Tuesday, November 11, 2008

KENAPA JADI BEGINI?

Lima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara didapati gagal untuk mengadakan persidangan setelah tempoh yang ditetapkan berakhir kelmarin (Ahad 9 November 2009).

Bahagian tersebut ialah dua di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pengkalan Chepa dengan selebihnya masing-masing satu di Perak iaitu Larut, Tenom di Sabah dan terakhir bahagian Seremban.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bahagian-bahagian tersebut akan diberi tarikh baru bagi mengadakan persidangan masing-masing.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tempoh 9 Oktober hingga 9 November 2008 sebagai tarikh persidangan perwakilan 191 bahagian di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menjelaskan, mana-mana UMNO bahagian yang didapati bermasalah masih boleh meneruskan persidangan masing-masing meskipun selepas tarikh akhir 9 November lalu.

Sementara itu sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula atau sebaliknya akan ditentukan Rabu ini.

Ikuti, apa masalah dihadapi bahagian-bahagian berkenaan:

Kes 1: UMNO Seputeh mangsa arahan berbeza

Keputusan sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula bakal diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti, Rabu ini. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Riduan Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda bahagian Seputeh dan perkara itu terpaksa dirujukkan kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Sebelum ini, ahli UMNO Bahagian Seputeh berada dalam dilema apabila mendapat dua arahan berbeza daripada Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan ibu pejabat parti. Ia berkaitan dengan persidangan perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir baru-baru ini, telah dibatalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Menerusi surat bertarikh 3 November lalu, badan perhubungan negeri mengarahkan mesyuarat semula di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri hujung minggu lalu. Surat yang ditandatangani oleh Riduan memaklumkan pembatalan empat persidangan itu kerana pendaftaran Cawangan Taman Goodwood telah dibatalkan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun, Ibu Pejabat UMNO menerusi surat bertarikh 5 November pula, memaklumkan kesemua mesyuarat bahagian berkenaan yang telah diadakan pada 26 Oktober lalu, adalah sah dan tidak perlu diadakan mesyuarat semula.

Kes 2: UMNO Tenom tunggu keputusan rayuan

UMNO Bahagian Tenom menjadi satu-satunya bahagian di Sabah yang masih gagal mengadakan persidangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan, semalam. Daripada keseluruhan 25 bahagian UMNO di Sabah, lima bahagian terakhir selesai mengadakan persidangan masing-masing semalam iaitu Libaran, Batu Sapi, Putatan, Kota Marudu dan Kudat. Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah berkata, persidangan belum dapat diadakan kerana pihaknya masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut beliau, rayuan dibuat kerana jawatankuasa pengurusan UMNO bahagian tidak berpuas hati dengan keputusan UMNO negeri, baru-baru ini. Katanya, UMNO negeri telah membuat pengesahan bahawa sebilangan mesyuarat UMNO cawangan yang dibatalkan di peringkat bahagian sah dan boleh diterima.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan berkata, keputusan UMNO negeri itu bertentangan dengan semangat parti yang meminta supaya semua pihak mematuhi etika dan peraturan. Beliau berkata, UMNO bahagian juga tidak dapat menerima keputusan UMNO negeri bahawa persidangan Wanita UMNO bahagian itu pada 12 Oktober lalu sah dan mengikut peraturan.
Katanya, pertimbangan itu dipertikaikan kerana jelas semasa pengundian bagi pemilihan ketua wanita bahagian yang dimenangi oleh Datin Rahmahjan Suliaman Khan itu, didapati terdapat tujuh undi lebih berbanding jumlah perwakilan.

Kes 3: MB kecewa kenyataan Tengku Adnan

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, beliau akan menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan dan tidak akan menggugurkan apa jua yang dilaporkan supaya UMNO Pusat tahu apa sebenarnya yang telah berlaku di UMNO Bahagian Seremban.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melabelkan wujudnya keretakan dalam hubungan badan itu dengan UMNO Bahagian Seremban. Mohamad berkata kenyataan itu hanyalah bersifat peribadi dan adalah tidak adil bagi Tengku Adnan berkata demikian.

Katanya: “'Saya tidak akan memberi pandangan mengenai perkara ini kerana telah wujudnya 'mental block' daripada UMNO Pusat terhadap hubungan badan perhubungan dengan UMNO Bahagian Seremban. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah dengan UMNO Bahagian Seremban.”

Kes 4: UMNO Tanah Merah tunggu keputusan mahkamah

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang dikendalikan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri di Sekolah Menengah Teknik 9 Novemver lalu terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO. Salah seorang ahli jawatankuasanya, Abdul Rahman Ibrahim telah mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli menunaikan hak sebagai ahli pada persidangan itu.

Mereka terdiri daripada beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan kerana didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Keputusan Ibu Pejabat UMNO itu disampaikan oleh peguam parti, Datuk Mohd. Hafarizam Harun kepada perwakilan tengah 8 November lalu.

Menurut Mohd. Hafarizam, beliau telah merujuk kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berhubung perintah mahkamah itu. Beliau menyifatkan ia hanya masalah teknikal dan tidak mahu perwakilan diharam atas sebab-sebab itu dan hak mereka terabai.

Dalam permohonan yang difailkan oleh Abdul Rahman itu, 32 ahli UMNO berkenaan dilarang menggunakan hak mereka daripada bercakap, mengundi dan memilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu sehingga kes mahkamah diselesaikan.''Perintah itu akan luput pada 20 November akan datang dan 32 anggota itu diberi hak untuk melantik peguam masing-masing. "Jadi untuk memastikan ketelusan dan persidangan perwakilan bahagian tidak tercemar dengan tindakan mahkamah yang telah diambil, adalah lebih baik mesyuarat ini ditangguhkan sehingga kes ini selesai," katanya.

Antara ahli yang terlibat dengan perintah itu ialah Ikmal Hisyam Abdul Aziz yang sepatutnya diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian yang baru hari ini dan anggota jawatankuasa UMNO bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd. Bakri Mustafa, Yahya Mustapha dan Rasdi Mohamad.

Kes 5: Semua UMNO Cawangan Pengkalan Chepa bermesyuarat semula

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti akan diadakan pada awal bulan depan. Ia menjadikan bahagian tersebut antara yang terakhir mengadakan persidangan selepas tamat tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Dr. Nik Zain Omar berkata, arahan dikeluarkan melalui sepucuk surat pada Rabu lalu yang meminta semua cawangan di bahagian berkenaan mengadakan semula mesyuarat. Beliau berkata, mengikut arahan mesyuarat cawangan tersebut akan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Kita menjangkakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian ini diadakan pada awal bulan depan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa I 8 November lalu.

Kes 6 : Larut mahu jumpa Najib

UMNO Bahagian Larut hari ini sebulat suara mahu berjumpa dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan isu pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut. Ketuanya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar berkata, perjumpaan itu penting bagi mendapatkan pandangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk menyelesaikan isu tersebut daripada berlarutan.

Serentak itu, katanya, persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang sepatutnya bermula 8 November lalu terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetap nanti.

Dalam mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian pada 7 November lalu. Beliau bersetuju untuk berjumpa dahulu dengan Najib secepat mungkin untuk menyatakan pandangan daripada bahagian sebelum persidangan perwakilan diadakan.

Bahagian itu tetap menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut kerana patuh dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti yang mensyaratkan sebarang pertukaran keahlian perlu dibuat sebelum akhir 2007. Beliau berkata, keputusan Hamzah untuk bertanding juga telah melanggar Perkara 6 3(8) perlembagaan parti yang menggunakan haknya di Bahagian Larut.