Friday, October 17, 2008

SAMY VELLU BELA AHLI HINDRAF

Geger memperkatakan kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Kerajaan menganggapnya kumpulan ekstrimis. Aktiviti Hindraf telah secara konsisten melanggar undang-undang, dan demonstrasi haram yang dianjurkan mereka bertukar menjadi ganas dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Kerajaan kelmarin mengharamkan Hindraf kerana ia melanggar Akta Pertubuhan.

Polis sudah berikrar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) jika ia masih menjalankan aktiviti selepas diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan memantau sebarang tindakan yang diambil pertubuhan tersebut selepas pengisytiharan berkenaan.

''Hindraf kini tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti di bawah nama pertubuhan tersebut dan jika mereka masih beroperasi, kita akan mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Akhirnya kerajaan akan menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kumpulan ekstremis yang diharamkan, Hindraf,
Demikian menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam.

Sebaliknya MIC pula akan berusaha mendapatkan pembebasan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember tahun lepas.

Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu berkata tindakan itu adalah atas sifat perikemanusiaan dan juga kerana permintaan keluarga mereka yang ditahan.

"Kami kesian kepada lima orang ini kerana keluarga mereka dan lain-lain telah membangkit perkara ini (berkaitan pembebasan). Sebagai (sifat) kemanusiaan kita ambil tindakan untuk (berusaha) mendapat pembebasan mereka," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur semalam.

Samy Vellu berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan semalam mewartakan Hindraf sebagai pertubuhan haram.

Lima yang ditahan ialah R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 47, V.Ganabatirau, 35, P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35.

Ditanya sama ada pengharaman Hindraf akan memberi kesan negatif daripada segi sokongan masyarakat India terhadap parti itu, Samy Vellu berkata MIC mempunyai kekuatannya sendiri dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India.

Syed Hamid menegaskan, polis akan menjalankan penyiasatan secara menyeluruh dan terserah kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman jika mereka didapati bersalah.

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan ekstremis tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mereka kerana di masa lepas kerajaan telah mengambil tindakan terhadap Al-Arqam, Al-Maaunah dan Kumpulan Militan Malaysia, katanya.

"Keutamaan kerajaan ialah melindungi keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Kejadian terbaru melibatkan Hindraf ialah mengganggu Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Kabinet di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu,

"Mereka menyebarkan mesej yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Mereka mencetuskan rasa takut di kalangan orang ramai. Mereka malahan mengancam nyawa orang ramai," kata Syed Hamid.

"Walaupun kerajaan bersedia mendengar rintihan rakyat malahan yang disuarakan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, kerajaan tidak dapat bertolak ansur dengan kumpulan kecil yang menyebarluaskan ekstremisme yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama," katanya.

Katanya kaum India tidak diabaikan di negara ini kerana mereka diwakili dengan baik oleh 14 anggota Parlimen India, 21.4 peratus dalam bidang perundangan, 18.4 peratus dalam bidang perubatan dan pendapatan mereka secara menyeluruh ialah 1.2 kali lebih tinggi daripada pendapatan orang Melayu.

Daripada segi golongan yang hidup di bawah garis kemiskinan, kaum India sebanyak 2.9 peratus, Cina (0.6 peratus) dan Melayu (8.3 peratus), katanya.

Syed Hamid berkata juga terdapat nisbah satu kuil bagi 149 penganut Hindu berbanding satu masjid bagi 2,300 orang Islam di negara ini.

Ditanya kenapa sekarang kerajaan mengambil langkah mengharamkan kumpulan itu, beliau berkata kerajaan perlu menjalankan penyiasatan terperinci.

Mengenai pengharaman kumpulan itu yang dibuat sebelum perayaan Deepavali pada 27 Oktober ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keamanan dan kestabilan di negara ini pada setiap masa.