Showing posts with label Bagan Pinang. Show all posts
Showing posts with label Bagan Pinang. Show all posts

Sunday, October 18, 2009

PETUGAS UMNO LANTAK MAKANAN HARAM?

Sebuah portal berita pro-PAS di Terengganu mendedahkan bagaimana petugas UMNO di Teluk Kemang ketika pilihan raya kecil Bagan Pinang, dikatakan melantak ‘makanan haram’.

Tanpa menyebut siapa tetapi mengaitkannya dengan Setiausaha Kerjaaan Negeri, portal berkenaan memaparkan berita bertajuk “Petugas UMNO Terengganu Tidak Kira ‘Halal Haram’?

Jika benar, ini sedikit memalukan, seolah-olah petugas UMNO tidak kira halal haram.

Namun persoalannya betulkan petugas
UMNO melantak makanan di situ.

Kalau tidak benar bagaimana? Nanti percuma sahaja kena saman!

Baca apa yang ditulis dalam portal berkenaan:

Petugas Umno Terengganu Tidak Kira ’Halal Haram’?

TELUK KEMANG – Para petugas kontinjen Umno Terengganu yang datang untuk berkempen pada pilihanraya kecil DUN Kuala Terengganu di lihat makan makanan dan minuman di kedai yang tidak ada penarafan ’halal’ disini beberapa hari lalu.

Wartawan Buletinonline dalam perjalanan membuat liputan program ’Pentas Pemuda DAP’ yang diadakan di Markaz DAP Batu 9 Jalan Teluk Kemang telah terserempak dengan dua buah kenderaan rasmi kerajaan negeri Terengganu.

Kedua-dua buah Mercedes yang dipercayai milik Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu bernombor plat TT3 dan TAN111 diyakini di gunakan oleh dua orang Exco kerajaan negeri Terengganu.

Walaupun kelibat kedua-dua Exco berkenaan tidak kelihatan dipersekitaran kawasan Batu 9, namun beberapa orang berbangsa ’Melayu Islam’ yang diyakini hadir bersama kedua-dua kenderaan rasmi negeri Terengganu itu, dilihat sedang makan dan minum dalam sebuah kedai Cina yang tidak ada tanda ’Halal’.

Sepanjang perjalanan lebih 20 km dari bandar Port Dickson menyusuri pantai hingga ke Pasir Panjang terdapat berpuluh-puluh kedai makan milik Melayu Islam yang menjalankan perniagaan.

Di sekitar, ’Waterfront’, Batu 5 dan Batu 6, Jalan Port Dickson ke Pasir Panjang sahaja terdapat lebih 20 puluh buah kedai makan yang menyediakan makanan orang Islam yang tidak mendatangkan syak sama sekali kerana ia dikendalikan dalam premis dan petugas yang jelas.

Namun, entah apa sebabnya, para petugas yang dipercayai datang bersama-sama Exco kerajaan negeri Terengganu itu telah memilih sebuah kedai Cina yang jelas tidak ada penarafan halal serta menjual minuman keras dan minuman ringan secara yang bercampur baur.

Monday, October 12, 2009

TEBUS MARUAH BN, KEYAKINAN KEPADA NAJIB

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya mengalahkan PAS dengan majoriti lebih besar, 5,435 undi.

Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi.

Undi rosak pula 223 daripada keseluruhan 11,170 undi yang diperolehi hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, rekod terburuk BN, parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN menggandakan jumlah majoriti kali ini berjaya menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN berjaya menebus ketewasannya di tiga daerah mengundi pada Mac tahun lalu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong.

Kemenangan mantan menteri besar Negeri Sembilan itu, selain membuktikan ketokohannya masih kukuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

Di samping itu, BN juga menang di semua lapan daerah mengundi - termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada 2008, iaitu Pekan Siliau, Ladang Atherton dan Sua Betong.
Begitu juga dengan undi pos di mana majoriti yang dimenangi BN, iaitu 2,920 undi adalah dua kali ganda berbanding 1,891 undi pada 2008.
Dalam pilihan raya kecil ini, BN mendapat 3,521 undi berbanding 3,080 undi pada 2008. Manakala undi pos yang diperolehi PAS merosot kepada 601 undi berbanding 1,189 undi yang diperolehinya pada pilihanraya umum tahun lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan calon Isa yang cukup besar menggambarkan sokongan pengundi terhadap kepimpinan perdana menteri.

