Saturday, January 21, 2017

Timbalan Pengarah Urusan Iris Corp Kena Tahan Kes Projek E-Pasport


Timbalan Pengarah Urusan Iris Corporation Bhd, Datuk Hamdan Mohd Hassan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek e-pasport Republik Guinea.

Syarikat itu mengumumkan penahanan itu pada Jumaat kerana penyalahgunaan kuasa dan pembabitan dalam kegiatan rasuah dalam projek berkenaan untuk kerajaan republik itu.

Iris Corp menandatangani kontrak 15 tahun dengan kerajaan berkenaan untuk melaksanakan kemudahan e-pasport di negara itu.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama enam hari terhadap suspek untuk membantu siasatan.

"Sehingga siasatan selesai, Iris Corp ingin mengumumkan semua kuasa eksekutif Hamdan digantung dan tugas serta tanggungjawabnya sebagai pemangku CEO syarikat akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Operasi, Choong Choo Hock.

"Tahanan reman ke atas Hamdan tidak mempunyai sebarang implikasi terhadap kesahihan kontrak antara Iris dan kerajaan Republik Guinea atau kepada projek e-pasport itu," katanya.

Iris juga memberitahu, penahanan reman Hamdan juga tidak memberi kesan terhadap pendapatan dan aset syarikat.

Syarikat berkenaan juga sedia memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan kes itu.

Pemangku CEO, pengurus ditahan reman enam hari.

Semalam Utusan Malaysia juga melaporkan, seorang pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurus jualan antarabangsa sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) direman enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan ra­suah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Pemangku CEO direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah berhubung projek e-Pasport di Guinea.

Perintah reman bermula semalam sehingga 25 Januari depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 58 dan 36 tahun.

Pemangku CEO bergelar Datuk itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini kira-kira pukul 9 pagi bersama pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit.

Kedua-dua lelaki yang berpakaian baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai terbabit dalam amalan rasuah dan me­nyalahgunakan kuasa berkaitan projek e-Pasport di Guinea antara 2013 dan 2015.

Menurut sumber, SPRM menyita sejumlah wang tunai membabitkan pelbagai mata wang termasuk dolar Singapura, Euro dan Afrika bernilai kira-kira RM270,000.
Selain itu, katanya beberapa dokumen berkaitan syarikat berkenaan yang berpang­kalan di Guinea turut dirampas selain SPRM turut merakam percakapan dan keterangan beberapa lagi individu.

Pemangku CEO itu ditahan di kediamannya di Tropica Indah Petaling Jaya, Selangor dalam satu operasi, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, pengurus jualan antarabangsa GLC terbabit ditahan di rumahnya di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.


Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Thursday, January 19, 2017

Rasuah RM3 Juta - Penolong Jurutera Kanan JKR Direman 7 Hari

Suspek ditahan di pejabatnya semalam.
Seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan wang bernilai RM3 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias pagi tadi.

Lelaki berusia 56 tahun itu dibawa ke pekarangan lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar di pukul 10.10 pagi dengan diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa keluar dari kompleks mahkamah itu kira-kira pukul 11 pagi.

SPRM menahan penjawat awam itu  di rumahnya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar pukul 11.30 pagi semalam selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Suspek ditahan oleh SPRM semalam.
Menurut sumber, SPRM  sudah merakamkan percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.

"Suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan sebut harga," katanya.

Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan bernilai RM650,000.

"SPRM juga dikatakan telah menyita fail yang ada kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016," katanya.

SPRM juga sedang menyiasat jumlah wang suapan yang telah diterima oleh suspek dan suspek dipercayai telah menerima wang suapan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu.

Difahamkan, suspek akan menghubungi dan meminta rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu untuk menyerahkan wang rasuah setelah syarikat mereka dilantik menerusi permohonan sebut harga .

Menurut sumber lagi, SPRM telah menyita fail-fail sebut harga bagi projek kerja di Daerah Sik, Kedah pada 2016 ketika melakukan penggeledahan di pejabat suspek pada jam 8.30 pagi.

Sunday, January 15, 2017

Pengarah JANS Rayu Jaminan RM12 Juta DiKurangkan, KSU & Anak DiBebaskan...


Peguam bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijangka memfailkan rayuan terhadap perintah ikat jamin sebanyak RM12 juta yang dikenakan terhadap mereka pada 20 Januari depan.

Difahamkan, peguam tertuduh akan mengemukakan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bersama surat tunjuk sebab.

Sementara seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar 'Datuk' dan seorang anaknya yang direman 11 hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan hari ini.

Mahkamah Magistret di Putrajaya membenarkan lelaki berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.

KSU  dibebaskan Mahkamah Magistret di Putrajaya.
Dalam kes Skandal Air Sabah, pada hujung bulan lalu, peguam pasangan itu, PJ Pareira berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari bagi pihak Ag Mohd Tahir yang didakwa dengan 12 tuduhan anti pengubahan wang haram dan Fauziah yang menghadapi 19 tuduhan yang sama.

"Kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini kerana ia adalah mustahil bagi anak buah saya mendapatkan jumlah wang ikat jamin mereka," katanya.

