Monday, May 16, 2016

Perkemas Ketelusan Projek Elak Tragedi Tenggelam Berulang


Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.


Barangkali banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu kota, Khamis lalu, membuka mata pelbagai pihak mengenai natijah daripada kepincangan aspek pelaksanaan andai benar ia terpalit dengan rasuah. 

Pegangan bahawa wang berkuasa membuatkan segelintir pihak 'tutup sebelah mata' meskipun segala kekurangan seperti spesifikasi pembinaan, kualiti dan ketahanan terpampang ketika pemeriksaan akhir terbukti mengundang padah apabila ratusan rakyat terkandas dalam banjir.

Sebagai ikon kota metropolitan dan dilengkapi sistem pengairan berkeupayaan tinggi, tidak mungkin Kuala Lumpur 'tumbang' akibat penangan hujan tanpa henti selama sejam atau kira-kira dua kali ganda daripada taburan biasa seperti dijelaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Adakah keadaan akan lebih buruk sekiranya benar ramalan pakar alam sekitar bahawa La Nina yang menyebabkan taburan hujan melebihi paras normal melanda seluruh negara hujung tahun ini?

Jika sahih setiap pembinaan untuk sistem perparitan dan saliran ibu kota seindah di atas kertas projek, maka rakyat boleh menghela nafas lega kerana suhu Kuala Lumpur penghujung tahun mungkin sejuk dan sentiasa basah, tetapi bukan tenggelam.

Penilaian menyeluruh

Sebaiknya, penilaian menyeluruh perlu digerakkan mencakupi setiap rantaian pembinaan iaitu daripada peringkat pemberian tender kontrak sehingga sesebuah projek menerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.

Pemilihan syarikat kroni hakikatnya bakal mengundang padah kerana untuk 'mengenyangkan perut' semua pihak, kontraktor akhirnya terpaksa 'curi' sana sini sehingga saiz parit dikecilkan.

Jalan terbaik ialah kerajaan perlu memperkemas aspek ketelusan dalam pembinaan dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan berkala, malah penilaian projek bukan sekadar dilakukan selepas ia siap kerana ketika itu luarannya tampak cantik, tetapi sistem saliran di bawah tanah caca marba.

Sehubungan itu, arahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin perlu dilaksana dengan membawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengenal pangkat dan darjat kerana mengambil rasuah ke muka pengadilan.

Semua pihak, khususnya agensi pelaksana di setiap kementerian sewajarnya memandang arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam itu sebagai semboyan memerangi kepincangan mencatur pembangunan dek rasuah hingga menyusahkan rakyat.

Jangan hanya berdegar-degar membela nasib rakyat dengan menyiasat pihak yang terbabit untuk mengatasi banjir, tetapi akhirnya ratusan kereta bertukar menjadi perahu dan pemandu teksi tersadai di atas bumbung kenderaannya menepuk dahi memikirkan nasib keluarga.

Penulis ialah Presiden Transparency International Malaysia