Oleh Hambali Abdul Latiff (www.teganuku.blogspot.com)
Bagi saya, sikap negatif (wakil rakyat BN) sedemikian memburukkan keadaan dan kalaupun ‘marah’ dengan Menteri Besar, mereka perlu sedar bahawa mereka tetap milik rakyat kerana rakyat yang mengundi mereka. Atau apakah mereka menerima arahan daripada pucuk pimpinan di Putrajaya supaya memboikot sidang DUN untuk memalukan Ahmad Said?
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 24 Ogos lalu, berkata mana-mana wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau DUN perlu memahami bahawa antara tugas mereka ialah untuk menghadiri sesi sidang dewan.
''Tidak boleh tidak menghadirinya kecuali ada sebab. Budak-budak taman didikan kanak-kanak pun apabila ibu bapa tidak menghantar mereka pergi ke sekolah, guru akan tanya kenapa.
''Apatah lagi di peringkat lebih atas seperti sekolah menengah dan Parlimen, kita perlu memberikan sebab-sebabnya jika tidak dapat hadir," tegas beliau.
Kerana itu, adalah menarik untuk dilihat kes Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Siputeh, Kedah,yang dianggap kosong kerana mendakwa penyandangnya melanggar Artikel 51 UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri.
Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional (BN), yang menjadi wakil rakyat Kota Siputeh selama penggal keempat berturut-turut, didapati tidak menghadiri dua kali berturut-turut persidangan DUN pada 9 April dan 9 Ogos lepas tanpa kebenaran.
Artikel 51 menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri tidak hadir dengan kebenaran Speaker dua kali mesyuarat berturut-turut, maka tempatnya hendaklah menjadi kosong.
Isu itu timbul selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Kota Siputeh pada 17 Ogos lepas.
Itu di Kedah. Di Terengganu pula, isunya bukan sahaja tidak hadir tetapi memboikotnya. Ini terjadi pada sidang DUN Mei lalu.
Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Alasan sudah diketahui umum kenapa boikot dibuat. Malah ekoran daripada peristiwa itu, perbicaraan akan dilangsungkan di mahkamah gara-gara isu sms ugut bunuh.
Itu boikot dengan tidak menghadiri sidang.
Tetapi pada Sidang DUN terbaru – Selasa dan Rabu lalu (25 dan 26 Ogos 2009 lalu) , beberapa wakil rakyat BN daripada UMNO, bagaikan ‘memboikot’ persidangan.
Kenapa? MEREKA TIDAK MENGAMBIL BAHAGIAN PADA SESI PERTANYAAN LISAN atau juga PERBAHASAN.
Dari 13 orang ADUN hanya wakil Permaisuri, Abd Halim Jusoh yang mengemukakan satu soalan sahaja pada hari pertama persidangan.
Amat wajar jika Menteri Besar, Datuk Ahmad Said melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan tindakan wakil rakyat BN yang bersikap demikian.
Apabila pemberita bertanyakan beliau mengenai ketiadaan penyertaan wakil rakyat BN dalam mengemukakan soalan dan sesi perbahasan, Ahmad Said tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak berupaya mengawalnya.
“Saya nak buat macam mana, saya bukan ada ‘remote control’ boleh kawal, biarlah rakyat menilainya.
“Mereka itu wakil rakyat, dewan (DUN Terengganu) bersidang tiga kali setahun. Jadi inilah masanya mereka (ADUN) kemukakan masalah dan perjuangkan hak kawasan masing-masing,” jelasnya pada sidang akhbar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, 26 Ogos lalu.
Ini bukan kali pertama. Pada sidang Mei lalu, juga tidak ada soalan lisan daripada wakil rakyat BN.
Untuk setiap enakmen yang dibentangkan oleh Ahmad Said – termasuk peruntukan tambahan perbelanjaan, tanah bagi orang Melayu atau juga perkara lain, hanya dua anggota dewan BN bangun, iaitu Adun Tepuh dan ADUN Air Putih untuk menyatakan “Saya Menyokong’ untuk bacaan-bacaan bagi dua usul.
Bagaimanapun, kedua-duanya juga tidak membahasakan sebarang usul.
