Wednesday, February 25, 2009

DAP LAGI BAIK DARIPADA PAS, PKR

Bukan Zin sahaja tetapi kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.

Soal menurun atau menghapuskan bayaran tol bukan kerja seorang Menteri Kerjaraya semata-mata. Ia keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) seluruhnya.

Apapun, kita puji langkah DAP kerana tahu menghargai usaha kerajaan hapus tol.

Bagaimanapun, kita sanjung usaha yang dibuat oleh Zin untuk mencadangkan perkara ini dan kementeriannya bekerja keras untuk memujuk kerajaan bersetuju dengan langkah itu.

Yang menarik, usaha kerajaan ini dihargai oleh DAP.

Bukan macam rakan Pakatan Rakyat yang dua lagi – PAS dan PKR – yang tahu hentam saja.
Usaha kerajaan dihargai apabila DAP semalam memuji tindakan kerajaan menghapuskan kutipan tol di dua plaza di Kuala Lumpur dan langkahnya untuk mendeklasifikasi kebanyakan perjanjian konsesi tol lebuh raya.

Timbalan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata: "DAP ingin mengucap tahniah kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Mohd Zin Mohamed) atas usahanya untuk mendeklasifikasi(perjanjian) dan menghapuskan tol di dua plaza dalam dua minggu lalu".

Pua menyatakan ini kepada pemberita sebagai reaksi terhadap pengumuman Mohd Zin semalam yang kutipan tol di Plaza Salak Jaya di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), dihapuskan sejak tengah hari semalam.

Kutipan tol di plaza Petaling Jaya Selatan 2 (PJS 2) menghala ke Kuala Lumpur di New Pantai Expressway (NPE) telah dihapuskan pada 13 Februari lalu.

Pua berkata kerajaan juga perlu mengkaji keperluan menghapuskan kutipan tol di tempat lain seperti di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Butterworth-Kulim Expressway menjelang 2016.

Sunday, February 22, 2009

PILIH YANG TERBAIK

Tolong jangan berebutlah.

Rundinglah cara baik demi maruah UMNO dan Barisan Nasional (BN)
Dikatakan Umno Bahagian Bukit Gantang mecadangkan tiga nama untuk dipertimbangkan menjadi calon dalam pilihanraya kecil 7 April depan.

Mereka ialah timbalan ketua bahagian, Kamalulail Sulaiman; 47, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 44, (naib ketua) dan Ismail Saffian, 47 (ketua penerangan).

Rombongan dari Umno bahagian diakatakan telah memberi taklimat mengenai tiga nama itu kepada timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Umno dan BN Perak, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Timbalannya Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Taklimat tersebut diadakan selepas Najib mempengerusikan mesyuarat pengurusan Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang berkata, bancian yang dibuat oleh beberapa agensi kerajaan juga mendapati mereka juga merupakan calon yang disenangi pengundi Bukit Gantang.

Agensi berkenaan termasuk Kemas, jabatan hal ehwal khas kementerian penerangan, majlis keselamatan negara dan Umno.

"Kita sebut satu persatu kelebihan dan kelemahan ketiga-tiga nama tersebut.

‘Mungkin Ismail'

"Bagaimanapun, sebahagian besar AJK bahagian Bukit Gantang mahukan Ismail bertanding di Parlimen Bukit Gantang," katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

AJK berkenaan berkata, ini kerana Ismail merupakan anak tempatan iaitu dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Katanya, Ismail juga orang lama dalam Umno bahagian dan telah memegang pelbagai jawatan termasuk setiausaha bahagian.

Sebelum ini, Kamalulail telah menyatakan kesediaannya bertanding atas tiket BN.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, BN akan meletak calon tempatan untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum awal bulan ini.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Roslan mengalahkan calon BN, Datuk Seri Azim Zabidi.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) 29 Mac depan sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen tersebut.

