Wednesday, September 21, 2016

SPRM Kenal Pasti 67 Kereta Klon Didaftarkan, 17 Sudah DiRampas


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam berjaya mengesan 67 kereta dipercayai diklon ekoran penahanan empat suspek termasuk seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Alor Setar semalam.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (gambar kiri) berkata, setakat ini pihaknya merampas 17 kenderaan berkenaan sementara baki 46 lagi sedang dikesan termasuk empat lagi dalam siasatan.

Berikutan itu, SPRM menggesa agar pemilik kenderaan berkenaan segera menyerahkan kenderaan itu dalam tempoh seminggu sebelum notis dihantar atau mereka berdepan dengan tindakan undang-undang.

SPRM sudah mengenalpasti pemilik kereta berkenaan dan akan mengesan mereka.

Bercakap pada sidang media di Alor Setar semalam, Ahmad Khusairi berkata ekoran penahanan membabitkan kakitangan JPJ itu pihaknya turut mengenalpasti modus operandi sindiket kereta klon itu.

“Ini adalah modus operandi baharu apabila kereta berkenaan didaftarkan dengan mengunakan dokumen palsu oleh suspek,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan semalam (20 September 2016), kegiatan licik seorang wa­nita yang mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan sistem pendaftaran dokumen JPJ terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas SPRM.

Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi.


Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari Singa­pura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim.

Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 ken­deraan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.

Suspek dikatakan meneri­ma komisen RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap kenderaan yang dijual.

Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang berkenaan.

Lelaki itu yang merupakan peniaga dalam talian berperanan sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan ken­deraan kepada pasangan suami isteri terbabit.

Suspek kini ditahan di pejabat SPRM Pahang.

SPRM juga akan memeriksa kediaman suspek ketiga yang terletak di Selangor untuk mendapatkan bahan bukti.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, ekoran penahanan ketiga-tiga suspek tersebut, beberapa individu lain akan ditangkap bagi melumpuhkan sindiket kereta klon yang aktif beroperasi di nege­ri ini.

SPRM masih menyiasat peranan mereka dalam sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan me­reka sejak tujuh bulan lalu itu.

“Wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala suaminya dan seorang lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) akta sama. Ketiga-tiga mereka akan direman esok pagi di Kedah dan Pahang,” ujarnya.

Tambah sumber, setakat ini sudah lebih 20 buah kenderaan mewah antaranya Mini Cooper, Toyota Wish, Toyota Vellfire dan Toyota Estima yang dipercayai dijual sindiket berkenaan berjaya dirampas dari seluruh Semenanjung menerusi Op Piang.

Akhbar hari ini melapor­kan, seorang kakitangan agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan bersekongkol dengan sindiket kereta klon bagi mendapat keuntungan berganda.


Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Hasil perbuatannya yang me­nyalahgunakan sistem pendafta­ran kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja menyebabkan pembeli yang membuat pinjaman rugi se­lepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Bekas Pengurus Besar, Pemilik Syarikat Didakwa Pecah Amanah RM9 Juta

Juaari Majid (dua, kiri) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Hakim Abu Bakar Abd Manat menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin.
Bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan pemilik sebuah syarikat kelapa sawit masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu. semalam atas kesalahan pecah amanah (CBT) dan bersubahat melakukan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM8,999,999.30.

Bekas Pengurus Besar SLDB George@Juaari Majid, 63, dituduh meluluskan wang sejumlah itu melalui empat transaksi kepada seorang pemilik syarikat kelapa sawit, How Kim San, 55, tanpa pengetahuan dan kelulusan Anggota Lembaga Pengarah SLDB serta Menteri Kewangan Sabah.

George mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

How juga mengaku tidak bersalah selepas dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana bersubahat bersama George melakukan kesalahan pecah amanah itu.

Bagi pertuduhan itu, How berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, George didakwa membuat bayaran kepada How sebanyak RM8,999,999.30 sebagai bayaran pampasan terhadap tanah dan tanaman di Kampung Babason, Sook, Keningau, Sabah sedangkan tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) merupakan milik Kerajaan Negeri Sabah.

How pula dituduh bersubahat menerima bayaran pampasan terhadap tanah berkenaan daripada George sedangkan George menyedari bahawa tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) tersebut merupakan milik kerajaan Negeri Sabah.

George dan How didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Sabah Land Development Board di antara 22 Mac 2013 hingga 14 Ogos 2013.

Hakim Abu Bakar menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin bagi George dan How serta mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.

Pendakwaan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala George dan How masing-masing diwakili peguam Erwina Ansari dan Sugumar Balakrishnan.

Kelmarin, Bernama melaporkan SPRM akan menahan semula seorang bekas pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, ia susulan daripada siasatan sebelum ini yang mana suspek pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.

Laporan itu menyebut, SPRM mendapati wujudnya unsur rasuah yang menjurus kepada pengubahan wang haram melibatkan lebih kurang RM9 juta setelah menjalankan siasatan secara berterusan dan terperinci.

Berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai meluluskan pembayaran tersebut kepada sebuah syarikat kelapa sawit kononnya sebagai pampasan selepas kerajaan negeri meluluskan tanah tersebut kepada sebuah agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan komersial.

Menurut sumber, selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tanah tersebut kepada agensi kerajaan berkenaan, pemilik syarikat berkenaan mengemukakan permohonan pampasan bernilai RM9 juta merangkumi kos tanaman sawit dan nilai tanah yang dimiliki kerajaan negeri Sabah daripada bekas pengurus itu, sedangkan tanah ladang kelapa sawit milik kerajaan itu diusahakan tanpa kelulusan.

SPRM akan turut menahan pemilik syarikat kelapa sawit tersebut atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengurus terbabit untuk membuat tuntutan palsu.