Monday, November 14, 2016

Bekas CEO GLC Dikenal pasti Seleweng Projek RM50 Juta


Belum pun isu Datuk yang mengepalai sebuah  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan kerana rasuah reda, hari ini bekas Pengarah Urusan sebuah GLC lain dilaporkan akan ditahan berkaitan penyelewengan.

Kali ini ia membabitkan  seorang bekas CEO yang di disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan projek bernilai RM50 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata suspek lelaki yang berumur 50-an itu akan akan ditahan dalam masa
terdekat.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaaan. "Mungkin akan ditahan dalam sehari dua lagi," katanya ringkas hari ini.

Media hari ini melaporkan suspek disyaki memberikan projek bernilai jutaan ringgit kepada syarikat-syarikat berkepentingan atau  atau ‘kroni’.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati suspek turut mene­rima wang suapan sebagai balasan.

“Bagaimanapun, suspek yang menjalani kehidupan mewah luar biasa itu telah meletakkan jawatannya pada tahun lalu.

SPRM masih menyiasat jum­lah wang suapan yang telah di­terima suspek selama meme­gang jawatan tersebut dan aset yang dimilikinya.

Suspek kini memegang jawatan sebagai Pengarah di sebuah syarikat GLC lain.

Kegiatan rasuah itu berlaku ketika dia memegang jawatan CEO selama lima tahun bermula tahun 2010. 
  
Pada 11 November lalu, CEO sebuah GLC ditahan SPRM kerana salah guna kuasa dan rasuah.

SPRM menahan suspek berusia 56 tahun itu di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 9.35 pagi hari berkenaan.

SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga kenderaan iaitu dua kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya.

SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah.


Jumlah kesemua harta yang dimiliki CEO itu dikatakan berjumlah RM10 juta.