Saturday, February 21, 2009

CERITA TIDAK ENAK DIDENGAR

Boleh darurat?
Oleh HERMAN HAMID

pengarang@utusan.com.my (20 Februari 2009)

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Tiga kesalahan besar V. Sivakumar yang boleh membawa kepada pengisytiharan darurat.

Pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kedua, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mendahului keputusan mahkamah, dan ketiga beliau membelakangkan DUN Perak itu sendiri.

"Sepatutnya beliau tunggu keputusan mahkamah. Apabila beliau lakukan tiga perkara itu, beliau perlu sedar bahawa ia mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

"Saya berbincang dengan ramai peguam, kita lihat situasi di Perak boleh menjuruskan kepada pengisytiharan darurat seperti berlaku di Sarawak dan Kelantan dulu, situasi politiknya mirip dengan di Perak."

Demikian pendapat pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berhubung keputusan Sivakumar kelmarin menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri Sidang DUN.

Dr. Zambry dan enam anggota Exconya masing-masing digantung 18 bulan dan 12 bulan, iaitu tindakan yang mengejutkan dan dianggap banyak pihak tidak sah dan suatu keputusan politik semata-mata.

Beliau yang juga Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan di Perak sekarang sedang kalut, maka tidak mustahil tindakan pengisytiharan darurat diambil di Perak.

"Walaupun ia bukan sesuatu yang diharapkan, namun itu boleh berlaku berdasarkan situasi politik di Perak sekarang," katanya.

Menurut Salleh, dari segi kesalahan Sivakumar itu, pertama beliau tidak menghormati Sultan Perak apabila menganggap tidak sah Zambry mengangkat sumpah ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar.

"Sedangkan pelantikan Zambry adalah keputusan Sultan Perak yang sah mengikut perlembagaan negeri itu dan ini diakui ramai pengamal undang-undang.

"Saya percaya, Dr. Zambry boleh memohon semakan kehakiman daripada mahkamah kerana tindakan Speaker itu agak jelas menimbulkan persoalan," jelasnya.

Menurut Salleh, kesalahan kedua, Sivakumar subjudis disebabkan keputusan penggantungan itu dibuat ketika terdapat permohonan di mahkamah meminta deklarasi berhubung status Nizar sebagai Menteri Besar.

"Kesalahan ketiga pula Sivakumar buat keputusan di luar Sidang DUN.
"Sedangkan majoriti pengamal undang-undang berpandangan bahawa keputusan Speaker mesti dibuat ketika sidang DUN berlangsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salleh menambah, apa yang terbaik dalam hal ini ialah menunggu terlebih dulu keputusan mahkamah berhubung permohonan Nizar sebelum bertindak sebegini.

Katanya, namun, Sivakumar telah mendahului mahkamah dan tindakan yang beliau perlu sedar bahawa ia boleh mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan Sivakumar itu tidak dilakukan secara bona fide atau niat baik sebaliknya bertujuan mengganggu gugat pemerintahan kerajaan negeri sekarang.

Kata beliau, keputusan itu dianggap sebagai terdesak, keterlaluan serta terburu-buru yang menggambarkan tindakan orang kecewa.

Tambahnya, sungguhpun Speaker ada kuasa, namun harus diingat, ia mendapat kuasa itu apabila sidang DUN sedang berlangsung.

"Sebab itu apabila Sivakumar membuat keputusan di luar DUN, ia dianggap menyalahi peraturan. Segala usul mestilah dibentang dan dipersetujui DUN. Macam mana Speaker pandai-pandai buat keputusan.

"Ini komen saya dan pandangan rasmi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak). Kita minta rakyat Perak, lihat dan renungkan gelagat pembangkang sama ada ia sikap pemimpin bertanggungjawab atau tidak," katanya.

Monday, February 16, 2009

KEADILAN UNTUK MOHD SAIFUL, ANWAR

Rakyat kecil seperti Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga memerlukan keadilan.

Mohd. Saiful yang tampil membuat sumpah laknat atau mubahalah di masjid mengikut ke hendak syarak, memerlukan pembelaan sewajarnya.

