Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Daripada LawiAyam

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.

Friday, November 20, 2015

Salleh Man Kini Duduk Dalam Dua Alam, Enggan Tinggalkan Kerajaan DAP


Wakil rakyat tunggal PAS dalam dewan perundangan Pulau Pinang menegaskan beliau masih sebahagian pentadbiran negeri walaupun setiausaha agung parti itu mengisytiharkan ia kini di pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir DatukMohd Salleh Man berkata, beliau baru sahaja membaca berita mengenai kenyataan setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan apabila pemberita menyerbu beliau di DUN Pulau Pinang bertanyakan hal itu.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, DAP memenangi 19 kerusi DUN, PKR (10 kerusi) dan PAS (satu) untuk menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, Takiyuddin hanya mengumumkan parti itu kini pembangkang di Pulau Pinang tetapi tidak berkata apa-apa tentang wakil rakyatnya.

 "Beliau tidak kata wakil rakyat pun sama. Beliau hanya menyebut parti. Ia tak sama," kata Salleh.

Ditekan pemberita untuk mendapatkan menjelaskan, beliau berkata, "Bagaimana pula dengan keadaan di Selangor?"

PAS tetap sebahagian daripada pentadbiran Selangor, bersama PKR dan DAP, walaupun dengan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP terdahulu tahun ini.

Tiada seorang pun daripada exco negeri PAS di Selangor meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, tidak seperti Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mengumumkan ia sebuah kerajaan Pakatan Harapan.

Takiyuddin hari ini berkata, PAS kini sebuah parti pembangkang di Pulau Pinang selepas kira-kira 300 ahlinya yang memegang pelbagai jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri itu dipecat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kerajaan negeri menghantar surat penamatan kepada mereka kerana pentadbiran memerlukan orang yang boleh bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri serta dasar-dasarnya.

Salleh menegaskan beliau masih anggota kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, satu kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri selepas Salleh mengesahkan sokongannya kepada pentadbiran DAP.

Mohd Salleh  turut  berkata kedudukannya sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang perlu ditentukan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

Mohd Salleh yang juga ADUN kawasan Permatang Pasir berkata kemenangan beliau pada pilihan raya umum lepas adalah atas sokongan kerajaan Pakatan Rakyat yang kini kerajaan Pakatan Harapan.


"Atas mana-mana nama kerajaan itu bukan masalah bagi saya, tapi saya sokong kerajaan negeri kerana dulu kemenangan saya atas tiket semangat Pakatan Rakyat," katanya.


Takiyuddin membuat kenyataan itu pada sidang akhbar di Parlimen hari ini berikutan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menamatkan perkhidmatan 300 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas.



Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah berkata PAS negeri menerima keputusan PAS pusat bahawa parti itu kini pembangkang di negeri ini.

"Kami bersetuju dan terima apa saja keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat.Seperti mana kita ketahui PAS memang tidak bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lagi," katanya.


Terdahulu dalam kenyataan akhbarnya Mohd Yusni berkata kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang berbohong berhubung isu pemecatan 300 anggota JKKK daripada kalangan anggota PAS di negeri ini kerana ramai daripada mereka yang tidak menerima surat pemecatan daripada kerajaan negeri. 


"Jika tidak diserahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong bahawa semua 300 JKKK itu telah dipecat? Malah pihak kerajaan negeri seakan 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS," katanya.


Mohd Yusni turut mempersoalkan mengapa hanya 300 JKKK dimaklumkan sebagai dipecat sedangkan mengikut rekod sebenar menunjukkan 1,083 anggota PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK.


Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung pemecatan 300 JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin Parti Amanah Negara tidak relevan lagi kepada Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang.


Semalam Mohd Rashid dilapor berkata anggota JKKK PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas telah dipecat dan bukannya meletak jawatan seperti yang diumumkan PAS kawasan tersebut.


PAS Kepala Batas sebaliknya pada Selasa lepas mengumumkan menarik diri daripada memegang jawatan dalam JKKK bagi kawasan itu.


Sementara itu Mohd Rashid pada sidang akhbar di bangunan DUN hari ini berkata pihaknya menggesa PAS negeri berhenti daripada mempolitikkan isu berkenaan.


"PAS negeri harus sedar bahawa mereka bukan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, sekali gus tidak layak menjawat apa-apa jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.


Mohd Rashid turut menyatakan kerajaan negeri menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada anggota PAS yang dikenal pasti tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan sebaliknya bukan memecat mereka seperti yang dilapor akhbar semalam.


Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman ketika dihubungi berkata tindakan PAS pusat untuk mengisytiharkan PAS sebagai pembangkang adalah lanjutan daripada krisis parti itu dengan DAP.


Beliau berkata sekiranya pergaduhan itu tidak berlaku, PAS tidak akan berbuat demikian dan Pakatan akan lebih kukuh berbanding sekarang.


