Thursday, April 14, 2011

Najib Bukan Khuatir Tetapi Yakin BN Peroleh Dua Pertiga Kerusi Di Sarawak

Media alternatif sepatutnya tidak memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri mengenai keyakinan beliau akan menang dua pertiga kerusi dipertandingkan.

Tetapi itulah mainan pihak-pihak tertentu yang tidak mahu lihat Barisan Nasional (BN) menang cemerlang. Berikutan itu semalam, Perdana Menteri menjelaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai kemenangan dua pertiga kerusi pada pilihan raya Sarawak Sabtu ini walaupun menghadapi tentangan sengit pembangkang.

Perdana Menteri berkata kenyataan beliau mengenai perkara itu telah tidak dilaporkan sepenuhnya oleh media alternatif hingga mengambarkan BN khuatir tidak boleh memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerusi.

Menurut Najib, media alternatif telah memetik kenyataannya dalam konteks yang berlainan daripada apa yang beliau maksudkan.

"Jadi saya harap dengan penjelasan ini tidak ada keraguan lagi bahawa pendirian saya dengan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) adalah sama," katanya kepada TV3 dan Bernama di Kuching.

Berikut ialah kenyataan Najib mengenai penjelasan itu:

PERDANA MENTERI: Saya hendak menegaskan bahawa saya yakin Barisan Nasional (BN) boleh mencapai majoriti dua pertiga (kerusi) dalam pilihan raya kali ini walaupun pilihan raya ini saingannya lebih sengit daripada pilihan raya yang lalu tetapi berdasarkan pada pengamatan dan tinjauan saya dua pertiga itu memang mampu diperolehi oleh BN. Saya telah cuba perjelaskan pada pagi tadi bahawa dalam amalan demokrasi tujuan kita ialah untuk menubuhkan kerajaan, itu matlamat yang paling minimal dan dua pertiga ini saya kata sebagai bonus, tetapi bonus yang mampu dicapai oleh kita. Jadi ada pihak telah menyalahtafsirkan kenyataan saya kononnya kita (BN)sudah khuatir, dah goyang, dua pertiga tak mungkin dicapai. Itu tidak benar.

SOALAN: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri, mesej Datuk Seri kepada pengundi?

PERDANA MENTERI: Saya ingin menasihatkan pada pengundi-pengundi di Sarawak ialah untuk kekalkan Barisan Nasional sebagai parti pilihan mereka sebab track record kita dan kemampuan kita dan hala tuju kita tidak ada siapa pun boleh pertikaikan dan dengan ini pentingnya kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebab negeri Sarawak ini besar dan memerlukan sumber yang banyak hanya kalau kita mempunyai kerjasama yang erat bahawa rasanya masa depan Sarawak akan lebih terjamin lagi. Jadi saya harap para pengundi jangan terpesong atau termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pembangkang, tetapkan pendirian mereka bahawa pilihan untuk masa depan mereka dan kemakmuran rakyat dan negeri Sarawak adalah dengan Barisan Nasional.