Tiada perbezaan beliau dengan ‘orang besar’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam konteks keadilan –masing-masing mendakwa di pihak yang benar.

Carilah kebenaran dan percepatkan proses ini untuk tidak mengheret rakyat keseluruhannya tertunggu-tunggu.

Ikuti pendapat Awang Selamat:

KEADILAN DAN KES SAIFUL

Bisik-bisik Awang Selamat (Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009) Ketika negara diwarnai banyak isu politik, kita seakan terlepas perhatian kepada banyak hal dan isu lain. Salah satu daripadanya ialah kes perbicaraan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, Anwar, 61, didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun tahun lalu. Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dibebaskan dengan jaminan peribadi RM20,000.

Awang terpanggil menyentuh hal ini berikutan kenyataan Mohd. Saiful baru-baru ini, yang kesal dan kecewa dengan sikap Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan. Menurut beliau, Anwar sering memberi pelbagai alasan sehingga memberi kesan terhadap kes tersebut.

Kenyataan Mohd. Saiful itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding yang sepatutnya didengar 5 Februari lalu kepada 25 Februari. Keputusan itu diambil selepas peguam bela Anwar mengemukakan notis bantahan supaya Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes itu.

Anwar juga tidak hadir di mahkamah kerana dikatakan mempunyai urusan lain di Ipoh, Perak. Awang tidak berhak dan tidak berminat campur tangan urusan mahkamah. Namun memandangkan kes tersebut menjadi perhatian umum, semua pihak harus lebih komited untuk menyegerakan perbicaraan sebenar kes tersebut.

Sejak aduan polis dibuat pada Jun dan diikuti Anwar dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan pada Ogos, tahun lalu, sehingga kini hampir tiada perkembangan yang signifikan kepada kes itu yang masih berlegar kepada isu permohonan semakan dan notis bantahan.

Jika begini keadaannya, mungkinkah perbicaraan sebenar akan bermula tahun depan dan ia sesuatu yang tidak mustahil tetapi Awang berharap tidak.

Lagi lama kes ditangguhkan, lagi lama keadilan tidak dapat dilaksanakan terutama bagi pihak yang mahu menuntut keadilan.

Perlu diingat, ini bukan soal keadilan untuk Anwar semata-mata, ia juga keadilan untuk Mohd. Saiful, rakyat kecil yang juga ada hak berikutan aduan polis yang dibuatnya. Malah Mohd. Saiful telah tampil membuat sumpah laknat atau mubahalah di masjid mengikut ke hendak syarak.

Itupun ada pihak yang cuba mencetuskan keraguan dan memperlekehkannya termasuk dari kalangan pemimpin Islam disebabkan sentimen politik. Anehnya, mereka ini lebih mudah percaya kepada individu yang membuat sumpah berkanun. Dalam kes Mohd. Saiful dan Anwar ini, masing-masing mendakwa di pihak yang benar. Maka usahlah gundah untuk diadili demi mencari kebenaran.

Sunday, February 15, 2009

JANGAN SAMPAI KEPALA KENA PIJAK

Penulis merasakan ada benarnya pendapat AWANG SELAMAT dalam Mingguan Malaysia hari ini mengatakan kenapa pihak berwajib takut bertindak.

Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai penghinaan terhadap Raja, khususnya Sultan Azlan Shah.

Kita pun tidak faham dengan kerajaan sekarang. Apa yang mahu dijaganya?

Telah banyak pandangan daripada banyak pihak yang mahukan tindakan diambil tersmasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.

Penulis seperti juga Awang - amat bimbang kerana ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu.
Janganlah terlalu memberikan muka, nanti kepala kita sekali dipijaknya.

Kenapa takut bertindak?

(Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009)

Gelombang kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Sah dalam isu peralihan kerajaan negeri itu, adalah mesej yang cukup jelas. Banyak demonstrasi di seluruh negara diadakan bagi mempertahankan raja.

Awang percaya para pemimpin pembangkang khususnya tiga watak utama dalam kemelut tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah faham mesej yang disampaikan oleh rakyat.