"Saya berasa tindakan PAS pusat itu tidak memberi sebarang kesan negatif kepada PKR dan Pakatan secara keseluruhan kerana ini hanya melibatkan seorang ADUN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata Mohd Salleh tidak perlu meletak jawatan untuk menyertai pembangkang kerana PAS tidak lagi dalam Pakatan Harapan.


"Salleh Man bagaikan duduk dalam dua alam di laut dan di darat kerana parti beliau tidak duduk dalam Pakatan Harapan tetapi dia pegang jawatan yang memerlukan dia laksanakan dasar Pakatan," katanya.

Wednesday, November 18, 2015

PAS Kepala Batas Umum Tarik Diri Pegang Jawatan Dalam JKKK


Tindakan PAS Kepala Batas menarik diri daripada memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen berkenaan,  berkuat kuasa serta-merta menjelaskan lagi betapa krisis DAP-PAS kian memuncak.

Keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa sebab, antaranya PAS bukan lagi dalam kepimpinan kerajaan Pulau Pinang selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.

Penarikan diri itu juga dilakukan demi menjaga maruah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja dengan pimpinan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS.

Yang DiPertuanya, Bukhori Ghazali berkata Lim juga  dengan sesuka hati mengambil tindakan tidak sewajarnya terhadap rakan yang selama ini beralah dalam banyak perkara.

"PAS tidak sewajarnya dilihat masih melukut di tepi gantang, mana mungkin JKKK dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PAS bertanding boleh berkhidmat di bawah DAP yang memantau dan menyelaras segala urusan JKKK, dan pada masa sama meminta pimpinan PAS kawasan menolak kepimpinan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kepala Batas, malam tadi.

Bagaimanapun, Bukhori berkata PAS sebagai gerakan dakwah dan siasah tidak menolak perlunya hubungan baik dengan sesiapa sahaja terutama rakyat Pulau Pinang yang tidak bersalah dalam hal itu.

"PAS tetap komited memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun tidak melalui saluran pemerintahan seperti yang telah dilakukan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-12," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pendirian PAS Kepala Batas terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man, Bukhori berkata sehingga kini PAS kawasan itu belum membuat sebarang keputusan .

"Bagaimanapun kami menghormati keputusan yang dibuat PAS Permatang Pauh," katanya.

Ahad lepas (15 November), PAS Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Salleh Man berikutan kenyataannya yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata PAS kawasan itu membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya pada Isnin lepas.

Katanya, pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan pada 2 November, Salleh Man mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim.

Omar yang juga timbalan Yang Dipertua 2 PAS Pulau Pinang, berkata keputusan itu yang mendapat persetujuan PAS negeri, akan dimaklumkan kepada PAS pusat.


Reaksi kepada keputusan itu,  Mohd Salleh berkata beliau akan terus berkhidmat untuk kerajaan Pulau Pinang dan penduduk kawasan berkenaan sebagai ADUN mewakili PAS.

Mohd Salleh berkata beliau tetap akan terus bersama PAS, malah merupakan anggota seumur hidup parti itu.

Ditanya mengenai pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Mohd Salleh berkata: "Itu pendirian mereka. Saya tak boleh nak komen. Saya sebagai ADUN Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Permatang Pasir".

Beliau berkata sehingga sekarang, hubungannya dengan PAS negeri dan pusat masih baik.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan sebagai anggota PAS, Mohd Salleh berkata: "Isu itu tidak pernah timbul. Saya tegaskan sekali lagi, saya tetap dengan PAS untuk selama-lamanya".

Monday, November 9, 2015

Pemimpin DAP Bersaing Sesama Sendiri Demi Sokongan, Pertahan Kedudukan

"Kemenangan meyakinkan sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapatkan jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya."
 Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar (Bernama)
Beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan pemimpin-pemimpin DAP Selangor bersaing hebat di antara satu sama lain untuk meningkatkan profil masing-masing dalam usaha menarik perhatian anggota-anggota parti di peringkat akar umbi.

Menjelang konvensyen dan pemilihan parti peringkat negeri pada 1 Nov lepas - calon-calon dengan lantang membangkitkan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melancarkan serangan terhadap bekas rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, PAS, dengan harapan dapat meraih sokongan perwakilan bagi membantu memenangi pemilihan itu.

Bagi mereka, kemenangan meyakinkan sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapatkan jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya.

Lebih daripada itu, kemungkinan mendapat 'tiket' bertanding dalam pilihan raya umum akan datang pula boleh dianggap sebagai bonus tambahan.

Penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain berpendapat, sudah menjadi kelaziman bagi calon-calon untuk mengambil kesempatan daripada isu-isu semasa dalam usaha mendapatkan momentum sokongan menjelang mana-mana pemilihan parti.

"Pemimpin parti atau calon akan lantang menjuarai isu dan polemik semasa bagi meraih perhatian dan sokongan ahli di peringkat akar umbi.

