Monday, July 20, 2009

KES LIWAT ANWAR: PENDAKWA RAYA FAIL RAYUAN

Sumber: Utusan Malaysia

Pendakwa raya hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan agar sebahagian besar dokumen dan barangan berkaitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kecuali sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diserahkan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Notis rayuan tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.45 petang ini.

Pihak pendakwaan juga dijangka memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah tersebut pada Isnin ini.

Sementara itu, peguam Anwar, Sankaran Nair ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menerima notis rayuan itu melalui faksimile lewat petang ini.

Beliau juga memberitahu, Anwar telah mengarahkan supaya pihaknya memfailkan rayuan balas.
Pendakwa raya mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pihaknya menyerahkan dokumen dan barangan tersebut dalam tempoh tujuh hari selepas membenarkan permohonan Anwar itu.

Walaupun membenarkan sebahagian besar dokumen itu dibekalkan, hakim tersebut menolak permohonan Anwar agar dibekalkan atau dibenarkan meneliti sampel-sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan dan pada barang-barang yang diambil dari kediaman pemuda itu.

Jelas Hakim Mohamad Zabidin, sampel-sampel tersebut hanya boleh diteliti oleh pihak pembelaan setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes kerana kesemua sampel itu kini telah dibungkus dan dimeterai oleh ahli kimia dari Jabatan Kimia.

Antara dokumen dan barangan yang dibenarkan dibekalkan ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal dan dua buah lif blok 11 Kondominium Desa Damansara, nota-nota ahli kimia yang menganalisis sampel-sampel DNA, salinan nota doktor Hospital Kuala Lumpur dan senarai saksi.

Beliau turut membenarkan salinan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu yang direkodkan oleh pihak polis di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.