Monday, July 18, 2016

Salah Guna Kuasa - SPRM PPinang Tahan Pegawai Kanan ICU JPM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan seorang pegawai kanan Unit Penyelarasan danPelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pulau Pinang bagi siasatan kes salah guna kuasa.

Sumber berkata pegawai kanan itu ditahan di pejabatnya kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum dibawa ke pejabat SPRM Pulau Pinang untuk diambil keterangan.

Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan satu projek membekalkan pakaian seragam bernilai kira-kira RM25,000 pada tahun 2013 ketika pegawai kanan berkenaan bertugas di sebuah lagi jabatan kerajaan, katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pihak SPRM telah menjalankan siasatan berhubung kes itu sejak tahun lepas sebelum menahan pegawai kanan berkenaan hari ini.

Sumber itu berkata kes pegawai kanan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M.Samarajoo ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan pegawai kanan itu.

Di Shah Alam (Selangor) pula, seorang bekas pengurus kontrak Telekom  Malaysia (TM) Berhad dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah menipu seorang individu bagi mendapatkan kontrak berhubung kerja penjimatan tenaga, empat tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Fairuz Rizman Yazid selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa mulai Isnin.

Ketika menyampaikan keputusannya, hakim antara lain berkata terdapat keterangan saksi pihak pendakwaan dalam kes itu tidak dicabar oleh pihak pembelaan selain mendapati hujahan tertuduh yang tidak konsisten menimbulkan keraguan.

Fairuz Rizman, 42, yang ketika kejadian berkhidmat di Bahagian Pembangunan Hartanah syarikat TM, didakwa menipu individu bergelar 'Datuk' dengan  memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mendapatkan  kontrak berkenaan.

Ini mendorong mangsa menyerahkan kira-kira RM700,000 kepada lelaki itu menerusi tiga transaksi sebagai bayaran kepada pihak atasan syarikat untuk mendapatkan tender itu, sedangkan wang berkenaan tidak akan diserahkan, sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor.

Terdahulu, dalam rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam mewakili tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara sebaliknya mengenakan hukuman denda minimum kerana anak guamnya perlu menanggung  keluarga termasuk ibunya yang kurang upaya.

Beliau juga memohon hukuman penjara dan sebatan ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun ditolak hakim disebabkan tiada alasan  wajar untuk menangguhkan hukuman itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmood.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi manakala pihak pembelaan empat saksi.