Monday, April 23, 2012

Kemelut Pelantikan YDP MAINPP Bukti Pakatan Pembangkang Tak Bersefahaman - Najib

Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bersalaman dengan anggota BN pada majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Umum Peringkat Daerah Mengundi Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, sempena lawatan sehari Perdana Menteri di Pulau Pinang, semalam.

Kemelut pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membuktikan tiadanya persefahaman antara parti-parti dalam pakatan pembangkang yang menjadi kerajaan di negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pertikaian pelantikan itu menimbulkan banyak persoalan kepada pengundi mengenai bagaimana pakatan pembangkang mentadbir Pulau Pinang.

 "Ini (isu pelantikan) saya percaya akan menimbulkan banyak persoalan di kalangan para pengundi kita tentang perjalanan kerajaan negeri dan masa depan kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Najib bercakap kepada pemberita selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India dan Cina anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown semalam.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah berjanji akan memberikan jawatan tersebut kepada Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man jika beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dua tahun lepas.

Namun selepas kemenangan Salleh, kerajaan negeri Pulau Pinang melantik Abdul Malik Abul Kassim, anggota exco negeri, sebagai Yang Dipertua MAINPP dan Salleh sebagai timbalannya.

Atas desakan pelbagai pihak termasuk PAS, kerajaan negeri pimpinan DAP itu kemudian mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan lepas untuk memohon perkenan pelantikan Salleh sebagai Yang Dipertua MAINPP.