Sunday, March 13, 2011

Cabaran Kepada Ustaz Harun Din

Penulis rasa terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Harun Din Al-Hafiz, yang mencabar pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan satu lagi pilihanraya kecil (PRK) di DUN Kota Siputeh, Kedah, untuk menentukan “siapa lebih kuat” di antara PAS dan UMNO/BN ketika mengulas tentang kekalahan PAS pada beberapa siri PRK baru-baru ini.

Pertamanya, pada penulis, kenyataan Harun Din ini lebih matang berbanding komen balas yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat, yang menyalahkan pihak media atas kekalahan PAS yang bertimpa-timpa baru-baru ini.

Semua sedia maklum, Jabatan Penerangan menyediakan satu pusat media khas pada setiap PRK baru-baru ini. Pusat Media itu memberikan kemudahan serba lengkap dengan memberikan akses internet, wifi, berpuluh unit komputer, perabut, serta makan minum kepada semua wakil media.

Ironinya, pusat-pusat media tersebut di”monopoli” oleh media-media pembangkang seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Free Malaysia Today dan tidak ketinggalan, “Haramkah” Online! Sudahlah digunakan kemudahan yang disediakan Kerajaan, di”bantai”nya pula Kerajaan tersebut! Adilkah kenyataan Nik Aziz yang menyalahkan media tersebut?

Keduanya, berbalik kepada “cabaran” Harun Din di atas, kenyataannya lebih “realistik”, meskipun kelihatan agak “angkuh” dan “perasan kuat sangat”. Kita tahu, kemenangan pada siri-siri PRK baru-baru ini bukanlah satu penanda aras kekuatan UMNO/BN. Ini adalah kerana kita sedar bahawa DUN-DUN yang dimenangi baru-baru ini adalah kubu kuat BN/UMNO dan pembangkang memang “hopeless” di situ.

Itu bukan kenyataan “riak” atau “takbur”, pucuk pimpinan PAS sendiri akur dan mengakui hakikat itu. Malah sebelum nama calon diumumkan lagi, Tuan Man Tuan Ibrahim dan Mahfuz Omar sendiri sudah menyatakan pada media bahawa PAS amat sukar untuk menang di DUN-DUN tersebut dan PAS “tiada harapan” di sana. PAS hanya menyasarkan untuk “pengurangan undi BN” sahaja.

Justeru itu, cabaran Harun Din ada juga “benar”nya. DUN Siputeh sememangnya milik UMNO/BN. Namun, menyedari bahawa Abu Hassan yang memenangi DUN tersebut hanya menang tipis pada PRU yang lalu, maka beranilah Harun Din melakukan cabaran sedemikian.

Lagipun, setelah kemelut penggantungan Abu Hassan sebagai ADUN Siputeh, beliau agak kurang aktif kerana sering kurang sihat dan ini turut menjejaskan aktiviti-aktivitinya di DUN tersebut. Mungkin Harun Din cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan Abu Hassan tersebut dan mencabar agar PRK diadakan di situ.

Pada penulis, “siapa kuat” atau “siapa lemah” bukan soalnya. Soalnya ialah “Melayu Islam” di Malaysia ini sememangnya sedang “lemah”! Melayu Islam lemah disebabkan pepecahan umat Melayu Islam, dan pepecahan umat Melayu Islam ini disebabkan oleh NIK AZIZ NIK MAT, Mursyidul Am PAS, ketua kepada Harun Din sendiri!

Nik Aziz sendiri baru-baru ini mengaku bahawa “fatwa-fatwa” songsangnya itu dikeluarkan olehnya bertujuan untuk memecah belahkan umat Melayu Islam di Malaysia. Malah dia menyamakan tindakannya itu sebagai “tahalluf siyasi” zaman moden dan memberi alasan bahawa dia mengambil contoh pepecahan umat Islam yang wujud di zaman Nabi Adam A.S dan Rasulullah S.A.W!

Kepala hotak Nik Aziz dengan alasannya itu. Apakah dia fikir pepecahan umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W itu dianjurkan oleh Baginda sendiri? Apa pula kaitannya pepecahan umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W dengan “tahalluf siyasi” yang menyebabkan pepecahan umat Melayu Islam di Malaysia? Setahu penulis, Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W menganjurkan agar umat Islam bersatu di dalam satu perpaduan yang kukuh, bukannya berpecah belah sebagaimana yang dianjurkan Nik Aziz! Itu ajaran syaitan!

Sewajarnya, Harun Din wajib mentarbiyahkan Mursyidul Amnya yang penulis kira sudah nyanyuk ditelan usia tuanya. Kasihanilah Nik Aziz itu dan dia perlu di”selamat”kan dari terus mengelirukan umat Melayu Islam yang sepatutnya bersatu sejak 50 tahun yang lampau. Kerana manusia seperti Nik Azizlah maka umat Melayu Muslim di Malaysia ini “lemah”, dan Harun Din perlu akui hakikat itu.

PRK DUN Siputeh bukanlah isu yang mengukur “kuat” atau “lemah”. Perpaduan umat Melayu Islam di Malaysia adalah lebih penting berbanding cabaran Harun Din. Pada penulis, Kerajaan tidak perlu mengadakan PRK DUN Siputeh hanyalah semata-mata untuk menyahut cabaran Harun Din. Sebaliknya, jika Kerajaan adakan PRK di DUN Siputeh pun, biarlah kerana undang-undang negara yang menetapkan begitu, dan bukan kerana Harun Din.

Justeru itu, penulis memulangkan “paku buah keras” kepada Ustaz Harun Din dengan mencabar beliau untuk mengambil alih peranan Mursyidul Am PAS tersebut dan tangan Nik Aziz sebagai “jihad fi sabilillah” bagi mengelak pepecahan yang lebih serius di kalangan umat Melayu Islam sekaligus menyatukan umat Melayu Muslim ini kepada sebuah perpaduan yang digeruni oleh DAP dan PKR.

Macamana Ustaz? Berani sahut cabaran ini?

MyKMU.net (Sunday, March 13th, 2011)