Thursday, March 30, 2017

Penguat Kuasa JPJ, Imigresen, KPDNKK, Polis Serta 3 Orang Awam Didakwa

Penguatkuasa yang ditahan di Ipoh
Tiga belas anggota penguat kuasa melibatkan empat agensi penguatkuasaan dan tiga orang awam yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Tertuduh terdiri daripada lima penguatkuasa Imigresen, masing-masing dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), empat anggota polis serta tiga orang awam.

Lima daripada mereka yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar adalah dua penguat kuasa KPDNKK, seorang penguat kuasa JPJ dan dua orang awam.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Di IPOH, di Mahkamah Sesyen, mereka yang dituduh merupakan bekas pengarah Imigresen dan Ketua Unit Imigresen Negeri Perak, manakala di Mahkamah Sesyen Melaka, seorang polis berpangkat Sarjan telah dituduh. Kesemua tertuduh dituduh mengikut Sesyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.

Tertuduh pertama, Zulhairin Yahya, 45, ketika bertugas sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Perak didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan dekat Seri Manjung.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Nga melalui Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak, Zaidi Dali supaya tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Sementara itu, Zaidi, 49, didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Nga bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan yang sama, kira-kira pukul 9 malam, 5 November 2015.

Zaidi yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Perak juga didakwa memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM7,000 daripada Nga untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Zaidi diwakili peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim sementara Zulhairin diwakili Ahmad Zaidi Zainal.

Anggota polis ditahan di Johor
Di JOHOR, Mahkamah Sesyen Johor, tiga anggota polis dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.

Mereka  didakwa kerana  dikaitkan dengan rasuah sebanyak RM20,000.

Konstabel S. Logeshvaran, 31, Konstabel Rhomarino Rafie, 33, dan Inspektor Isa Ahmad, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsur.

Logeshvaran didakwa telah meminta RM2,000 daripada S. Ravi, 49, supaya tidak dikenakan tindakan terhadapnya kerana mengambil pekerja asing tanpa izin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Taman Nusa Perintis di Gelang Patah pada jam 2 petang, 12 Jun tahun lepas.

Logeshvaran juga didakwa telah menerima jumlah yang sama dari Ravi pada tarikh yang sama pada kira-kira pukul 4.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (A) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) dan Seksyen 17 (A) akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum  20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah dan Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan sebutan kes pada 8 Mei ini.

Di SHAH ALAM, DI Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, mereka yang dituduh adalah tiga penguat kuasa Imigresen dan seorang penguat kuasa JPJ dan seorang orang awam.

Mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


Kesemua penguat kuasa mengaku tidak bersalah dan telah meminta untuk dibicarakan manakala seorang orang awam di yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM5,000.