Sunday, November 28, 2010

'THIRD FORCE' - PKR BERDEPAN CABATAN ZAHID

MStar Online (Sabtu November 27, 2010
Tajuk asal - Fenomena 'Third Force': BN Tak Rugi, PKR Tak Untung


Fenomena third force atau boleh diterjemahkan sebagai kuasa ketiga nampaknya melanda lagi politik negara sama ada di pihak parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Dalam pakatan pembangkang atau lebih tepat lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), gelombang third force ini telah melanda parti itu dan diakui sendiri oleh Timbalan Presidennya, Senator Dr Syed Husin Ali.

Semasa merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Jumaat beliau berkata, ada percubaan untuk membentuk kelompok third force dan kalau terjadi, ia boleh memberi nafas baru kepada Umno dan BN.

Syed Husin seolah-olah mahu berkongsi kebimbangan dengan ahli-ahli wanita dan pemuda PKR apabila mengakui bahawa kelompok itu bakal menyulitkan Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sebenarnya, gelombang kuasa ketiga ini bukan perkara baru dalam Umno khususnya tetapi ia berlalu begitu pantas sebelum lenyap begitu sahaja.

Pada tahun 1987 berlaku krisis kepimpinan apabila Tengku Razaleigh Hamzah - yang tewas tipis kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan nombor satu parti dengan 761 berbanding 718 undi - keluar dari Umno dan menubuhkan Semangat 46 pada tahun 1989.

Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pada ketika itu merupakan Menteri Kewangan dalam Kabinet Dr. Mahathir keluar dari parti pemerintah selepas yakin beliau memiliki kekuatan tersendiri yang mampu menggugat Umno ketika itu - parti yang dianggap bukan Umno sebenar selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988 mengharamkannya.

Gelombang kuasa ketiga amat dirasakan Umno ketika itu dengan penubuhan Semangat 46 tetapi hayatnya tidak panjang apabila mula berganding dengan pembangkang mengakibatkan ramai ahlinya kembali kepada Umno.

Akhirnya parti serpihan Umno itu dibubarkan dan Ku Li sendiri menyertai semula Umno pada tahun 1996.

Umno berdepan dengan Semangat 46 pada ketika seperti dua lembu jantan yang berlaga di tengah-tengah gelanggang. Arena politik pada ketika menyaksikan pertembungan seperti Umno-'Umno' sehinggalah Semangat 46 tersungkur.

Tetapi nada berbeza ditunjukkan PKR apabila mahu berdepan dengan kuasa ketiga mereka.

Syed Husin yang berpengalaman luas dengan sepak terajang politik berpendapat, kelompok itu perlu ditangani secara bijaksana.

""Kita tak perlu tepikan terus, kita perlu bincang," itu katanya ketika ditanya bagaimana pakatan pembangkang mahu berdepan dengan kumpulan itu.

Beliau tidak mahu kelompok itu seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dianggap sebagai kuasa ketiga kepada Umno oleh Dr. Mahathir pada ketika ini.

"Tapi kita tak mahu kalau ada third force dalam Pakatan, yang akhirnya akan menguntungkan parti lawan," katanya.

Seolah-olahnya Syed Husin 'merestui' kuasa ketiga dalam PKR tetapi pastikan ia tidak memberi kelebihan kepada Umno.

Siapakah kuasa ketiga itu? Kelompok berkenaan banyak dikaitkan dengan bekas Pengerusi PKR Wilayah Pesekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid dikenali dengan ketegasan prinsipnya. Semasa dalam Umno beliau cuba menegakkan kehendaknya dan akhirnya melatak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum menyertai PKR.

Perjalanan politik Zaid dalam PKR agak pendek tetapi penuh warna-warni. Beliau berjaya membina pengaruh dalam masa yang singkat - tidak sampai 18 bulan.

Dicalonkan sebagai wakil PKR pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebelum tewas kepada BN yang diwakili P. Kamalanathan namun beliau tidak berhenti di situ.

Bagi memastikan momentumnya dalam PKR tidak hilang, Zaid menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden bersaing dengan anak emas Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Azmin Ali.

Maka pengisytiharan 'perang' pun bermula antara Zaid dengan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak. Tetapi stamina Zaid tidak bertahan lama apabila secara mengejut menarik diri dari pertandingan seterusnya meletakkan semua jawatan dalam parti diikuti bertindak keluar dari PKR.

Semua tahu alasannya.

Dan yang terakhir pada malam Sabtu, bekas calon Timbalan Presiden PKR itu mengumumkan penubuhan parti baru pada Januari ini.

"Yang pasti ‘Keadilan’ tidak akan digunakan dalam parti baru ini. AKIM (Angkatan Keadilan Insan Malaysia) pun bukan... Ia parti baru dengan nama baru yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan semua pihak,” jelasnya.

Walaupun begitu, penganalisis politik berpendapat Zaid bukanlah kuasa ketiga dalam PKR. Beliau diibaratkan tidak akan menjadi ancaman kepada sama ada Pakatan Rakyat atau BN.

Fenomena kuasa ketiga ini tidak pernah panjang dalam sejarah politik negara. Kelompok itu tidak akan kekal dalam kancah politik jika tiada penggantungan kepada pakatan pembangkang ataupun BN.

Kuasa ketiga kali ini umpama pakatan pembangkang kehilangan sesuatu yang tidak menguntungkan BN.