Wednesday, April 19, 2017

Rasuah Tanah - Exco Johor, 'Orang Tengah' Didakwa Di Mahkamah Hari ini


Selepas direman tujuh hari bulan lalu, exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi dijangka didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, Abd Latiff yang bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan dan kerajaan tempatan akan didakwa bersama seorang lagi individu.

Individu berkenaan dipercayai menjadi “orang tengah”.

"Saya boleh mengesahkan Abd Latiff bersama seorang lagi individu akan dituduh di mahkamah esok," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan Berita Harian, semalam.

Abd Latiff bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu berikutan siasatan terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.

Beliau kemudiannya ditahan SPRM pada 9 Mac bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mac lalu, dia direman tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000.


SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana dikatakan memberi dan menerima suapan serta Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, dan penjara sehingga 20 tahun.

SPRM juga  dilaporkan telah merampas 26 buah kereta mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan siasatan itu.

Kes itu juga menyaksikan enam orang ditahan, termasuk anak Abdul latif dan pegawai khasnya. Abdul Latif dibebaskan daripada reman pada 16 Mac lalu.