Saturday, May 28, 2016

Isu Tanah Perda: Exco Pulau Pinang Beri Keterangan Di SPRM


Exco kerajaan DAP Pulau Pinang Dr Afif Bahardin pada 27 Mei lalu memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal dekat Butterworth.

Dr Afif berkata beliau dihubungi pihak SPRM minggu lepas untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu tanah milik Perda yang didakwa dijual di bawah harga pasaran itu.

"Kami harap kes itu dapat disiasat dengan teliti...saya yakin SPRM cukup profesional dan percaya dengan integriti SPRM untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita sebelum memberi keterangan kira-kira 35 minit di pejabat SPRM.

Pada 7 April, Dr Afif mewakili kerajaan DAP Pulau Pinang membuat laporan kepada SPRM berhubung isu penjualan tanah milik Perda itu dan menamakan Datuk Shabudin Yahaya selaku Pengerusi Perda merangkap Anggota Parlimen Tasek Gelugor sebagai individu yang bertanggungjawab mengakibatkan penjualan tanah milik Perda itu di bawah harga penilaian pasaran.

Pada sidang akhbar 1 April lepas, Shabudin berkata Perda menjual tanah itu pada harga RM1.42 juta dengan meletakkan syarat kepada pemaju, membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik berharga antara RM42,000 dan RM72,000.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini berkata mengikut penilaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), nilai keseluruhan tanah seluas 3.4 hektar itu ialah RM16.6 juta.

Sementara itu sumber SPRM berkata beberapa pihak lagi termasuk pengurusan Perda akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.


"Kami harap kes itu dapat disiasat dengan teliti...saya yakin SPRM cukup profesional dan percaya dengan integriti SPRM untuk menyiasat perkara ini," tegasnya.

Dr Afif yang merupakan Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri tiba di pejabat SPRM Seberang Perai di Jalan Kampung Jawa, di Butterworth pada 10.25 pagi ditemani peguamnya Ong Chin Wen yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah.

Sementara itu pada Selasa lalu (26 Mei)  SPRM  Perlis menahan 23 penjawat awam termasuk dua wanita kerana membuat tuntutan palsu sepanjang 2015, dalam operasi yang dijalankan pada 24 dan 25 Mei lepas.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata mereka yang ditahan di negeri ini terdiri daripada pelbagai agensi dan kumpulan jawatan.

"Siasatan mendapati mereka telah membeli resit dari hotel bajet di sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM10, kemudian membuat tuntutan di pejabat masing-masing dengan harga antara RM160 dan RM220 (mengikut kadar kelayakan gred masing-masing)," katanya dalam kenyataan di Kangar.

Menurutnya, ada juga antara mereka yang membuat tuntutan palsu berkenaan secara kerap iaitu sebanyak 10 kali dalam tempoh setahun dengan jumlah tuntutan individu yang mencecah RM9,850.

Jumlah keseluruhan tuntutan bagi semua kes berkenaan ialah sebanyak RM37,180 dan SPRM percaya masih terdapat kegiatan sama yang dilakukan dalam kalangan penjawat awam lain memandangkan hanya dua hotel sahaja yang telah diperiksa setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694), katanya.

Menurut Yaacop, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu arahan selanjutnya daripada TPR.

Susulan itu, SPRM telah menahan seorang lelaki warga Pakistan yang juga pemilik salah sebuah hotel bajet yang diperiksa dalam operasi pada 25 Mei lepas dengan bantuan anggota Cawangan Perisikan Khas Ibu Pejabat SPRM.

Pemilik hotel bajet berusia 58 tahun itu direman selama empat hari untuk membantu SPRM melengkapkan siastan berhubung kes berkenaan.