"Masing-masing mahu dilihat sebagai pemimpin yang tegas dan mengutamakan kepentingan parti. Mereka yang bertegas untuk memenuhi kehendak parti akan lebih mendapat perhatian perwakilan," pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu Bernama.

Beliau berkata kesemua mereka ingin dilihat sebagai orang kuat parti yang tegar, yang meletakkan kepentingan parti melebihi diri sendiri, justeru mereka yang memenuhi harapan parti akan lebih cenderung meraih undi perwakilan.

"Hakikatnya, kesemua parti politik memerlukan pemimpin yang boleh bekerja dan bukannya yang hanya pandai mengeluarkan kenyataan sekadar untuk menaikkan semangat umum," katanya.

Seorang lagi penganalisis Dr Amini Amir Abdullah, yang merupakan pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata adalah jelas bahawa tindakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mencabar Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara langsung mengenai kedudukan firma milik negara itu adalah semata-mata helah untuk kepentingan politik, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau dalam kepimpinan DAP Selangor.

(Pua bagaimanapun menarik diri daripada perbahasan tersebut selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tidak akan membenarkan perbahasan diteruskan memandangkan Pua adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang pada masa ini sedang menyiasat 1MDB. Pada Khamis lepas, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli akan menggantikan Pua dalam perbahasan yang dicadangkan).

Pada pemilihan DAP Selangor Ahad lepas, Pua menerima 495 undi dan berada di tempat kelapan dalam perebutan 15 jawatan dalam jawatankuasa pusat. Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo di tempat tertinggi dengan 736 undi.

Ironinya walaupun keputusan pemilihan Pua tidak memberangsangkan, Pua dilantik semula sebagai Pengerusi DAP Selangor manakala Gobind Singh kekal sebagai Timbalan Pengerusi.

Tempoh sebelum menjelang hari pemilihan DAP Selangor juga menyaksikan pemimpin parti negeri melancarkan serangan terhadap "musuh" mereka, iaitu PAS.

Walaupun ramai mendesak agar wakil PAS disingkirkan dari barisan Exco negeri, terdapat pula pihak yang mencadangkan supaya DAP meletakkan calonnya sendiri bagi kelapan-lapan kerusi Dewan Undangan Negeri, kini dipegang oleh PAS di Selangor, pada pilihan raya akan datang.

Pada minggu lepas, Pua dilaporkan berkata bahawa parti itu telah bersedia untuk meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Mengulas perkara itu, Amini Amir berkata semua isu yang dibangkitkan adalah sekadar untuk menjadikan seseorang pemimpin itu sebagai 'juara' sekali gus menjadikan kehadiran mereka dirasai dan diberi ganjaran jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri.

Beliau berkata ada isu-isu lain yang DAP cuba nafikan seperti konflik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS serta isu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang masih belum diperakukan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Isu-isu mengenai debat 1MDB, desakan supaya exco PAS dalam kerajaan negeri digugurkan dan cadangan bertanding di kawasan-kawasan PAS hanyalah untuk memperkukuhkan kedudukan pemimpin DAP sedia ada sahaja," katanya kepada Bernama.

Amini Amir berkata oleh sebab itu, tidak menghairankan apabila pimpinan DAP secara bermati-matian menonjolkan diri demi mempertahankan kuasa mereka.

"Mereka sedar akan kelebihannya mempunyai kuasa di peringkat negeri, maka mereka terpaksa cari idea baharu menonjolkan diri dalam usaha memenangi pemilihan tersebut.

"Oleh yang demikian, isu yang mereka tonjolkan sebenarnya tidak ikhlas dan segala tujuan mereka hanya untuk keuntungan politik dan kedudukan individu tertentu," katanya, jelas merujuk kepada tindakan Pua.

Kenapa DAP Selangor perlu membabitkan PAS dalam soal pemilihan barisan kepimpinan parti itu di negeri berkenaan?

Tidak menafikan bahawa PAS hanya dijadikan sebagai bahan kempen, Mohd Izani berkata DAP kini telah menjadi terlalu angkuh sehingga melupakan segala sumbangan PAS kepada parti itu.

"Mereka mahu menjadikan PAS tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Tetapi, DAP tidak boleh memadamkan sejarah bahawa mereka pernah bekerjasama dengan PAS dan PAS juga telah membuka banyak ruang kepada DAP sepanjang tempoh itu," katanya.

Amini Amir pula berpendapat PAS dan DAP tidak akan berjaya bekerjasama memandangkan masing-masing mempunyai nilai-nilai prinsip dan asas yang berbeza. Beliau juga percaya bahawa DAP akan terus menjadikan PAS sebagai karung tinju dan bahan belasahan mereka.

"Saya rasa DAP menganggap penyokong-penyokong PAS sebagai ancaman, kerana pastinya mereka tidak akan mengundi DAP dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, DAP menjadikan PAS sebagai isu dalam pemilihan parti itu kerana PAS tidak mahu mengikut telunjuk DAP," katanya.