Saturday, January 21, 2017

Timbalan Pengarah Urusan Iris Corp Kena Tahan Kes Projek E-Pasport


Timbalan Pengarah Urusan Iris Corporation Bhd, Datuk Hamdan Mohd Hassan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek e-pasport Republik Guinea.

Syarikat itu mengumumkan penahanan itu pada Jumaat kerana penyalahgunaan kuasa dan pembabitan dalam kegiatan rasuah dalam projek berkenaan untuk kerajaan republik itu.

Iris Corp menandatangani kontrak 15 tahun dengan kerajaan berkenaan untuk melaksanakan kemudahan e-pasport di negara itu.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama enam hari terhadap suspek untuk membantu siasatan.

"Sehingga siasatan selesai, Iris Corp ingin mengumumkan semua kuasa eksekutif Hamdan digantung dan tugas serta tanggungjawabnya sebagai pemangku CEO syarikat akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Operasi, Choong Choo Hock.

"Tahanan reman ke atas Hamdan tidak mempunyai sebarang implikasi terhadap kesahihan kontrak antara Iris dan kerajaan Republik Guinea atau kepada projek e-pasport itu," katanya.

Iris juga memberitahu, penahanan reman Hamdan juga tidak memberi kesan terhadap pendapatan dan aset syarikat.

Syarikat berkenaan juga sedia memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan kes itu.

Pemangku CEO, pengurus ditahan reman enam hari.

Semalam Utusan Malaysia juga melaporkan, seorang pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurus jualan antarabangsa sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) direman enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan ra­suah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Pemangku CEO direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Perintah reman bermula semalam sehingga 25 Januari depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 58 dan 36 tahun.

Pemangku CEO bergelar Datuk itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini kira-kira pukul 9 pagi bersama pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit.

Kedua-dua lelaki yang berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai terbabit dalam amalan rasuah dan me­nyalahgunakan kuasa berkaitan projek e-Pasport di Guinea antara 2013 dan 2015.

Menurut sumber, SPRM menyita sejumlah wang tunai membabitkan pelbagai mata wang termasuk dolar Singapura, Euro dan Afrika bernilai kira-kira RM270,000.
Selain itu, katanya beberapa dokumen berkaitan syarikat berkenaan yang berpang­kalan di Guinea turut dirampas selain SPRM turut merakam percakapan dan keterangan beberapa lagi individu.

Pemangku CEO itu ditahan di kediamannya di Tropica Indah Petaling Jaya, Selangor dalam satu operasi, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit ditahan di rumahnya di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.


Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.