Monday, May 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?





Isnin Mei 4, 2009

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

ANWAR didakwa akan mencetuskan empat hingga lima pilihan raya kecil menjelang pilihan raya umum ke-13.
PETALING JAYA: Di tengah-tengah tanggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'penggerak' beberapa pilihan raya kecil sejak Ogos lalu, penganalisis meramalkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan 'mencetuskan' antara empat hingga lima pilihan raya kecil lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.
Malah, penganalisis berpendapat bahawa penstrukturan semula kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diumumkan Isnin lalu, kemungkinan merupakan antara strategi parti itu khususnya Anwar bagi menghadapi siri pilihan raya kecil.

Malah, Anwar yang juga Penasihat PKR dipercayai sudah mengambil langkah untuk membuka laluan bagi empat hingga lima pilihan raya kecil selepas ini.

Pilihan raya kecil keenam membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bahagian Permatang Pauh, yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya, diadakan hujung bulan ini.

Menjelaskan perkara ini, Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Anwar telah membentuk satu kepimpinan baru yang akan menjadi penggerak utama PKR bagi menghadapi satu demi satu pilihan raya kecil yang telah pun dirancangnya.

"Anwar dah tentukan pilihan raya kecil ini... beliau sudah tentukan di mana, tentukan cara peperangannya dan tentukan hasil pilihan raya itu.

"Saya jangkakan sebelum pilihan raya umum ke-13, akan ada empat hingga lima pilihan raya kecil lagi yang sudah pun dirancang oleh Anwar.

"Bila melihat senarai kepimpinan baru parti itu, maka itulah jagoan-jagoan PKR yang akan digunakan Anwar untuk menjayakan strategi itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Isnin lalu, Anwar mengumumkan penstrukturan jawatan dalam PKR yang dikatakan bertujuan untuk memperkemaskan jentera, menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah bagi memperbaiki kelemahan, menjana kekuatan parti serta meningkatkan khidmat kapada rakyat.

Antara perubahan yang dilakukan adalah mewujudkan pasukan petugas yang dianggotai oleh semua Naib Presiden, diketuai Azmin Ali bagi memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diberikan semula peranan penting, Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya pusat.
Sehubungan itu, Mustafa percaya Anwar hanya merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan yang beliau yakin boleh peroleh kemenangan selese terutama di kawasan-kawasan yang kini sudah sedia diterajui PKR.

"Anwar hanya rancang (pilihan raya kecil) di kawasan yang mana dia yakin akan peroleh kemenangan lebih 70 peratus.

"Kalau kurang daripada itu, dia tidak akan berani. Dia hanya menumpukan terhadap kawasan yang dipegang oleh PKR... DAP dan PAS tidak akan buat begitu (rancang pilihan raya kecil)," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan siri pilihan raya kecil itu nanti bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada perbicaraan kes liwatnya Julai ini.

Selain itu, Mustafa berkata, siri pilihan raya kecil itu juga bertujuan untuk memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah mengalami empat kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"Anwar sengaja mengalihkan tumpuan Najib daripada menumpukan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat kerana sibuk dengan politik.

"Najib telah pun dapat baca strategi Anwar ini dan sebab itu, beliau berkata, BN mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan," katanya.

STRATEGI ATASI MASALAH DALAMAN

Pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruq mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, PKR sememangnya perlu kepada perubahan struktur dalaman parti memandangkan masalah yang dihadapi mereka.

"Pergeseran kumpulan tertentu dalam PKR telah menjejaskan imej parti dan pergeseran itulah yang membawa krisis dalaman contohnya isu (bekas ADUN Penanti) Mohammad Fairus (Khairuddin) yang mana ada kumpulan dalam PKR sendiri yang tidak berpuas hati dengan pencapaian beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

"Dalam politik ini, memang ada yang berkhidmat kepada parti secara sukarela tetapi ada juga yang mahu mendapatkan sesuatu habuan termasuk jawatan," katanya.

Jelas beliau, terdapat beberapa golongan dalam PKR yang mempunyai aliran yang berbeza sehingga membawa kepada ketidaksepakatan dalam parti itu.

"Mungkin dengan penstrukturan semula parti itu, hal ini dapat diatasi dan sedikit sebanyak akan memperkukuhkan lagi parti.

"Kesannya mungkin kita dapat lihat dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan jika ada pertandingan," katanya.

PKR TIDAK MANTAP

Sementara itu, pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perubahan itu wajar dilakukan memandangkan struktur PKR pada masa ini tidak begitu mantap.

"Masa pilihan raya umum 8 Mac lalu, PKR tidaklah kuat sangat. Mereka hanya letak calon bertanding untuk menang, bukan untuk memantapkan pentadbiran parti," katanya.
Ahmad Atory berkata, mengikut kajiannya, terdapat banyak bahagian PKR yang hanya mempunyai Ketua Bahagian tanpa ada struktur organisasi yang tersusun.

"Bahagian ada tapi hanya mempunyai ketua, sementara ahli-ahli yang lain tidak tentu hala.
"Selain itu, ada juga bahagian yang masih belum mempunyai cawangan.

"Kemungkinan dengan struktur yang baru ini, mereka boleh merancang struktur parti yang lebih mantap termasuk mendaftar cawangan-cawangan kerana kalau cawangan tidak berdaftar, bagaimana mereka mahu mengadakan mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, perubahan PKR itu adalah sejajar dengan perubahan kepimpinan Umno yang baru sahaja berlaku MAc lalu.

"Umno sudah bertukar (kepimpinan), jadi PKR pun perlu lakukannya. Pada Jun ini, PAS juga akan membuat perubahan kepimpinan dalam pemilihannya.

"Semua ini adalah satu persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti kerana semua parti pastinya 'bernafsu besar' untuk memenangi pilihan raya itu," katanya.