Sunday, September 19, 2010

WAN AZIZAH, ZAID DISISIHKAN ANWAR?

Mana ada keadilan dalam Parti Keadilan Rakyat. Usahkan untuk rakyat, di kalangan pemimpin tertinggi pun tidak ada keadilan.

Datuk Zaid Ibrahim kini merasainya sendiri. Dalam pemilihan UMNO, hanya cakap-cakap sahaja mengatakan pemimpin tertinggi sokong orang itu dan orang ini. Tetapi dalam PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas berpihak dalam pemilihan parti untuk jawatan Timbalan Presiden.

Kini segala teka-teki kini sudah terjawab.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang dianggap anak emas dan orang paling disayangi Anwar sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan November nanti.

Beliau berhasrat untuk menggantikan Syed Hussein Ali yang membuat keputusan berundur dengan alasan bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Berikutan keputusan itu sudah tentulah Anwar yang dilantik sebagai pengurus kempen kepada Azmin akan menjelajah seluruh negara bagi memastikan anak emasnya itu mencapai kejayaan.

Walaupun Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR sepatutnya berkecuali tetapi syarat itu mungkin tidak terpalit kepada beliau.

Penyokong-penyokong Anwar dan Azmin berhujah, ia disebabkan yang menjadi Presiden PKR bukan Anwar tetapi isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail justeru Wan Azizahlah yang patut berkecuali, namun semua orang tahu Wan Azizah tidak ada kuasa apa-apa! Semuanya diuruskan oleh Anwar.

Sebab itulah Anwar tidak mahu dicalonkan bertanding apa-apa jawatan, buat apa nak susah payah bertanding, kalau sekarang pun sudah cukup berkuasa mengendalikan parti biarpun hanya menyandang jawatan Ketua Umum.

Apabila Azmin sudah membuat pengumuman maka calon-calon lain perlulah berfikir dua kali sama ada hendak bertanding atau tidak. Tidak kisahlah mereka disokong oleh Wan Azizah atau anaknya, Nurul Izzah, itu tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana kedua-dua mereka tidaklah sehebat Anwar dari segi pengaruh.

Sebaliknya kedua-dua mereka hanya mengikut telunjuk Anwar. Selama ini walaupun ada tindak-tanduk Anwar tidak betul, Wan Azizah terus menjadi isteri yang taat dan Nurul Izzah kekal menjadi anak yang patuh.

Oleh itu percaturan politik mereka dengan menyokong mana-mana calon yang menentang Azmin boleh dianggap satu usaha sia-sia.

Nurul Izzah dikatakan menyenangi Datuk Zaid Ibrahim berbanding Azmin, sebab itulah dalam satu kenyataan beliau menganggap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu orang yang paling layak menduduki kerusi nombor dua.

Bagaimanapun pendirian dan sokongan Nurul Izzah tidak akan menjejaskan kedudukan Azmin. Ini memandangkan Azmin sudah awal-awal lagi membuat persiapan untuk bertanding. Tambahan pula semua orang tahu bagaimana hubungan antara Azmin dan Zaid.

Kedua-dua mereka dikatakan tidak sebulu dan ia paling ketara ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak lama dahulu. Keadaan menjadi lebih buruk apabila kem Azmin melihat Zaid terlalu bercita-cita tinggi biarpun baru menyertai PKR.

Oleh itu Azmin ingin memastikan langkah politik Zaid tidak ke mana dan pemilihan November ini dianggap detik terbaik bagi 'menguburkan' impian Zaid.

Tindakan Azmin melantik Anwar sebagai pengurus kempennya sudah menunjukkan betapa Azmin benar-benar serius ingin 'membenamkan' siapa juga yang cuba menghalang perjalanan politiknya menuju tampuk kekuasaan di dalam PKR dengan restu Anwar.

Walaupun Zaid menganggap perebutan jawatan itu tidak perlu dihebohkan kerana dikatakan tidak ada apa-apa kuasa tetapi beliau jangan lupa senario yang bakal berlaku jika Azmin menang.

Anwar sememangnya membuat perancangan politik seperti itu kerana beliau ingin mewarisi PKR kepada Azmin bukan Wan Azizah, kalau pun Wan Azizah nak kekal, kekallah tetapi beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa.

Selepas ini Anwar dan Azmin akan mentadbir PKR manakala Wan Azizah hanya akan menjadi pemerhati dan pengikut.

Baca selanjutnya di sini.