya – sama ada secara tidak datang atau langsung tidak mengemukakan soalan lisan dan berbahas di atas kepentingan rakyat bagi isu, usul atau enakmen yang dibentangkan.

Lagipun, kalaupun mereka ini memboikot sidang DUN dengan apa cara sekalipun, apa yang boleh dilakukan oleh UMNO Pusat, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri atau Menteri Besar?
Ini kerana sebelum ini pun, tiada apa-apa amaran atau tindakan susulan dikenakan.

Apakah kejadian boikot yang berlaku pada sidang DUN ini ‘tidak besar’ atau tidak penting bagi UMNO Pusat atau Putrajaya sehingga kesemua mereka terlepas begitu sahaja?

Yang penting bagi mereka - biar Ahmad Said malu dan mesej mereka sampai bahawa kemelut politik UMNO di Terengganu sebenarnya masih panas walaupun Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata ia sudah reda.

Melihat apa yang berlaku pada sidang DUN dua hari itu, apa yang diperkatakan oleh Hishamuddin itu tidak benar.

Kita menunggu apa lagi silap mata kumpulan yang menentang Ahmad Said akan lakukan selepas ini?

Wednesday, February 25, 2009

DAP LAGI BAIK DARIPADA PAS, PKR

Bukan Zin sahaja tetapi kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.

Soal menurun atau menghapuskan bayaran tol bukan kerja seorang Menteri Kerjaraya semata-mata. Ia keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) seluruhnya.

Apapun, kita puji langkah DAP kerana tahu menghargai usaha kerajaan hapus tol.

Bagaimanapun, kita sanjung usaha yang dibuat oleh Zin untuk mencadangkan perkara ini dan kementeriannya bekerja keras untuk memujuk kerajaan bersetuju dengan langkah itu.

Yang menarik, usaha kerajaan ini dihargai oleh DAP.

Bukan macam rakan Pakatan Rakyat yang dua lagi – PAS dan PKR – yang tahu hentam saja.
Usaha kerajaan dihargai apabila DAP semalam memuji tindakan kerajaan menghapuskan kutipan tol di dua plaza di Kuala Lumpur dan langkahnya untuk mendeklasifikasi kebanyakan perjanjian konsesi tol lebuh raya.

Timbalan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata: "DAP ingin mengucap tahniah kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Mohd Zin Mohamed) atas usahanya untuk mendeklasifikasi(perjanjian) dan menghapuskan tol di dua plaza dalam dua minggu lalu".

Pua menyatakan ini kepada pemberita sebagai reaksi terhadap pengumuman Mohd Zin semalam yang kutipan tol di Plaza Salak Jaya di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), dihapuskan sejak tengah hari semalam.

Kutipan tol di plaza Petaling Jaya Selatan 2 (PJS 2) menghala ke Kuala Lumpur di New Pantai Expressway (NPE) telah dihapuskan pada 13 Februari lalu.

Pua berkata kerajaan juga perlu mengkaji keperluan menghapuskan kutipan tol di tempat lain seperti di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Butterworth-Kulim Expressway menjelang 2016.

Thursday, October 9, 2008

NAJIB JANGAN TERLALU YAKIN

Oleh Putera Gunung Tebu

Hari ini geger seluruh negara apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Ini sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

Saya ulangi selepas itu.
Perdana Menteri yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru pada pemilihan parti kira-kira enam bulan lagi mahu Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

Maka banyaklah komen. Pembangkang kata Abdullah bertanggungjawab. Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap akan kukuhkan kembali UMNO. Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Abdullah itu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, semua pihak yang terbabit dalam pentadbiran kerajaan harus terus saling membantu dalam menjalankan semua program yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya BN.

Malah, komen-komen mengatakan ini akan membuka ruang kepada Najib menjadi Perdana Menteri mulai Mac nanti. Betulkah?
Baca komen berikut untuk kita menilai semula pengumuman Abdullah semalam:
Komen 1 oleh blog http://hambali1.blogspot.com

ABDULLAH KHIANATI NAJIB?

Datuk Seri Mohd Najib Razak akan hanya akan dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.
Itupun kalau beliau menang jawatan Presiden UMNO.

Najib menerima jawatan bukan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman menyerahkan kepada ayahandanya, Tun Razak Hussein atau cara Allahyarham Tun Hussein Onn menyerahkannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Dr Mahathir menyerahkannya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Permainan apakah yang sedang berlaku sekarang? Bagaimana kalau ada yang mencabar Najib dan Najib kalah?
Seperti saya katakan sebelum ini, dalam tempoh enam bulan itu, antara sekarang dan Mac 2009, Abdullah akan terus berkuasa dalam suasana ‘tidak menentu’ penggantinya.

Di bawah sistem politik negara, presiden Umno secara automatik menjadi Perdana Menteri dan ketua BN, sementara timbalan presiden sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Persoalannya, ramai yang menunggu apa reaksi Tengku Razaleigh Hamzah seterusnya dan mungkin juga ada ‘kuda hitam’ bertanding menentang Najib kelak apabila Bahagian UMNO mula bersidang esok.

Umno bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat paling awal iaitu esok diikuti Cheras (Wilayah Persekutuan), Besut (Terengganu) dan Kimanis (Sabah) yang akan bermesyuarat Sabtu ini.

Sebanyak 24 lagi bahagian akan bermesyuarat Ahad ini, iaitu Pontian, Pasir Gudang, Mersing, Pagoh dan Batu Pahat, semuanya di Johor; Rasah, Jempol dan Jelebu (Negeri Sembilan); Shah Alam dan Subang (Selangor); Semporna, Silam, Kalabakan dan Kota Kinabalu (Sabah); Bukit Gelugor dan Tasek Gelugor (Pulau Pinang); Kuantan dan Rompin (Pahang); Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas dan Kampar (Perak).