"Keputusan ini amat bererti. Dengan peningkatan lebih 110 peratus, melebihi keputusan calon sebelum ini menunjukkan peningkatan yang cukup besar.

"Ia menggambarkan pernyataan sikap pengundi di Bagan Pinang dan menggambarkan pernyataan sikap (rakyat) terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib (Razak), selaras dengan konsep Satu Malaysia," kata timbalan perdana menteri.

Muhyiddin mengulas kemenangan besar Isa dengan majoriti lebih besar – 5,435 undi – dalam pilihan raya kecil kerusi DUN itu sejurus selepas ia diuumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Port Dickson kira-kira jam 8 malam ini.

Bekas menteri besar itu mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi.

Muhyiddin berkata, sokongan positif masyarakat pelbagai kaum kepada BN kali ini merupakan hasil kerja keras semua pihak yang sentiasa mengambil inisiatif memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang ditimbulkan.

Ditanya sama ada sokongan tersebut akan berterusan, Muhyiddin berharap ia menjadi titik permulaan baru kepada parti itu.

"Kita tidak boleh hanya sukacita, tanpa berusaha dan mengambil iktibar daripada kemenangan ini," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kemenangan Isa itu tanda kepercayaan rakyat supaya BN terus menggiatkan lagi khidmat kepada rakyat.

"Kita tidak janjikan apa-apa tetapi kita mahu lihat kepimpinan Datuk Seri Najib dan konsep Satu Malaysia diterjemahkan kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata kekalahan calonnya itu akibat tindakan BN yang menggunakan taktik menggertak pengundi khususnya di kawasan ladang.

"Hari ini hari yang malang dan gelap bagi Malaysia, kerana ikon rasuah diterima dalam pilihan raya," katanya di bilik gerakan parti di Batu 3 di Port Dickson.

Menerima keputusan pahit tersebut, beliau berkata PAS akan terus memperjuangkan isu yang dibawanya dalam lapan hari berkempen di Bagan Pinang, terutama isu undi pos.

Salahudin, yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya PAS kali ini, mengucapkan perhargaan kepada pengundi.

Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PAS akan mengadakan bedah siasat yang menyeluruh berhubung kekalahan teruk mereka di lubuk BN ini.

Beliau, ahli jawatankuasa pusat PAS yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil itu, mengakui bahawa bukan mudah untuk parti itu menang pada pilihan raya kecil ini tetapi Pakatan Rakyat akan sentiasa membuat percubaan terbaik untuk berdepan dengan pelbagai halangan.

Sunday, October 11, 2009

BN ada peluang cerah tawan DUN Bagan Pinang - Penganalisis politik

Sumber: mStar

Proses berkempen sudah tamat. Pagi ini, mulai jam 8.00 pagi akan bermula pengundian.

Barisan Nasional (BN) dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan hari ini.

Beberapa penganalisis politik tempatan berpendapat PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil ini tidak berjaya menimbulkan keraguan kepada pengundi walaupun menggunakan faktor isu peribadi calon BN dan pembangunan setempat.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein, beliau meramalkan kemenangan bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan berpihak kepada BN berdasarkan beberapa faktor.

Pertamanya menurut beliau faktor calon yang popular dan diterima penduduk tempatan memberikan kelebihan kepada BN.

"Secara dasarnya kita menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada BN walaupun calonnya pernah menghadapi masalah dalam laluan politiknya sebelum ini.

"Rakyat Negeri Sembilan khususnya di Bagan Pinang pastinya akan mengenangkan jasa dan sumbangannya kepada penduduk setempat dengan membawa banyak pembangunan," katanya kepada mStar Online.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dan PAS diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal September lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Ahmad Atory, berdasarkan hasil kajiannya terhadap trend pengundian bagi pengundi di kawasan Pantai Barat semenanjung Malaysia, rakyat lebih mengutamakan faktor calon yang mampu membawa kemajuan dari segi pembangunan.

Jelasnya keadaan ini berbeza dengan pengundi bagi kawasa Pantai Timur yang lebih mementingkan faktor agama.

"Jadi di sini jelas bahawa Mohd Isa telah terbukti dari segi keupayaan kepimpinannya untuk membangunkan Negeri Sembilan Port Dickson.

"Namun faktor ini masih belum dapat dibuktikan oleh calon PAS... ini mungkin menjadi faktor penyekat untuknya," katanya.

Ditanya sama ada faktor sejarah politik Mohd Isa seperti yang dibangkitkan PAS akan mengubah pendirian pengundi terhadap BN, Ahmad Atory berkata beliau yakin isu tidak tidak begitu memberi kesan kepada BN.