Belum terlambat bagi mereka semua memohon maaf kepada Sultan Perak. Begitu juga kepada perusuh di hadapan istana dan kenderaan raja.

Seandainya ada yang ingkar dan terus berdegil, inilah masa untuk bertindak. Tidak guna lagi kita bercakap banyak dan hanya memberi peringatan. Jika pihak berkuasa membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja (sebagaimana kes kenyataan Karpal yang didakwa menghina Sultan Perak pada tahun lalu), ia juga secara tidak langsung adalah penghinaan kepada raja.

Sebagai negara raja berperlembagaan, tiada sesiapa boleh dibenarkan menghina dan memperlekehkan raja. Jika kita berlembut, ia akan membawa isyarat yang salah dan mendorong banyak pihak melakukan perkara lebih dahsyat ke atas institusi raja negara ini pada masa depan.

Pada hari ini pun, sudah banyak reaksi liar dan memburukkan raja berlegar menerusi internet akibat daripada tindakan secara terbuka mencabar Sultan Azlan. Nizar sanggup menderhaka, Anwar berdasarkan kenyataannya mahu Nizar terus menjadi MB walaupun tidak lagi sah (berlawanan dengan titah raja) dan Karpal terus mempersoalkan Sultan Perak selain mahu menyaman baginda.

Awang setuju dengan pandangan banyak pihak yang mahukan tindakan diambil. Antaranya melucutkan kewarganegaraan, dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.

Dalam kita perlu bijaksana melaksanakan hukuman, kita juga tidak boleh kelihatan takut dan teragak-agak. Susah sangatkah mahu melucutkan kewarganegaraan? Seperkara lagi, apa guna ada ISA, jika orang yang menghina raja, tidak boleh ditahan? Anehnya, ada kes yang ditafsir ramai tiada kewajaran dikenakan ISA, diambil pula tindakan. Banyak pengajaran daripada isu ini tetapi apakah kita semua mengambil pengajaran?

Sudah tentu juga banyak persoalan yang timbul antaranya mengapa hanya orang Melayu tampil berdemonstrasi menyokong raja sedangkan baginda juga menaungi rakyat semua kaum sebagaimana terbukti dengan penganugerahan darjah kebesaran saban tahun.

Awang bimbang jika kita tidak berani bertindak, ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Saturday, February 14, 2009

JAUHI PERBUATAN KHURUJ

Soal menderhaka atau membelakangkan pemerintah - pemimpin, termasuk kepada Sultan - bukan mudah diklasifikasikan.

Ia dikatakan bergantung kepada tahap dan sejauh mana rakyat langgar ‘lampu merah’ dalam hubungan rakyat-pemimpin.

Apapun, baca rencana berikut sebagai panduan. Nilailah diri anda:

DERHAKA BUKAN PENYELESAIAN BIJAK DAN ADIL
Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

(Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)

Utusan Malaysia, 13 Feb 2009

ISLAM menyaran umatnya menjauhi sikap "khuruj" iaitu melakukan pemberontakan, penderhakaan dan lain-lain cara penentangan dengan cara yang salah. Ini bermakna, sekiranya wujud kesilapan oleh pemerintah, kita tidak boleh sesuka hati menentang.

Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama.

Amalan itu merupakan ajaran Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa apabila keghairahan dan ketaksuban menguasai diri sehingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah). Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menghasut masyarakat membenci raja. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Teguran terhadap pemerintah mestilah berunsur ikhlas dan dibuat secara berhemah. Ia tidak boleh diiringi oleh hasad dengki dan dilakukan tanpa mengira baik atau buruk.

Sifat ikhlas itulah sepatutnya mengikat seseorang mukmin dan membuatkannya tidak lepas daripada ikatan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah tidak selalunya benar dan tidak juga mencapai darjat maksum. Tetapi mereka yang ingin memperbetulkan kesilapan itu perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat.

Apa yang penting, kita perlu mentaati umarak iaitu pemerintah. Meskipun ada kesilapan mereka, kita tidak harus "menghukumnya" dengan menderhaka kerana ia ditegah oleh syariat. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.

