Tuesday, August 9, 2011

Medan Perang Politik Malaysia Beralih Ke Internet

Oleh Alan Ting Bernama ( 7 Ogos 2011)

Sejajar dengan perkembangan global dan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT), medan perang politik di Malaysia turut berubah dan kini telah beralih ke Internet.

Perkembangan ini mendorong pelbagai pihak menggunakan Internet untuk menyebarkan maklumat berkaitan politik, seolah-olah tiada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian.

Benarkah keadaan ini tidak boleh dikawal? Sesetengah pemerhati media berpendapat ia memang tidak boleh disekat atau dikawal.

"Tiada siapa boleh menapis maklumat yang dihantar melalui Twitter, Facebook atau YouTube," kata anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Ti Lian Ker.

Mesej boleh dihantar kepada pembaca di seluruh dunia hanya dengan satu klik dan tiada siapa yang boleh mengawal kandungannya, kata beliau.

"Perkara inilah yang memeningkan kepala para pengawal selia dan kerajaan kerana pengguna dan penghantar sesuatu mesej boleh menyembunyikan identiti masing-masing," kata beliau.

Ti berpendapat setakat ini kebanyakan masalah berkaitan Internet tidak ditangani dengan sewajarnya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir pula berpendapat begini: Langkah kerajaan mengetatkan kawalan terhadap media tradisional mendorong semakin ramai orang memburu apa yang mereka anggap sebagai "kebenaran" melalui berita dalam talian dan ini membuka ruang kepada media dalam talian minor menguasai pendapat umum."

Beliau berkata, malah, Barisan Nasional (BN) sendiri menggunakan khidmat beberapa penulis blog untuk mengimbangi keadaan berat sebelah di Internet, walaupun langkah ini tidak memberi kesan seperti yang diharapkannya kerana hujah yang dikemukakan kumpulan penentangnya lebih mendapat sokongan.

"Lagipun, penyerang kerajaan secara dalam talian ini kelihatan lebih tersusun sebagai sebuah kumpulan yang bekerja untuk parti pembangkang dan mereka memanfaatkan isu tertentu, tidak kira sama ada betul atau tidak," kata beliau.

Tindakan kumpulan itu, kata beliau, menyebabkan sesetengah golongan muda pengguna Internet menerima dengan mudah segala apa yang mereka baca secara dalam talian dan ini menutup ruang untuk berhujah secara rasional dan beradab.

"Medan perang" ini turut merebak ke kawasan pengundi Melayu di kampung kerana walaupun mereka tidak tahu menggunakan Intenet, tetapi mereka dimaklumkan oleh anak masing-masing yang cekap menggunakan kemudahan IT tentang perkara yang mereka baca dalam talian, termasuk pelbagai khabar angin, cerita separuh benar dan, malah cerita yang sengaja diada-adakan untuk memburukkan imej kerajaan.

Dr Jeniri mengambil perhimpunan haram 19 Julai di Kuala Lumpur sebagai contoh.

"Cerita dan visual tentang orang biasa yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu disebarkan dengan meluas untuk menggambarkan mereka sebagai wira, manakala klip video yang mengandungi kepalsuan pula disiarkan melalui YouTube. Ini merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi BN," katanya.

Beliau berkata walaupun Internet boleh dijadikan alat untuk menyebarkan maklumat, tetapi majoriti rakyat Malaysia perlu belajar menggunakannnya secara wajar, khususnya berkaitan penyebaran mesej politik kerana terdapat keperluan untuk mengadakan perbincangan secara rasional dan menilai sesuatu pendapat secara seimbang.

"Jika sesetengah pengguna Internet terus menyelewengkan konsep demokrasi, pihak berkuasa tidak akan mempedulikan kenyataan biadab mereka, manakala pengundi yang matang pula akan menolak mereka apabila menyedari bahawa sebelum berkuasapun, kumpulan ini sudah berperangai hodoh," kata beliau.

Ahli akademik ini berkata "medan perang" Internet juga boleh membawa seseorang ke arah yang betul atau tidak betul kerana, sebagai contoh, oleh kerana terdapat begitu banyak maklumat, kebanyakan orang akan hanya mengikut pendapat ramai apabila mereka tidak dapat membezakan sama ada sesuatu maklumat itu betul atau palsu.

"Umpama orang yang kehilangan arah di lautan, mereka akan hanya mengikut orang lain dengan harapan akhirnya mereka akan menemui daratan atau sekurang-kurangnya, tidak keseorangan ketika berenang ke pantai. Ini menunjukkan mereka tidak mampu berfikir atau membuat penghakiman sendiri," katanya.

Selain itu, kata beliau, ramai orang menganggap semua maklumat yang mereka terima sebagai ilmu yang berguna.

Beberapa ahli politik berpendapat kebanyakan orang terus mempercayai apa yang disiarkan melalui Internet tanpa usul periksa kerana menganggapnya betul serta berkongsi maklumat itu dengan rakan masing-masing pula.

Seperti kata Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, kini kebenaran semakin sukar untuk dilihat dan manusia semakin sukar menerima pendapat serta pendekatan orang lain dan tidak boleh bertolak ansur.

"Pada era maklumat ini, manusia perlu melatih diri masing-masing supaya berfikir dan membuat analisis sebelum menerima sesuatu maklumat yang dihidangkan kepada mereka.

"Sebelum mempercayai sepenuhnya, kita perlu ajukan soalan, mengenal pasti dengan jelas jenis mesej yang diterima dan, jika perlu, mendapatkan pengesahan mengenainya," kata beliau.