Sunday, September 5, 2010

DINAR - KALAU SEKADAR 'SUKARELA', APA SANGAT ISTIMEWANYA?

Sebelum ini 'geger' satu Malaysia.

Dinar dan dirham kononnya nak dijadikan mata wang alternatif. Boleh digunakan untuk perdagangan dan bayar gaji.

Tetapi semalam Kelantan Golden Trade Sdn Bhd, agensi kerajaan negeri Kelantan yang bertanggung jawab terhadap penjualan dinar emas dan dirham perak, menegaskan bahawa syiling berkenaan bukan satu wang sah.

Kalau sudah demikian halnya, kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco kanannya, Datuk Husam Musa begitu beria-ia mengatakan ia sebagai pengganti (alternatif) kepada mata wang sedia ada?

Dalam soal seperti ini pun mahu dijadikan isu politik? Jika awal-awal mengatakan ia hanya sebagai sesuatu yang 'sukarela', keadaan menjadi lebih mudah.

Atau Nik Aziz sendiri tidak tahu dinar dan dirham ini boleh dijadikan mata wang pilihan? Atau Nik Aziz dibekalkan maklumat salah?

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Golden Trade, Umar Ibrahim Vadillo berkata penggunaan dinar dan dirham Kelantan semata-mata berdasarkan sukarela.

"Tiada siapapun dipaksa menggunakan atau membeli syiling itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak media. Orang ramai membeli syiling itu secara sukarela dan kedai-kedai yang menyertai jaringan itu juga dilakukannya secara sukarela," katanya pada satu taklimat media mengenai perkembangan terbaharu dinar emas dan dirham perak di sini.

Katanya Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Kelantan Golden Trade dan agensi kerajaan yang lain juga bersetuju membenarkan warga kerja masing-masing yang mahu sebahagian gaji mereka dibayar menggunakan dinar dan dirham, diberikan syiling berkenaan atas permintaan mereka sendiri dan berasaskan sukarela.

Katanya beliau kecewa dengan sesetengah media, mengenai cara ia dilaporkan.

Media lagi yang silap?

Bagi saya yang silap ialah apabila pemimpin PAS merasakan perkara ini sebagai pencapaian yang terlalu besar untuk Kelantan selain menguji Kerajaan Pusat sama ada ia boleh digantikan ringgit.

Nawaitu sudah tidak betul. Jangan salahkan media dalam soal ini. Media tidaklah sebodoh atau bebal mengenai dinar dan dirham.

"Isu wang sah jelas tiada kena mengena dengan kami," katanya semasa ditanya sama ada beliau kecewa dengan laporan media yang menyatakan bahawa negeri itu cuba menggunakan syiling itu sebagai wang sah.

Umar berkata syarikat itu memahami sepenuhnya bahawa hanya Bank Negara Malaysia berhak di bawah undang-undang untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia dan ringgit adalah satu-satunya mata wang yang merupakan wang sah bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Umar menjelaskan bahawa pengenalan dinar emas dan dirham perak di Kelantan bukan idea baharu atau satu eksperimen tetapi ia adalah pertama kali dalam sejarah bahawa rakyat diberi pilihan untuk menggunakan syiling bagi pembayaran zakat dan perkhidmatan.

Kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan dinar emas dan dirham perak bernilai RM2.0 juta bagi rakyat di negeri itu pada 12 Ogos tahun ini.

Sehingga ini, dinar emas bernilai kira-kira RM1.5 juta telah terjual. Nilai dinar emas dan dirham itu adalah berasaskan harga pasaran.

Sehingga semalam. harga satu dinar ialah kira-kira RM592 dan RM13 bagi dirham.

Umar berkata kerajaan negeri merancang menggandakan operasi modal syarikat itu daripada RM2.0 juta kepada RM4.0 juta bagi membolehkan pengeluaran lebih besar syiling itu.

Kelantan Golden Trade turut merancang menambah pengeluaran syiling itu pada kemudahan menempa kedua di Pulau Pinang bersama-sama dengan Public Gold Sdn Bhd.

Pengeluaran pertama dilakukan oleh Emirates Gold di Dubai.

http://kijang-jantan.blogspot.com/