Saturday, February 21, 2009

CERITA TIDAK ENAK DIDENGAR

Boleh darurat?
Oleh HERMAN HAMID

pengarang@utusan.com.my (20 Februari 2009)

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Tiga kesalahan besar V. Sivakumar yang boleh membawa kepada pengisytiharan darurat.

Pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kedua, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mendahului keputusan mahkamah, dan ketiga beliau membelakangkan DUN Perak itu sendiri.

"Sepatutnya beliau tunggu keputusan mahkamah. Apabila beliau lakukan tiga perkara itu, beliau perlu sedar bahawa ia mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

"Saya berbincang dengan ramai peguam, kita lihat situasi di Perak boleh menjuruskan kepada pengisytiharan darurat seperti berlaku di Sarawak dan Kelantan dulu, situasi politiknya mirip dengan di Perak."

Demikian pendapat pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berhubung keputusan Sivakumar kelmarin menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri Sidang DUN.

Dr. Zambry dan enam anggota Exconya masing-masing digantung 18 bulan dan 12 bulan, iaitu tindakan yang mengejutkan dan dianggap banyak pihak tidak sah dan suatu keputusan politik semata-mata.

Beliau yang juga Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan di Perak sekarang sedang kalut, maka tidak mustahil tindakan pengisytiharan darurat diambil di Perak.

"Walaupun ia bukan sesuatu yang diharapkan, namun itu boleh berlaku berdasarkan situasi politik di Perak sekarang," katanya.

Menurut Salleh, dari segi kesalahan Sivakumar itu, pertama beliau tidak menghormati Sultan Perak apabila menganggap tidak sah Zambry mengangkat sumpah ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar.

"Sedangkan pelantikan Zambry adalah keputusan Sultan Perak yang sah mengikut perlembagaan negeri itu dan ini diakui ramai pengamal undang-undang.

"Saya percaya, Dr. Zambry boleh memohon semakan kehakiman daripada mahkamah kerana tindakan Speaker itu agak jelas menimbulkan persoalan," jelasnya.

Menurut Salleh, kesalahan kedua, Sivakumar subjudis disebabkan keputusan penggantungan itu dibuat ketika terdapat permohonan di mahkamah meminta deklarasi berhubung status Nizar sebagai Menteri Besar.

"Kesalahan ketiga pula Sivakumar buat keputusan di luar Sidang DUN.
"Sedangkan majoriti pengamal undang-undang berpandangan bahawa keputusan Speaker mesti dibuat ketika sidang DUN berlangsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salleh menambah, apa yang terbaik dalam hal ini ialah menunggu terlebih dulu keputusan mahkamah berhubung permohonan Nizar sebelum bertindak sebegini.

Katanya, namun, Sivakumar telah mendahului mahkamah dan tindakan yang beliau perlu sedar bahawa ia boleh mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan Sivakumar itu tidak dilakukan secara bona fide atau niat baik sebaliknya bertujuan mengganggu gugat pemerintahan kerajaan negeri sekarang.

Kata beliau, keputusan itu dianggap sebagai terdesak, keterlaluan serta terburu-buru yang menggambarkan tindakan orang kecewa.

Tambahnya, sungguhpun Speaker ada kuasa, namun harus diingat, ia mendapat kuasa itu apabila sidang DUN sedang berlangsung.

"Sebab itu apabila Sivakumar membuat keputusan di luar DUN, ia dianggap menyalahi peraturan. Segala usul mestilah dibentang dan dipersetujui DUN. Macam mana Speaker pandai-pandai buat keputusan.

"Ini komen saya dan pandangan rasmi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak). Kita minta rakyat Perak, lihat dan renungkan gelagat pembangkang sama ada ia sikap pemimpin bertanggungjawab atau tidak," katanya.