"Mana ada orang yang benar-benar sempurna, memang benar beliau pernah melakukan kesalahan... tapi itu cerita lama.

"Malah kalau kita hitung dari segi sumbangannya kepada rakyat Negeri Sembilan amnya dan penduduk Bagan Pinang khusnya, saya yakin faktor kebaikkan Mohd Isa akan menenggelamkan keburukkannya.

"Inilah kelebihan calon BN kali ini, kalau dalam pilihan raya kecil sebelum ini orang lebih nampak perkara-perkara tidak elok calon BN, tapi kali ini senarionya berbeza... kebaikkan Mohd Isa mengatasi segalanya," katanya.

Selain itu Ahmad Atory juga berkata faktor undi pos di kalangan anggota tentera dan polis juga memberi kelebihan untuk BN.

"Kita tak boleh tolak faktor kelebihan dari segi undi pos ini buat BN, sebab itulah PAS begi memberi perhatian kepada soal ini.

"Saya sangat yakin bahawa secara lazimnya kakitangan kerajaan sudah pasti akan menyokong kerajaan yang memerintah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tidak timbul faktor wujudnya penyelewengan dan pecah amanah di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mempengaruhi undi pos hingga memihak kepada BN seperti yang didakwa PAS.

"Saya yakin soal SPR tak telus itu tidak timbul, SPR dan buat kerja mereka dengan baik dan telah melakukan banyak transformasi dari segi pengendalian pilihan raya.

"Tak perlu timbulkan terlalu banyak keraguan terhadap mereka, dalam hidup ini kalau asyik tak percayakan orang sahaja susah juga... susah nak hidup," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman juga berpendapat BN dilihat mempunyai laluan mudah dalam pilihan raya kecil kali ini.

Katanya peluang untuk BN memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang adalah melebihi 50 peratus.

"Ada beberapa faktor yang memberi peluang kepada BN iaitu majoriti penduduk di Bagan Pinang adalah Melayu yang pastinya menyokong Umno.

"Manakala bagi PAS mereka sememangnya mengharapkan undi di kalangan kaum Cina dan India... tapi jumlah itu tidak besar," katanya.

Selain itu, Ahmad Nizamuddin juga berpendapat faktor undi pos akan memihak kepada BN.
"Perkara ini sukar untuk kita sangkal kerana kebiasaannya pengundi pos akan menyokong kerajaan.

"Oleh itu kita tak boleh meletakkan andaian bahawa jika mereka menyokong kerajaan bermakna mereka ini telah ditekan atau menerima ugutan... kebiasaannya kita akan memberi sokongan kepada pemimpin kita," katanya.

Tambah Ahmad Nizamuddin, beliau yang sempat meninjau perjalanan proses berkempen di Bagan Pinang beberapa hari lalu mendapati sokongan penduduk terhadap BN masih kuat.

"Pada zahirnya boleh dikatakan penduduk setempat menyokong BN memandangkan parti itu telah banyak melakukan transformasi mengikut kehendak rakyat.

"Jelas sekali BN telah melalui proses perubahan yang cukup ketara bagi memenangi kembali hati rakyat," katanya.

Monday, September 7, 2009

POLITICAL COMEBACK UNTUK TAN SRI MOHD ISA

Sumber: Berita Harian/Utusan Malaysia

Umno dijangka meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sumber berkata, pemilihan itu berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki Mohd Isa yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.
Laporan Berita Harian menyebut, Badan Perhubungan Umno negeri dilaporkan akan meminta pucuk pimpinan parti untuk mencalonkan Mohd Isa yang amat dikenali dan disenangi penduduk Bagan Pinang.

"Umno negeri dan bahagian Teluk Kemang pada prinsipnya bersetuju untuk memilih Mohd Isa sebagai calon BN. Beliau mempunyai karisma dan pengalaman yang luas sebagai pemimpin di peringkat parti serta pentadbiran kerajaan," katanya ketika dihubungi.

KETUA Penerangan Umno, Ahmad Maslan (tiga dari kiri) berkata sesuatu Mohd Isa sebelum Mesyuarat Jentera Penyelarasan Umno Bahagian Telok Kemang di Port Dickson, semalam.

Mohd Isa ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu kerana menghormati
pemergian Azman yang juga rakan karibnya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (HPS), kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Azman dari BN mendapat 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Ramli memperoleh 4,097 undi.

