Friday, April 22, 2016

Apakah Indeks Persepsi Rasuah Gambarkan Keadaan Sebenar?


Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff menyangkal tanggapan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku.

Tanpa menolak sepenuhnya penggunaan indeks itu, beliaumendakwa, pemarkahan CPI berdasarkan pandangan orang luar yang datang ke negara ini dan bukannya rakyat Malaysia sendiri.

“Kita kena faham bagaimana CPI dikaji. Ia daripada banyak laporan yang dibuat agensi serata dunia, yang berdasarkan pandangan persepsi orang luar yang datang ke sini. Mereka tidak ambil kira pandangan rakyat tempatan, takut ‘bias’.

“Ini indeks persepsi, berbeza dengan realiti. Tambahan pula ia persepsi orang luar. Misalnya ada yang pernah datang ke sini dan ditipu, selamanya mereka akan kata Malaysia negara yang menipu,” katanya dalam sesi wawancara 16 Feb lalu.

Pandangan DR Anis Yusal ini ternyata berbeza dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kepada FMT pada 14 Februari lalu, yang menganggap kedudukan Malaysia dalam CPI memang mencerminkan keadaan sebenar Malaysia.

Menteri itu berkata, kedudukan Malaysia yang kian merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mencerminkan keadaan sebenar di negara ini.

Beliau berkata, CPI yang dikeluarkan oleh TI itu memang boleh dipercayai dan menjadi rujukan antarabangsa.

“Saya percaya kepada indeks oleh TI ini, ia digunakan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Ia memang mencerminkan keadaan sebenar dalam negara. Memang indeks ini tentang persepsi, tetapi persepsi lahir daripada apa yang terjadi,” katanya sambil merujuk pepatah Melayu ‘masakan tiada angin pokok boleh bergoyang’.

Malaysia berada pada kedudukan ke-54 dalam CPI 2015, merosot empat kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

CPI mengkaji sejauh mana sektor awam sesebuah negara dilihat sebagai korup, dan menggunakan perkaedahan yang berbeza bagi setiap tahun.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Sattar dilapor berkata, campur tangan kerajaan dalam institusi penguatkuasaan menyumbang kepada kemerosotan tersebut.

Antaranya adalah penukaran Peguam Negara dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, serta pemindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika diminta mengulas perkara itu, menteri yang bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti bersetuju dengan Akhbar dan menyifatkannya sebagai satu hakikat.

“Institusi penguatkuasaan dalam negara memang perlu bebas dan kuat,” katanya lagi.

Dr Anis Yusal, bekas Penolong Wakil Residen Pejabat United Nations Development Programme (UNDP) itu juga mendakwa, pengkaji yang merangka CPI iaitu Johann Graf Lambsdorff sendiri sudah tidak bersama TI kerana merasakan indeks itu digunakan terlalu berlebih-lebihan.

“Prof Lambsdorff yang merangka CPI sendiri letak jawatan dan tidak mahu teruskan, kerana rasa ia berlebihan. Tetapi tiada masalah untuk TI terus menggunakannya.

“Cuma apa tujuan kita ketika menggunakan indeks ini. Jika mahu pastikan apa masalah di Malaysia, ia hanya persepsi orang luar. Walaupun kita akui rakyat Malaysia juga ada persepsi sendiri,” tegasnya.


SPRM dan Isu Rasuah Di Malaysia


Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wanghadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Di Malaysia, badan yang melaksanakan fungi ini ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, Malaysia atau singkatannya BPR mula beroperasi pada 1 Oktober 1967 sebagai sebuah jabatan penuh. 

Pada 1 Januari 2009, ia digubal dan di olah semula untuk menjadi SPRM. Ketua pesuruhjaya SPRM terkini adalah Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed. 

Tan Sri Abu Kassim juga kini merupakan Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) di mana beliau dipilih pada November 2013.

Menurut SPRM, terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

Meminta/Menerima Rasuah
Menawar/Memberi Rasuah
Membuat Tuntutan Palsu
Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang diluluskan oleh Parlimen melegakan semua pihak kerana kini negara berada di landasan tepat untuk mencapai tahap integriti yang selari dengan pembangunan negara menjelang 2020.

Selepas dibahaskan selama dua hari membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, akhirnya ia diluluskan menerusi suara majoriti anggota Dewan yang bersidang dalam suasana agak tegang. 

Ternyata hasrat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu melihat perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan ketika mula memegang jawatan pada 2004, mula menampakkan hasil.


Ia bermula dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia yang bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran dan tadbir urus negara, diikuti SPRM, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Program Perlindungan Saksi.

Semua ini adalah ilham Abdullah ketika mengambil alih jawatan untuk memperlihatkan keterbukaan dalam pentadbiran kerajaan, malah ia menjadi sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

Seperti dijangkakan, perubahan berlaku secara berperingkat-peringkat dalam usaha kerajaan merealisasikan Wawasan 2020, untuk menjadikan negara dalam kelompok negara maju.


SPRM yang bakal menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mulai Januari depan, mempunyai struktur pentadbiran dan bidang pelaksanaan yang menyeluruh serta mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan.


Sebagai rakyat, kita cukup gembira dengan pembentukan suruhanjaya ini, selepas melihat gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan negara.

Kita yakin SPRM yang mengambil pendekatan dilaksanakan Pentadbiran Hong Kong dalam mencegah rasuah selama 30 tahun, akan beroleh kejayaan berikutan gejala rasuah di negara ini masih pada tahap terkawal.


Dengan lebih 5,000 kakitangan SPRM yang diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah, hasrat kerajaan untuk menghapuskan gejala itu sudah pasti mampu dicapai, terutama dengan sokongan seluruh rakyat.

Malah, cadangan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi.

Begitu juga Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang turut dibahaskan di Parlimen bakal memantapkan lagi institusi berkenaan selepas terjejas teruk berikutan krisis kehakiman yang melanda sebelum ini.


Kita berharap semua pihak terus memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan bagi memantapkan lagi pentadbiran supaya tadbir urus yang dijalankan telus dan memanfaatkan rakyat.


Pentadbiran telus dan berwibawa amat penting bagi membawa negara ini melepasi halangan dan krisis ekonomi yang tidak nampak penghujungnya.


Jadi menerusi rang undang-undang bersejarah ini, semua pihak perlu melihat ke depan untuk bersama berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai Misi Nasional negara.

Salam Pembaca

Blog ini mulai 22 April 2016 akan hanya membicarakan isu-isu salah laku, rasuah dan penyelewengan dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. SELAMAT MEMBACA.