Dan harus diingatkan juga bahawa sumpah setia kepada pemerintah bukan seperti kalung yang boleh dipakai dan ditanggalkan sesuka hati. Kewajipan taat setia itu tetap berterusan selagi pemerintah itu masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada perjanjian taat setia itu.

Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan taat kepada pemerintah. Ia meliputi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negara bagi kaum Muslimin atau pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu. Dalam konteks sebuah negara yang stabil, setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya wajib yakin bahawa pemerintah berhak mendapat taat setia rakyat. Ini merupakan kewajipan syariat.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa melepaskan ketaatan (daripada pemerintah), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal dunia tanpa ikatan taat setia, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah." (Riwayat Muslim).

Kita mesti taat kepada pemerintah pada perkara yang bukan maksiat terhadap Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya 'imamah' (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan.

Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam suatu hadis yang bermaksud: "Barang siapa taat kepadaku, sesunggunya dia taat kepada Allah. Barang siapa bermaksiat (melakukan kesalahan di sisi agama) kepadaku, sesungguhnya dia telah bermaksiat kepada Allah. Barang siapa taat kepada Amir (penguasa), sesungguhnya dia taat kepadaku. Dan barang siapa yang bermaksiat kepada Amir, sesungguhnya dia bermaksiat kepadaku." (Riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang pemerintah dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah itu tetapi tetap tidak melepaskan ketaatan kepada pemerintah tersebut." (Riwayat Muslim).

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah.

Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda: "Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima) arahan itu dan juga tidak boleh taat." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana. Tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungka dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi.

Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah.

Cukuplah bagaimana keseriusan para ulama dalam menjelaskan akidah yang murni ini dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti akan betapa agungnya kewajiban taat kepada pemerintah.

Ini ditegaskan oleh Alllah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orangorang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatilah Rasul-Nya serta Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kamu kepada al-Quran dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah An-Nisa ayat 59)”.

Thursday, February 12, 2009

BNM TERBAIK DUNIA – STIGLITZ

Utusan Malaysia

Bank Negara Malaysia adalah bank pusat terbaik dunia kerana telah berjaya melaksanakan tugas dan peranannya dalam merangka kawalan kewangan.
Selain Malaysia, bank pusat India juga disifatkan sebagai bank pusat terbaik dunia.

Pemenang Anugerah Nobel (Ekonomi), Prof. Joseph Stiglitz berkata, BNM telah berjaya membuat rangka kawalan kewangan yang sangat kukuh sehingga ia mampu melindungi sistem kewangannya dalam mengharungi krisis ekonomi global.

Beliau berkata, kejayaan Bank Negara Malaysia (BNM) itu seharusnya dijadikan contoh kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah yang lain.

‘‘BNM adalah antara bank pusat terbaik dunia kerana telah melakukan tugas dan peranan dengan begitu baik sekali berbanding AS dan negara-negara Eropah.

‘‘Ini membuktikan bahawa bank pusat Malaysia mempunyai kefahaman yang baik dalam sektor perbankan,’’ katanya di luar Persidangan Peringkat Tertinggi anjuran BNM di sini hari ini.
Stiglitz berkata, kejayaan BNM itu wajar dijadikan panduan teknikal kepada AS pada masa depan.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata, memang tidak dapat disangkal negara-negara membangun mempunyai rangka kawalan kewangan yang sangat baik berbanding negara maju.
Bagaimanapun, beliau meramalkan ekonomi Malaysia tetap terjejas dengan ketidaktentuan ekonomi global kerana pendapatannya bergantung kepada sumber eksport.

‘‘Saya tidak menafikan Malaysia adalah satu satu contoh negara pengeksport yang berjaya di rantau ini tetapi perdagangan antarabangsa kini sedang menguncup dengan pantas berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar global.

‘‘Oleh sebab itu, ekonomi negara yang bergantung kepada eksport akan mengalami tempias krisis global,’’ ujar beliau.