Beliau berkata, Ag Mohd Tahir dan isterinya tidak dapat mencagarkan mana-mana harta mereka yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ag Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara dalam kes KSU yang dituh rasuah pula, beliau dan anaknya sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Jan lalu dan disambung selama empat hari lagi sehingga hari ini.

KSU ketika dibawa ke mahkamah pagi ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.

Pada Rabu lepas, mahkamah membebaskan seorang lagi anak lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas siasatan ke atasnya selesai.

Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing ditutupi baju.

KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada 8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM, hari yang sama.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.


Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Jan lepas disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

mStar & Berita Harian

Monday, January 9, 2017

Rasuah - Balik Umrah Kelmarin, Bekas CEO TEKUN Didakwa Di Shah Alam Hari Ini


Bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dakwaan meminta suapan sebanyak RM36,000.

Dipercayai kes itu ada kaitan dengan tangkapan terhadap ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian bersama dua anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas jutaan ringgit bersama jongkong emas baru-baru ini.

Laporan media menyebut KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang ditahan SPRM, Rabu lalu, atas dakwaan salah guna kuasa serta rasuah juga pernah menjadi ahli Lembaga TEKUN.


Berikutan itu, SPRM sedang menyiasat sama ada dua  individu terbabit mempunyai hubung kait dalam kes rasuah kementerian itu.

Difahamkan bekas CEO dan KSU itu berkhidmat di agensi kerajaan yang sama.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk berusia 62 tahun itu yang baru kembali daripada menunaikan umrah kelmarin, ditahan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam, pada jam 5.15 petang semalam.

Suspek itu dipercayai menerima wang suapan itu sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang sebanyak RM360,009.08 pada 15 Januari 2015.

Sumber itu berkata, suspek pernah ditahan di Kelab Shah Alam, Selangor ketika menerima wang suapan RM36,000 iaitu 10% daripada hasil kutipan “hutang lapuk Tekun Nasional” bagi November 2014.

Beliau dikatakan menerima wang suapan itu daripada pemilik syarikat pemungut hutang itu pada 15 Januari 2015.

Suspek yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014 melantik syarikat pemungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang tidak dilangsaikan peminjam melebihi dua  tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan suspek akan dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam.

Agensi itu dalam emelnya semalam kepada media juga berkata seorang "Datuk", yang juga bekas CEO sebuah agensi kerajaan, akan didakwa di mahkamah Shah Alam hari ini.

Laporan Malaysiakini semalam tidak mendedahkan identiti bekas CEO dan KSU kementerian itu sehingga mereka didakwa di mahkamah.

SPRM sebelum ini dilaporkan merampas lebih RM5 juta dalam bentuk wang tunai dan jongkong emas berikutan tangkapan seorang KSU sebuah kementerian.

Agensi itu juga merampas sebuah kenderaan Toyota Estima dan geran 10 hartanah di Lembah Klang yang didaftarkan atas nama KSU berkenan dan anggota keluarganya.

Arif Oh Arif, Walaupun Jadi Pilihan Menteri, Kenapa Jadi Begini?


“Jangan kes Mohd Arif ini bersifat selective apprehending dan hanyalah smokescreen semata-mata sedangkan yang lain failnya masih terperosok di dalam laci atau almari Jabatan Peguam Negara.”

Daripada TO1POST.blogspot.my

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan seorang lagi akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada pukul 8.30 pagi ini untuk mendapatkan perintah reman.

Mereka yang  ditahan awal pagi  semalam atas dakwaan rasuah adalah dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengesahkan identiti suspek berkenaan.

Mohd Arif ditangkap di rumahnya di USJ Subang Jaya pada pukul 8 pagi bersama seorang suspek lelaki berusia 29 tahun itu.

Azam Baki...golf dan perempuan simpanan.
Mohd Arif adalah bekas  KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilantik menjadi  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkuat kuasa Jumaat.16 Oktober lalu.

Menurut sumber Mohd Arif adalah pilihan Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah yang sebelum itu juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Beliau menggantikan Datuk Seri Ibrahim Muhamad yang tamat tempoh perkhidmatan kontrak.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan pada 16 Oktober lalu berkata, kelayakan, pengalaman dan kredibiliti yang dimilik Mohd Arif akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Ia  selaras dengan misi kementerian dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.

Menurut kenyataan SPRM semalam, pihaknya menahan Mohd Arif di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.



Menurut Azam SPRM turut merampas jongkong emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai kita-kira RM3 juta.

Juga ditahan, seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Mohd Arif, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan menyertai perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun bermula dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981.

Antara  jawatan yang pernah disandang termasuk Timbalan KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Subang Jaya dan Pegawai Daerah Sepang.

Kes Mohd Ariff ini mungkin salah satu daripada yang  dapat dihidu SPRM dan didakwa dengan kadar yang agak segera dan beliau tidak bernasib baik.

Mungkin banyak lagi kes hampir serupa namun mungkin masih ‘terperosok’ dalam almari di Pejabat Peguam Negara?