Kira-kira 64 peratus pengundi di DUN Bagan Pinang adalah Melayu manakala pengundi India 20 peratus, Cina (10.8 peratus) dan lain-lain pengundi 5 peratus.

Mohd Isa, 60, yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Umno antara 2004 hingga 2007, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai 1982 sehingga 2004 dan pernah dilantik menjadi Menteri Kabinet pada 2004.

Sumber itu berkata lagi, BN berpeluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil itu berdasarkan sokongan akar umbi Umno terhadap Mohd Isa walaupun pernah digantung daripada parti kerana dikatakan terbabit politik wang.

Satu analisis dalam Utusan Malaysia kelmarin pula menyebut, setelah kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Nor pada Jumaat lalu, tumpuan seluruh negara beralih pula ke kawasan Port Dickson untuk menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil.

Di Negeri Sembilan ketika ini, khususnya di sekitar Parlimen Teluk Kemang, nama Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi Barisan Nasional (BN).

Selain Mohd. Isa yang pernah menjadi Menteri Besar selama 23 tahun dan Naib Presiden UMNO, seorang calon lain ialah anaknya sendiri, Mohd. Najib - Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Teluk Kemang.

Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Ismail Taib adalah ADUN Pasir Panjang dan exco kerajaan negeri. Naib Ketua bahagian pula kosong berikutan kematian Azman.

Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Faizal Ramli yang juga Exco Pemuda UMNO pusat pula pernah menjadi wakil rakyat Bagan Pinang sebelum tempatnya digantikan oleh Allahyarham. Seorang lagi pimpinan yang tidak boleh dilupakan ialah Ketua Wanita UMNO bahagian, Rohani Yaakob.

Mengambil kira sentimen tempatan dan sokongan akar umbi dalam konteks UMNO bahagian itu, pemilihan Mohd. Isa sebagai calon mungkin keputusan terbaik.

Faktor Ketua UMNO bahagian dan statusnya sebagai bekas menteri besar menjadikan Mohd. Isa sebagai pemimpin paling berpengaruh di Teluk Kemang ketika ini.

Dominasi kepimpinannya tidak pernah terjejas mahu pun luntur walaupun pernah digantung keahlian parti.

Kekuatannya di Teluk Kemang boleh diukur apabila keseluruhan cawangan UMNO memberi pencalonan kepadanya untuk menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO bahagian dalam pemilihan lalu. Sedangkan ketika itu beliau baru tamat penggantungan keahlian UMNO.

Semua anggota barisan kepimpinan di bahagian itu termasuk dalam Pemuda, Wanita dan Puteri merupakan anak didik beliau. Jadi, jika Mohd. Isa menjadi calon BN, soal kekuatan jentera pilihan raya BN sudah pasti tidak akan menjadi masalah.

Difahamkan, Mohd. Isa telah menyatakan 'kesediaannya' memikirkan perkara itu apabila diajukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu pertemuan di Port Dickson kelmarin.

Perkiraan Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilah mudah untuk dibaca. Beliau bukan hanya mahu calon terbaik malah dipersetujui pemimpin dan akar umbi serta diyakini akan menang. Dan, paling penting sudah tentulah Mohamad mahu calon yang dipilih nanti tidak disabotaj oleh jentera BN atau orang UMNO sendiri.

Beberapa pemimpin bahagian itu secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Mohd. Isa sebagai calon untuk membolehkan beliau 'dikembalikan' semula dalam arena politik Negeri Sembilan.

Seorang ahli jawatankuasa bahagian itu memberitahu, UMNO Teluk Kemang akan hanya menghantar nama tunggal - "Mohd. Isa" - kepada kepimpinan UMNO Negeri dan Pusat.

Seorang pemimpin Pemuda di bahagian itu turut sependapat.

"Semua kepimpinan bahagian setuju untuk hantar nama tunggal kepada pucuk pimpinan UMNO iaitu Mohd. Isa. Beliau telah menabur jasa bukan saja di Teluk Kemang malah di seluruh negeri.

"Isu politik wang sudah berakhir kerana penggantungan keahliannya sudah lama berakhir, beliau tiada kes lain. Ada juga pemimpin yang terbukti bersalah tetapi masih pegang jawatan penting dalam parti. Bagi kami itu bukan isu di sini," katanya.

Seorang sumber lain pula mengakui bahawa sekiranya Mohd. Isa menolak tawaran, pilihan terbaik ialah Mohd. Najib.

