Saturday, September 10, 2016

Mantapkan Sistem, Prosedur - SPRM, DBKL Tubuh Pasukan Petugas Khas


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi meneliti secara khusus isu kelemahan sistem dan prosedur bagi tujuan penambahbaikan dalam usaha memantapkan proses kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek-projek di DBKL dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya.

Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki itu turut dianggotai pegawai-pegawai daripada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.
     
"Pembentukan pasukan tersebut merupakan satu usahasama yang diambil selepas beberapa pegawai kerajaan disiasat baru-baru ini atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Sebagai permulaan, pasukan ini telah mengenal pasti lima isu berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di DBKL," jelas kenyataan itu.

Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan penswastaan, garis panduan pembelian hartanah oleh pegawai dan kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta pemantauan pembangunan tanah di ibu negara.

Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan bertanggungjawab merangka beberapa cadangan kepada pihak DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi tersebut.

SPRM berharap kerjasama antara dua pihak itu akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam sektor awam.


Semalam, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali didakwa di Mahkamah Sesyen  atas sembilan pertuduhan rasuah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM4.4 juta.  

Bagaimanapun, Syed Afendy Ali, 54, yang memakai sut lengkap, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 18 pertuduhan itu di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu Timbalan Pengarah Jabatan Kewangan (Ketua Bahagian Pembangunan dan Penswastaan) DBKL, didakwa secara rasuah memperoleh suapan seorang individu, Rodziah Abd Samad, 54, iaitu satu unit lot kedai tiga tingkat di alamat 11, 11-1 & 11-2, Pusat Perdagangan Danau Lumayan, Jalan Danau Lumayan, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu mengesahkan semakan tuntutan bayaran kemajuan oleh syarikat Danau Lumayan berkaitan projek usaha sama dengan DBKL.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Bahagian (Pembangunan dan Penswastaan) Jabatan Kewangan DBKL, di Kuala Lumpur, pada 2 Mac 2009 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan, Syed Afendy Ali, yang ketika itu seorang Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menerima benda berharga empat individu dengan tiada balasan iaitu lapan unit kondominium di Suasana Lumayan Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak, yang masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan. 


Lapan kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dalam meluluskan tuntutan bayaran kemajuan oleh syarikat Danau Lumayan berkaitan projek usaha sama dengan DBKL.





Tertuduh dituduh melakukan lapan kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPPDBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 Sept 2013 dan 16 okt 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda ataukedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua sembilan pertuduhan rasuah itu berjumlah RM2.9juta.

Syed Afendy Ali turut menghadapi sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 (Akta 613) melibatkan RM1.5 juta.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa menerima wang berjumlah RM1,650,000 melalui enam keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor dan akaun miliknya bersama Rodziah iaitu hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Taman Mutiara Cheras dan Maybank Cawangan Raja Laut, di sini di antara 27 Mac 2012 dan 6 Dis 2012.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Syed Afendy Ali didakwa menggunakan wang sebanyak RM582,500 melalui tiga keping cek milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor yang merupakan hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pembayaran pembelian tiga unit kondominium Astana Lumayan, Bandar Sri Permasisuri di CIMB Bank Berhad, Taman Mutiara Cheras di sini pada 14 Mac 2013.

Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, dia didakwa menggunakan wang sebanyak RM767,500 melalui tiga keping cek milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor iaitu hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran komisyen kepada Goh Wai Shim, pembelian lot kedai dan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia ditempat sama di antara 4 Feb dan 14 Mac 2013.

Bagi sembilan pertuduhan itu, Syed Afendy Ali dituduh mengikut Seksyen4(1)(a) AMLATFA 2001 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar menawarkan wang jaminan RM1.5 juta bagi pertuduhan rasuah dan RM500,000 bagi AMLATFA dengan seorang penjamin.

Peguam M. Athimulan yang mewakili Syed Afendy Ali merayu supaya jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan tertuduh tidak mampu mengumpul wang jaminan itu kerana akaun tertuduh dan keluarganya telah dibekukan selain sentiasa memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Allaudeen membenarkan Syed Afendy Ali diikat jamin RM1 juta bagi kesemua pertuduhan itu dengan seorang penjamin serta memerintahnya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.


Bagaimanapun, Syed Afendy Ali kemudian merayu kepada Allaudeen supaya wang jaminan itu dikurangkan lagi kerana RM1 juta adalah terlalu besar buatnya.

"Saya bertugas sebagai penjawat awam selama 30 tahun, saya tidak mungkin melarikan diri. Saya pun tiada apa lagi, geran tanah pun tiada, saya anak tunggal...sejak ditangkap, saya turut kehilangan rakan-rakan terdekat.

"Dua anak saya masih belajar, seorang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia dan seorang lagi pelajar tahun pertama di sebuah universiti tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) namun, tajaan itu pun dibekukan," katanya.

Selepas mempertimbang rayuan tertuduh, Allaudeen menjelaskan bahawa kesalahannya merupakan jenayah serius melibatkan kepentingan awam yang tidak boleh diikat jamin.

Beliau mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta itu tetapi mengarahkan Syed Affendy Ali membayar RM400,000 hari ini manakala selebihnya perlu dijelaskan sebelum Rabu depan (14 Sept) dan menetapkan 13 Oktober untuk sebutan semula kes.