Bayangan kepada penangkapan Mohd Ariff mungkin boleh dirujuk kepada kenyataan Azam kelmarin (3 Januari 2017) dan pada 1 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM,Datuk Dzulkifli Ahmad Ahad lalu, apabila mengaitkan rasuah dengan golf dan menyimpan perempuan.

Azam pada  wawancara di radio Internet SPRM, MACC.fm. menyebut: “Apa antara ciri-ciri orang yang melakukan rasuah?

"Hidup mewah, main golf, ada teman wanita, perempuan simpanan dan sebagainya,” katanya.
  
Dzulkifli turut membangkitkan kecenderungan penjawat awam, khususnya pengurusan tertinggi, bermain golf di luar negara.

Tidak diketahui sama ada Mohd Arif ada menyimpan perempuan, namun dia memang diketahui gemar bermain golf sejak menjadi Pegawai Daerah Sepang sekitar awal tahun 2000.

Tanpa menyebut nama, Dzulkifli menambah, selain bermain golf, perbelanjaan penjawat awam terbabit termasuk untuk membeli-belah turut dibiayai pihak tertentu.

Azam berkata, walaupun mungkin ada yang tidak setuju dengan mereka, banyak makluman SPRM mendapati terdapat pegawai tinggi kerajaan bermain golf di luar negara.
“Yang turut serta mereka main golf tak salah. Saya pun main golf.... Di luar negara itu permainan rakyat.

“Tetapi setakat ini di Malaysia, banyak melibatkan orang-orang kenamaan, pegawai kerajaan ada kelas tertinggi dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, pihak yang terlibat sama termasuklah golongan seperti kontraktor dan pembekal – dua pihak yang sering dikaitkan dengan kontrak kerajaan.

Kes sebegini bukan saja pegawai pusat tapi juga pegawai negeri-negeri yang bertugas pejabat daerah, pejabat tanah, bertugas sebagai pegawai-pegawai majlis daerah dan sebagainya.

Azam berharap kegiatan itu diberhentikan kerana ia menjejaskan imej perkhidmatan awam di negara ini.

Beliau berjanji  SPRM akan meneliti punca pendapatan penjawat awam yang hidup mewah.

 Dzulkifli pula mengingatkan penjawat awam di negara ini supaya berhenti bermain golf di luar negara dan SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh penjawat awam.


“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

“Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini.

They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Dzulkifli turut berkata rasuah yang berlaku di kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan dan beliau mengingatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Sepatutnya mereka berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung kepada hasil dan kepentingan negara.

Kerana itu sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas.

Kita tungguperkembangan selanjutnya mengenai Mohd Arif dan apa tuduhan sebenar terhadapnya.

Cumanya jangan kes ini bersifat selective apprehending dan hanyalah smokescreen semata-mata!!! 

Sunday, January 1, 2017

Udah-Udahlah Main Golf Di Luar Negara, Anda Bukan 'Professionals Golfers'...


SPRM minta penjawat awam henti main golf di luar negara.

Nasihat supaya penjawat awam di negara ini berhenti bermain golf di luar negara sangat baik.

Selain menyekat pengeluaran wang ke luar negara, ia juga mungkin boleh membendung perbelanjaan di luar kemampuan.

Bagaimanapun peringatan itu pastinya ada kaitan dengan rasuah yang berlaku di kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan dan beliau mengingatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Peringatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh penjawat awam baik tetapi tindakan yang sepatutnya dinilai.

Kalau yang berduit biarlah mereka mahu berubah angina sesekali di luar negara, apa lagi diketahui umum bahawa caddy ramai yang genit dan gedik.

“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

“Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini.

Golf Untuk Diplomasi...perlu.
They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Katanya, sgelintir penjawat awam kadang kala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung kepada hasil dan kepentingan negara.

“Sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau menafikan pihaknya teragak-agak untuk melakukan siasatan melibatkan ahli politik.

Sebaliknya katanya ia hanyalah persepsi yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda masing-masing.

“Ia hanyalah persepsi semata-mata. Sebenarnya dakwaan itu sering dimainkan dan dikitar semula oleh mereka yang tidak ikhlas serta mempunyai agenda tertentu.

“Ia bukanlah satu perkara atau isu baru kerana telah pun diutarakan berulang kali sebelum saya menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata SPRM sentiasa bersedia menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan ‘tanpa memilih bulu’.
  
Katanya, setiap maklumat atau laporan akan disiasat serta diteliti kesahihannya bagi menentukan sama ada ia mempunyai asas dan elemen rasuah sebelum SPRM membuka kertas siasatan.

Jika hasil siasatan mendapati mana-mana individu terlibat dalam perbuatan rasuah dan ada bukti-bukti yang mencukupi, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira jawatan, ideologi politik dan kedudukan orang yang disiasat itu, tegasnya.
Tambahnya, dalam memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis’ ,‘jerung’, ‘anai-anai’ atau ‘nyamuk’ kerana sekiranya mereka tidak dibasmi ia akan membawa kemudaratan besar kepada masyarakat.

“Justeru saya akan memastikan jentera SPRM dilancarkan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira personaliti atau jumlah terlibat.


Tegasnya, rasuah tetapi rasuah dan ia satu jenayah keji yang harus diperangi habis-habisan.