Selepas itu pada 18 Oktober ialah Gelang Patah, Tebrau, Kemaman, Kuala Terengganu dan Raub, manakala pada 19 Oktober ialah Nibong Tebal, Bagan, Titiwangsa, Segambut, Bandar Tun Razak, Kepong, Kulai, Ledang, Bakri, Tanjung Piai, Bukit Katil, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Paya Besar.

Kalaupun menang sama ada melalui pertandingan pada Mac atau melalui pencalonan (jika mereka yang bercita-cita menentang Najib tidak cukup pencalonan), pastinya Najib akan dimalukan kerana mendapat penentangan, bukannya menerima jawatan dalam ‘dulang emas’ seperti yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.
Untuk pertama kalinya, jawatan Perdana Menteri terumbang-ambing kerana Abdullah tidak melakukan tradisi seperti Perdana Menteri sebelumnya yang menyerahkan kuasa secara mutlak.

Dengan meletakkan syarat mesti menang Presiden bermakna pertandingan tetap terbuka dan kelebihan Najib hanya kerana dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Ada pendapat mengatakan Abdullah sebenarnya tidak ikhlas dan ‘menyusahkan Najib’ setiap masa.

Bukankah lebih baik dan memudahkan Najib jika setelah membuat keputusan tidak bertanding Presiden UMNO Abdullah menyerahkan sahaja jawatan Perdana Menteri kepada Najib dan Abdullah boleh kekal Presiden UMNO hingga Mac.

Cara ini rasanya lebih ‘adil’ untuk Najib.
Jelas sekali Abdullah menggunakan sifat ‘tidak melawan tauke’ dan ‘sentiasa taat’ Najib dengan menyusahkan Najib setiap masa.

Benarlah kata-kata beberapa pemimpin UMNO bahawa Najib ‘budak baik’ dan mematuhi ketuanya.
Malah, Najib juga ‘tidak reti’ melawan dan mengambil peluang untuk melonjak cepat. Masalahnya sikap Najib ini dibimbangi akan memakan diri kerana sebetulnya inilah masanya untuk semua ahli UMNO menilai semula siapa patut menjadi Perdana Menteri

Komen 2 oleh Harakahdaily.

Antara Anwar dan Najib, siapa akan ke Seri Perdana?

Irwan Muhammad Zain
Wed | Oct 08, 08 | 8:47:38 pm MYT

Akhirnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mac 2009 dan juga tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Keputusan Perdana Menteri itu diumumkan dalam taklimat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di PWTC petang tadi.

Abdullah pada awalnya, dijadual melepaskan jawatan tertinggi Umno dan jawatan Perdana Menteri pada pertengahan 2010.

Namun akibat dari prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, beliau telah didesak agar segera meletak jawatan.

Keputusan Abdullah ini membolehkan Dato' Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki ke Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri enam bulan akan datang.

Mendiami Seri Perdana tentunya merupakan antara yang dimimpikan oleh Najib sejak lama dahulu. Dan hasrat itu makin membara tentunya bila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Pelan peralihan kuasa yang kini dipercepatkan ke Mac 2009, membolehkan Najib memegang jawatan Presiden Umno seterusnya diberikan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke tujuh.

Mimpi Najib ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan akan datang. Itu pun jika tiada berlaku sebarang halangan dalam tempoh enam bulan ini.

Tempoh enam bulan akan datang tentunya amat mendebarkan Najib kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tersebut untuk menghalang beliau dari mendiami kediaman rasmi Perdana Menteri.

Yang boleh menyekat mimpi Najib dari menjadi nyata adalah jika kerusi Presiden Umno dimenangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang berhasrat bertanding jawatan tersebut pada Mac nanti.

Selain faktor kemenangan Ku Li, faktor pembentukan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat juga mampu membuatkan impian Najib terhalang.

Jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, bukan hanya impian mendiami Seri Perdana akan terkubur tetapi kemungkinan pelbagai lagi malapetaka akan menimpa bukan hanya Najib tetapi banyak lagi pemimpin Umno yang lain.

Pembentukan kerajaan baru ini amat tidak disenangi oleh pemimpin Umno biarpun ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang sudah bosan dengan pemerintahan Umno-BN selama 51 tahun.

Biarpun pembentukan kerajaan baru tidak berlaku pada 16 September lalu - tarikh asal yang diumumkan oleh Anwar - tetapi bukan sedikit rakyat Malaysia yang berharap agar BN segera ditumbangkan.

Rakyat Malaysia yang tidak mampu berbelanja sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 utas jam tangan di Hong Kong menunggu dengan penuh sabar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan.

Selain Najib, Anwar juga pasti berhasrat untuk berpindah ke kediaman bernilai ratusan juta ringgit itu. Jika tidak mendiami Seri Perdana sekalipun, Ketua umum Pakatan Rakyat itu sememangnya berhajat untuk memiliki pejabat di Putrajaya.

Biarpun ramai yang mengatakan hasrat Anwar dan Pakatan Rakyat mahu menubuh kerajaan baru sebagai sesuatu yang mustahil tetapi ahli parlimen Permatang Pauh tetap yakin BN akan tumbang dalam tempoh terdekat.

Keyakinan Anwar itu membuatkan ramai yang menunggu beliau membuktikan bahawa hasratnya itu bukanlah omongan kosong semata-mata.