Tuesday, August 16, 2016

Rasuah RM13 Juta - Tiga, Termasuk Pengarah DBKL Direman Tujuh Hari

Datuk Seri direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Tiga pegawai kanan kerajaan hari ini ditahan secara berasingan di Melaka, Putrajaya dan Kota Baru, berikutan rampasan aset bernilai berjuta-juta ringgit dalam satu serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Mereka direman sehingga 22 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM atas dakwaan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Siasatan ke atas ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 50-an itu dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki (gambar kanan) semalam berkata, pihaknya membekukan akaun bank milik ketiga-tiga individu berkenaan yang melebihi RM13 juta, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang daripada mereka.

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini memerintahkan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan reman lelaki berusia 54 tahun itu selama tujuh hari sehingga 22 Ogos ini.

Lelaki itu yang dibawa ke pekarangan mahkamah pukul 9.30 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM dan dibawa keluar kira-kira pukul 10.15 pagi.

Di Melaka, seorang pengarah sebuah jabatan bergelar Datuk direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan SPRM berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 56 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Majistret Melaka, Syarina Shaarani di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Suspek yang memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan seluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh kira-kira pukul 9.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Pegawai kanan TNB Kelantan dibawa keluar selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
Sementara  seorang pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan ditahan reman tujuh hari di Kota Bharu, bagi membantu siasatan kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap suspek yang berusia 46 tahun itu bermula hari ini sehingga 22 Ogos depan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju kemeja biru dan seluar hitam tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hari ini media  melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka berpangkat Datuk dan Datuk Seri selepas ditahan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, rasuah serta pengubahan wang haram di tiga negeri.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan dalam operasi serentak yang dijalankan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang semalam.

SPRM bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka berpangkat Datuk dan Datuk Seri selepas ditahan atas semalam bagi membantu siasatan.

Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk unit penthouse dan rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya termasuk Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan pengubahan wang haram

Azam juga berkata wang bernilai lebih kurang RM400,000, termasuk mata wang asing, serta beberapa utas jam tangan mewah dijumpai dalam operasi berkenaan.