Saturday, November 8, 2008

PPRT - SIAPA SEBENARNYA BERSALAH?

Menarik sekali ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bloknya bertajuk ‘FORMER SECRETARY-GENERAL ACQUITTED’ .

Latar belakangnya ialah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membenarkan rayuan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan melakukan pecah amanah dan penipuan.

Semasa membebaskannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata tidak ada keterangan menunjukkan bahawa dia memberi tekanan kepada pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Alwi Said, untuk mengeluarkan dana tanpa kelulusan.

Abdul Aziz dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 2005 kerana bersubahat dengan Alwi melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur.

Beliau juga dikenakan hukuman penjara lima tahun lagi kerana menipu Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed melalui surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di pejabat Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur.

Hukuman berkenaan berjalan serentak.

Atas tuduhan pertama, Mohamad Zabidin berkata walaupun wujud syak wasangka yang kukuh bahawa Alwi melakukan pecah amanah atas desakan Abdul Aziz namun ia tidak dapat diterima sebagai keterangan.

Tuduhan kedua pula, katanya proses keseluruhan berkaitan dengan kelulusan projek itu dilakukan secara telus dengan pengetahuan sepenuh oleh Lembaga Ketengah.

“Oleh itu adalah salah untuk menyatakan bahawa Menteri Kewangan dipujuk untuk meluluskan projek tersebut kerana fakta-fakta ini tidak tercatat dalam surat yang dihantar kepada kementerian,” katanya.

Abdul Aziz kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kepada Tuhan kerana kebenaran akhirnya terbukti.

Cara Dr Mahathir membentangkan komennya cukup kuat untuk kita bertanya kembali beberapa perkara:

1. Jika Dr Mahathir mengetahui Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad seorang kakitangan kerajaan yang baik, kenapa dibiarkan dimangsakan? Kenapa biarkan beliau dianianya sedemikian?

2. Jelas bahawa selain Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed, ada orang turut menipu Dr Mahathir – tidak mungkin Menteri yang bertanggungjawab dengan projek pembiakan ‘koi’ dan tanaman orkid - memberitahu Dr Mahathir sebagai projek menguntungkan? Sayang yang menipu bebas dengan menjadikan orang lain mangsanya.
Kalau mahu menuduh Menteri berkenaan bertanggungjawab, kenapa pula Dr Mahathir ‘menyelamatnya’ dengan membiarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum 1999 dan kalah!

3. Bolehkah kes ini dibuka semula atau Abdul Aziz menyaman mereka yang pernah menganianya?

Juga menarik ialah seorang pembaca yang menamakan dirinya ahmad_syah dalam responnya kepada tulisan Dr Mahathir itu berkata: “ Ya saya setuju dengan tun mengenai projek tanaman orkid tersebut. Pada waktu itu saya masih tinggal di Gua Musang, dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) - badan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sibuk menanam pokok orkid di tepi jalan utama Gua Musang menuju Kota Bharu. Setahun kemudian tapak projek tersebut tinggal jadi semak samun. entah berapa juta duit habis buat projek sia sia ini.”

Apapun kita bersyukur dan secara kebetulan dua Aziz terbabit dalam kes yang dikaitkan dengan PPRT ini.

Satu ialah Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad yang dibebaskan dan kedua ialah peguam yang membebaskan beliau kebetulan juga Aziz iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines) selainb Saseedharan Menon.

Apapun, adalah baik kita merenung kembali kenyataan Dr Mahathir mengenai isu PPRT ini:

Dr. Mahathir kesal pihak selewengkan wang PPRT PUTRAJAYA 12 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyelewengkan wang peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah berusaha memastikan penyaluran wang kerajaan diuruskan dengan sebaik mungkin tetapi masih ada pihak yang cuba menyalahgunakannya untuk kepentingan mereka.

``Kita buat nak bagi betul tetapi orang yang tak betul. Macam mana kita buat pun, dia cari lubang (peluang) sana lubang sini, nak menyeleweng,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis perjumpaan dan dialog dengan guru takmir masjid peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan penyelewengan wang PPRT sebanyak RM40 juta pada tahun 1999. Laporan tersebut menyebut wang itu digunakan untuk kempen pilihan raya 1999 di beberapa bahagian di Kelantan.

Pihak yang terlibat dalam kes itu dipercayai berpakat dengan pihak tertentu di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan beberapa pihak lain untuk mendapatkan wang program itu.

Mereka dikatakan mengemukakan senarai nama individu di Kelantan untuk mendapatkan bantuan PPRT, walaupun tidak layak menerimanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan tidak menolak kemungkinan ia hanya satu dakwaan palsu.

Katanya, ini kerana ada pihak yang sengaja membuat dakwaan liar seperti itu tetapi kemudian gagal mengemukakan bukti apabila diminta.

``Saya tak tahu. Kena tunggu dulu. Laporan macam itu kena ditentukan sahih atau tidak,'' tegasnya.