Jelas kesemua 13 ADUN BN mengambil tindakan membisu dan tidak menyatakan sebarang pendapat melalui perbahasan – menentang atau menyokong usul dan enakmen yang dibentangkan secara sengaja.
Adalah sesuatu yang aneh apabila usul Menteri Besar tidak dibahaskan oleh ADUN BN umpama rang undang-undang di Dewan Rakyat tidak dibahas oleh ahli Parlimen BN.
Secara jujur, inilah kali pertama saya melihat kejadian ‘memboikot’ seperti ini sama ada di Dewan Rakyat atau mana-mana sidang DUN sejak 25 tahun yang lalu.
BN Terengganu kini mempunyai 24 ADUN ( 1 Menteri Besar, 10 Exco dan 13 wakil rakyat) sementara PAS mempunyai 8 wakil di DUN Terengganu dan Datuk Harun Taib sebagai Ketua Pembangkang.
Persoalannya, kenapa wakil rakyat BN (UMNO) tidak mahu mengambil bahagian dalam soal jawab, perbahasan dan sebagainya?
Apakah isu yang dibawa oleh BN pada sidang itu tidak membabitkan rakyat? Apakah mereka sudah menyelesaikan semua tuntutan rakyat?
Contohnya dalam isu tambahan peruntukan dan enakmen membolehkan tanah orang Melayu digadai di Setiu, apakah ini tidak relevan untuk mereka bahaskan?
Kenapa ADUN PAS pula yang mengambil bahagian dan memberikan pandangan dan langsung tiada daripada wakil BN?
Atau mereka ini hanya Ahli Dewan Undangan Negeri yang profesyen mereka hanya makan gaji dan bukan ‘wakil rakyat’ yang mampu berbahas, mengemukakan pandangan serta berfungsi sebagai wakil rakyat pada sidang DUN.
Bagi saya, sikap negatif sedemikian memburukkan keadaan dan kalaupun ‘marah’ dengan Menteri Besar mereka perlu sedar bahawa mereka tetap milik rakyat kerana rakyat yang mengundi mereka.
Atau apakah mereka menerima arahan daripada pucuk pimpinan di Putrajaya supaya memboikot sidang DUN untuk memalukan Ahmad Said?
Jika tidak, apakah pucuk pimpinan melihat telatah wakil rakyat BN ini sebagai sesuatu yang wajar dilakukan?
Atau pucuk pimpinan UMNO dan Putrajaya merestui tindakan seperti ini sebagai precedent kepada negeri-negeri lain jika mereka menentang atau tidak bersetuju dengan Menteri Besar ?
Jika mereka ‘wakil rakyat’ mereka akan membawa masalah atau permintaan rakyat ke DUN, iaitu tempat paling ‘mulia’ berbicara, berbahas dan mengemukakan pendapat.
Namun, ternyata ADUN UMNO Terengganu mungkin melihat sidang DUN bukan tempat meluahkan perasaan atau pesanan rakyat kawasan mereka sebaliknya suatu persidangan biasa yang tidak penting pun untuk mereka.
Kalau mereka merasakan sidang DUN penting, mereka pasti tidak akan memboikotnya – sama ada secara tidak datang atau langsung tidak mengemukakan soalan lisan dan berbahas di atas kepentingan rakyat bagi isu, usul atau enakmen yang dibentangkan.
Lagipun, kalaupun mereka ini memboikot sidang DUN dengan apa cara sekalipun, apa yang boleh dilakukan oleh UMNO Pusat, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri atau Menteri Besar?
Ini kerana sebelum ini pun, tiada apa-apa amaran atau tindakan susulan dikenakan.
Apakah kejadian boikot yang berlaku pada sidang DUN ini ‘tidak besar’ atau tidak penting bagi UMNO Pusat atau Putrajaya sehingga kesemua mereka terlepas begitu sahaja?
Yang penting bagi mereka - biar Ahmad Said malu dan mesej mereka sampai bahawa kemelut politik UMNO di Terengganu sebenarnya masih panas walaupun Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata ia sudah reda.
Melihat apa yang berlaku pada sidang DUN dua hari itu, apa yang diperkatakan oleh Hishamuddin itu tidak benar.
Kita menunggu apa lagi silap mata kumpulan yang menentang Ahmad Said akan lakukan selepas ini?
No comments:
Post a Comment