Saturday, November 19, 2011

Calon Boleh Memang - OK, Tapi Jangan Jadi Macam Sarkas

Oleh Zabidi Saidi (The Malaysian Insider - November 19, 2011)

Soal calon boleh menang sudah menjadi sebahagian daripada pertimbangan pemimpin-pemimpin Umno peringkat bahagian menjelang perhimpunan agung Umno hujung bulan ini.

Bagaimanapun mereka masih berbelah bahagi dengan cadangan pucuk kepimpinan mahu meletakkan orang luar sebagai calon BN pada pilihan raya umum ke-13. Ada yang bersetuju dan ada pula yang membantah kerana ia melanggar tradisi parti meletakkan bukan ahli sebagai calon.

Mereka mengulas kemungkinan BN meletakkan calon luar seperti Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas, Datuk Zulkifli Nordin di Kulim Bandar Bharu dan ahli-ahli Parlimen Bebas yang rajin turun padang di kawasan parlimen mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar berpendapat kalau mereka ini calon-calon yang boleh menang, kenapa tidak letakkan mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata “kita mahu BN menang, jadi kalau letak orang Umno, BN kalah, lebih baik letak orang luar kalau diyakini calon luar itu boleh menang.”

“Kita mahu menang. Tidak kira siapa jadi calon asalkan BN dapat majoriti dua pertiga,” katanya lagi.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Umno Tuaran, Datuk Aliasgar Basri berpendapat bahawa Umno wajar meletakkan calon seperti mereka sekiranya dinilai ‘winnable and sustainable’ dengan syarat mereka hendaklah menjadi ahli Umno.

“(Oleh itu) ‘winnable and sustainable candidates’ hendaklah mereka yang boleh menang dan mengukuhkan lagi BN bagi memenangi pilihan raya umum ke-13. Dalam pada itu BN perlu meletakkan lebih ramai calon baru dan calon muda,” katanya.

Menurutnya DAP menang kerana sentiasa meletakkan ramai calon baru dan calon muda. Dalam pada itu calon lama yang masih diterima rakyat wajar juga dikekalkan sebagai calon.

Pun begitu menurut bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh, bekas Ahli Parlimen PKR bukanlah ‘winnable candidate’.

Menurutnya seilangan adalah tukang sorak yang sukar untuk menang, malah pasti akan ditolak oleh pemimpin BN di bahagian berkenaan.

Beliau mencabar BN meletakkan Datuk Nalakaruppan di kerusi tradisi India sama ada beliau boleh menarik undi orang India atau tidak.

“Kita mahu lihat sama ada pelantikannya sebagai senator diterima oleh rakyat dan kita mahu lihat sejauh mana pengaruh beliau,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa ‘winnable candidate’ mestilah orang yang tidak pernah tercalar dengan kontroversi, berpengaruh dan meyakinkan.

Katanya lagi, menjadikan Ahli Parlimen bebas yang menang atas tiket pembangkang hanya akan menyebabkan BN menyerahkan peluangnya untuk menang kepada harimau sarkas yang hanya menjadi hiburan khalayak sarkas politik semata-mata.

Mengulas isu ini, bekas setiausaha BN Sabah, Datuk Basalie Hamid juga tidak bersetuju meletakkan orang luar sebagai calon BN.

“Mereka akan kalah dan kalau mereka calon boleh menang, kenapa mereka tidak tanding di Pulau Pinang atau di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Aspek calon boleh menang menjadi pertimbangan pucuk kepimpinan Umno-BN menjelanh pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Penerimaannya menjadi masih tanda soal. Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan dilihat akan menjadi ubat penyelesaian.