Friday, November 12, 2010

KERAJAAN KELANTAN, KEDAH FOBIA MEDIA ARUS PERDANA?

Kenapa begitu sekali bimbangnya kerajaan PAS Kedah dan Kelantan kepada media arus perdana?

Benarkah laporan mereka berat sebelah dan bagaimana pula media propembangkang melaporkan mengenai kerajaan negeri dan kerajaan Pusat?


Adilkah laporan mereka?

Soalnya apakah ada kerajaan negeri yang diperintah BN membuat larangan sedemikian?

Semalam kerajaan PAS Kedah memutuskan untuk melarang beberapa organisasi media arus perdana termasuk kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) untuk membuat liputan dalam Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini.

Sementara di Kota Bharu, seorang ahli Exco kerajaan PAS Kelantan menyalahkan media arus perdana yang kononnya tidak memberikan laporan tepat terhadap beberapa isu termasuk perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata disebabkan laporan berat sebelah itu kerajaan negeri terpaksa bergantung kepada laporan oleh Urusetia Penerangan Negeri.

Di Alor Setar, kenyataan yang dihantar ke pejabat NSTP Biro Alor Setar di sini, hari ini hanya menyenaraikan beberapa organisasi media tertentu yang dibenarkan untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari itu.





Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, melahirkan rasa kecewa dan marah dengan laporan media yang didakwa berat sebelah dalam melaporkan mengenai keadaan banjir di negeri ini.

Azizan berkata, media cuba memutarbelitkan isu banjir di negeri ini dengan menuduh kerajaan PAS Kedah lemah dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah.

Sidang media selepas mesyuarat Exco semalam menjadi "tegang" apabila Azizan bertikam lidah dengan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung laporan berkenaan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Helmi Mohamad Khalid, berkata tindakan itu dibuat berikutan putar belit dan berita biadap yang didakwa dilakukan pihak media terhadap Kerajaan PAS Kedah sejak kebelakangan ini.

“Maka dengan sukacitanya hanya akhbar yang tersenarai sahaja yang dijemput untuk membuat liputan Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Senarai media yang dibenarkan untuk membuat liputan ialah, Harakah, Sinar Harian, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Yang Siang Pau dan Guang Ming Daily.

Difahamkan, surat itu dihantar menerusi faksimili kepada Ketua Biro semua media cetak dan elektronik oleh Muhamad Helmi, tengahari ini. Salinan surat itu juga dipanjangkan kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dan Setiausaha DUN Kedah, Rashid Othman.

Di Kota Bharu, Dr Mohd Fadzli berkata sepatutnya peranan media ini sebagai media rakyat yang menyampaikan setiap dasar dan kebajikan yang dibuat tetapi kita tidak diberi peluang malah mereka (media) menyebar fitnah dan menyerang kerajaan negeri daripada segenap sudut.

"Apa yang baik daripada Kelantan diputar belitkan tetapi kalau buruk, seperti pelacuran, disebarkan," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Mohd Fadzli berkata, kerajaan negeri akan memperkasakan peranan Urusetia Penerangan Negeri sebagai alternatif untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri juga mungkin memohon lesen daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk stesen televisyen dan radio sendiri.

Mohd Fadzli juga berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan iPad kepada semua 45 ADUN termasuk daripada Barisan Nasional bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat daripada Internet dengan mudah.