"Sejak hampir 30 tahun memimpin kami, semua orang di kawasan ini kenal baik bukan saja dengan Tan Sri (Mohd. Isa) malah anak-anaknya termasuk Mohd. Najib yang aktif dalam Pemuda," kata sumber itu.

Mengenai peluang Mohd. Faizal untuk dicalonkan semula, sumber dari UMNO bahagian itu berkata, Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut sendiri menyatakan bahawa adalah lebih tepat jika Mohd. Isa atau Mohd. Najib dicalonkan.

"Mohd. Faizal sendiri lebih suka kalau Mohd. Isa yang pernah menjadi Naib Presiden 'dikembalikan' semula ke arena politik negeri dan tanah air.

"Beliau masih mampu untuk bekerja membantu rakyat di Teluk Kemang khususnya di DUN Bagan Pinang. Jika beliau menolak, Mohd. Najib adalah pilihan kedua," katanya.

Perlu dinyatakan bahawa, kekalahan tiga daripada lima kerusi DUN dalam Parlimen Teluk Kemang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) iaitu Chuah, Lukut dan Port Dickson adalah ketika Mohd. Isa tidak mengetuai UMNO Bahagian kerana keahliannya masih digantung.

Bagi BN, ini adalah kekosongan ketiga kerusi milik parti itu sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRU12.

BN yang kalah dalam tujuh pilihan raya kecil selepas PRU12 terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada Pas apabila kalah pada 17 Januari lalu. Bagaimanapun, BN mempertahankan DUN Batang Air di Sarawak pada 7 April.

Selain itu, BN kalah di Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan lima lagi pada tahun ini - Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau (7 April), DUN Penanti (31 Mei), DUN Manek Urai (14 Julai) dan DUN Permatang Pasir (25 Ogos).

Sebab itulah pertandingan di Bagan Pinang bukan sekadar mengisi kekosongan sebaliknya lebih besar maknanya buat BN.

Di Negeri Sembilan nampaknya, kepimpinan negeri khususnya dalam UMNO sudah menyedari bahawa BN tiada pilihan kecuali memenangi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Ada dua sebab utama iaitu pertama, kekalahan tentu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri goyang dan tidak selamat.

Ini kerana BN sebelum ini hanya mempunyai 20 kerusi iaitu kelebihan empat kerusi berbanding 16 wakil pakatan pembangkang.

Dari segi hakikat suara dalam DUN Negeri Sembilan sebelum ini, hanya 19 wakil rakyat BN boleh mengundi. Ini kerana seorang lagi ADUN, Datuk Razak Mansor dilantik sebagai Speaker DUN yang hanya boleh memberi undi pemutus ketika keputusan seri.

Sebab itu, peringatan kepada BN ialah jika kalah di DUN Bagan Pinang, pakatan pembangkang akan meningkat suaranya kepada 17 undi dalam DUN manakala suara BN kurang satu kepada 18 undi iaitu hanya kelebihan satu undi.

Sebab kedua yang tidak kurang pentingnya demi kelangsungan BN dan UMNO ialah kemenangan di Bagan Pinang bakal menamat atau menghentikan momentum di pihak pakatan pembangkang yang menang berterusan dalam tujuh pilihan raya kecil sebelum ini.

BN harus sedar dalam suasana politik semasa, faktor jaminan "calon mampu menang" amat penting dan majoriti 2,333 yang diperoleh dalam PRU12 bukanlah jaminan untuk mengekalkan kerusi itu.

Pas menerusi calonnya, Ramli Ismail telah membuktikan parti itu semakin diterima di Bagan Pinang apabila memperoleh 4,097 undi. Undi majoriti untuk BN merosot berbanding majoriti 4,411 undi pada PRU11.

Dengan tidak meletakkan Mohd. Isa atau Mohd. Najib sebagai calon, bukanlah bermakna BN bakal berdepan kesukaran mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Sebaliknya, pemilihan Mohd. Isa atau Mohd. Najib bagi memenuhi sentimen dan kehendak kepimpinan UMNO serta rakyat di Bagan Pinang atau Teluk Kemang khususnya sudah pasti mempermudahkan jentera BN.

Pada masa yang sama, ia juga memberi lebih jaminan untuk usaha BN mengekang kemaraan pakatan pembangkang.

Apa pun kini, selain keputusan muktamad daripada pucuk pimpinan parti, soal siapa calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang kini terletak di tangan Mohd. Isa sendiri selaku Ketua UMNO bahagian dan pimpinan bahagian yang sentiasa menyokongnya selama ini.