Monday, May 2, 2016

Sistem VEP Dilancarkan JPJ Pada Jun Mampu Atasi Masalah Kereta Klon, Saman


Jumlah kereta klon yang sudah disita di negara ini kini sebanyak 1,708 sementara  menganggarkan sekitar 3,000 hingga 5,000 kereta klon telah berada di negara.

Pengklonan kereta juga dilakukan oleh mereka yang melakukan kesalahan trafik dan enggan membayar saman.

Berikutan itu Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sedang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bakal menyelesaikan masalah kereta klon dan saman melibatkan kenderaan dari luar negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sistem itu mendaftarkan kereta asing di pintu masuk negara bagi mengelakkan kenderaan berkenaan diklonkan sebelum dijual dengan harga murah di negara ini.

"Hampir 90 peratus kereta klon yang disita sekarang datangnya dari Singapura kerana negara itu melaksanakan dasar pelupusan kenderaan setiap lima tahun sekali dan sindiket mengambil kesempatan untuk dijadikan kereta klon.

"Melalui sistem ini juga, sebarang kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan luar, pemandu terlibat perlu menyelesaikan saman dan kompaun sebelum dibenarkan keluar dari negara ini," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Hari JPJ Ke-70 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), 28 April lalu.

Turut hadir, Pengarah JPJ WPKL Datuk Md Ziki A.Rahman.

Mengulas lanjut, Ismail berkata sistem itu dijangka dilancarkan Jun nanti meliputi fasa pertama bagi Malaysia-Singapura.

"Fasa kedua Malaysia-Thailand dan fasa ketiga melibatkan Sabah, Sarawak, Indonesia dan Brunei akan dijalankan secara berperingkat," katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan pasukan petugas khas JPJ sejak awal tahun ini, Ismail berkata 26 anggota JPJ diberi latihan teknikal dan taktikal bagi menangani isu berkaitan kereta klon, lesen terbang dan tonto serta kes lain membabitkan jabatan itu.

"Bilangan anggota pasukan ini akan ditambah, pasukan elit ini juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Untuk kita memahami  sedikit sebanyak tentang apa itu kereta klon, dan bagaimana mahu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, berikut ada empat soalan yang perlu kita tahu dan faham:

APA ITU PENGKLONAN KERETA?


Identiti kereta anda dicuri oleh penjenayah dan digunakan pada kenderaan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
 
Pengklonan kereta juga dibuat oleh mereka yang melakukan kesalahan trafik dan enggan membayar saman.

BAGAIMANA PENGKLONAN KERETA DIBUAT?

Penjenayah akan memindahkan nombor pendaftaran dan nombor casis palsu, lazimnya daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan, kepada kereta klon.
 
Kereta klon kemudiannya diberikan identiti baharu dengan segala dokumen disediakan seperti cukai jalan dan geran kenderaan untuk urusan jual beli.

BAGAIMANA MAHU MENGENAL PASTI JIKA ANDA MENJADI MANGSA?


Anda menerima notis saman kesalahan trafik yang anda tidak pernah lakukan.
 
Anda diminta memberi keterangan atas 'pembabitan' kereta itu dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
 
Anda ditahan ketika sekatan jalan raya dan diberitahu kereta anda adalah kereta klon.

CARA ELAK DARIPADA JADI MANGSA?

Ambil tahu perkembangan harga kereta semasa. Jangan beli jika harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada sepatutnya.
 
Periksa segala dokumen yang diberikan. Lebih baik, bawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan dan periksa kesahihannya.

Sumber - Bernama & Astro Awani

Jawatankuasa Konsultatif Nasional Tambah Baik Rangka Kerja Pembiayaan Politik


Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan Politik telah menambah baik rangka kerja pembiayaan politik sebagai sebahagian pembaharuan anti rasuah, menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015.

Laporan itu berkata jawatankuasa dijangka menunjukkan kemajuan dalam membina momentum bagi menangani isu pembiayaan politik.

Bertajuk "Breaking the vicious cycle of corruption" laporan itu yang didedahkan kepada media pada 26 April lalu berkata sekteratiat telah bermesyuarat dengan pihak-pihak berkepentingan tempatan, parti-parti politik, kumpulan masyarakat sivil seperti Majlis Belia Malaysia, Solidariti Anak Muda Malaysia, dan ahli-ahli Parlimen Belia Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan sokongan mereka terhadap inisiatif tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Tahunan NTP 2015 yang menangani cabaran transformasi Malaysia termasuk dalam beberapa bidang sosio ekonomi di bawah NTP sejak enam tahun lepas.

Laporan itu menegaskan keperluan penginstitusian sistem pembiayaan politik yang lebih telus untuk menangani masalah rasuah besar secara berterusan.

Laporan Tahunan NTP berkata rangka kerja tadbir urus yang dicadangkan merangkumi tiga elemen wajib iaitu derma perlu dibuat atas nama parti, semua derma perlu ditulis resit sebaik sahaja diterima, dan rekod semua sumber dana politik hendaklah diaudit oleh pihak luar.

"Sepanjang tiga tahun lepas, meskipun beberapa cadangan telah dikaji termasuk untuk meminda Akta Pertubuhan Syarikat, Namum inisiatif ini masih gagal menarik perhatian disebabkan oleh kekangan politik yang kuat," kata laporan itu.

Pada Ogos 2015, dengan berlatarkan isu sensasi tentang pembiayaan politik, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional mengenai Pembiayaan politik (JKNMPP) untuk mencadangkan struktur peraturan bagi pembiayaan politik dalam masa setahun.

Laporan itu menekankan betapa pentingnya untuk menambah baik kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan mempengaruhi persepsi rasuah di kalangan pelabur asing terhadap negara.

Pada 2015, Malaysia mencapai skor sebanyak 50 daripada 100 dalam CPI, sekali gus menekankan betapa perlunya bagi semua pihak untuk "mengotakan janji" dan mempercepatkan penerimaan pembaharuan anti rasuah yang dicadangkan oleh kerajaan.

Selain daripada pembiayaan politik, kerajaan telah mencapai kemajuan dalam penubuhan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) melalui rangka kerja kebangsaan yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU), yang diwakili oleh Ketua-ketua Setiausaha, unit integriti dan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Ketua Audit Negara, kata laporan itu.

Ia berkata matlamat utama JITU ialah untuk mewujudkan budaya ketelusan, kejujuran dan integriti dalam perkhidmatan awam dan unit-unit integriti diwujudkan untuk memantau memantau kepatuhan kepada semua projek bernilai tinggi dan agensi-agensi keselamatan kawalan sempadan.

Bernama