Thursday, August 18, 2016

TI-M Tempelak Tengku Adnan - ‘Pegawai Baik’ Tak Semestinya Tak Rasuah


Seorang pegawai yang baik tidak bermakna dia tidak rasuah, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan kerana rasuah baru-baru, ialah seorang ‘pegawai baik’.

Menurut Tengku Adnan, ‘Datuk Seri’ yang ditahan atas kesalahan rasuah adalah “pegawai yang baik”, menerima dua kenaikan pangkat dalam satu tahun, lapor New Straits Times.

Menurut laporan itu, menteri itu dipetik berkata, lelaki itu dinaikkan pangkat ekoran komitmennya menjalankan tugas dengan baik dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan.

“Setakat yang saya tahu, pegawai itu menjalankan tugasnya dengan penuh iltizam. Dia dinaikkan dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini berada di Gred B khas kerana cemerlang dalam tugas selain berpotensi tinggi.

“Itulah dia di tempat kerja … tetapi apa yang dia lakukan di luar daripada itu, saya tidak tahu,” kata Tengku Adnan.

Akhbar Satar...Tahan  apabila bukti cukup
Beliau juga meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang kesimpulan tetapi memberi masa untuk SPRM menyiasat perkara itu. Beliau turut menasihatkan pegawai kementerian dan DBKL supaya menjauhkan diri daripada rasuah dan hidup mengikut kemampuan.

Beliau tidak menolak kemungkinan pencapaian pegawai DBKL dicemburui rakan-rakan dan kontraktor lain.

Akhbar, yang berkhidmat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 18 tahun berkata rasuah ialah jenayah kompleks, dan hanya kerana seseorang itu pegawai yang baik, itu tidak bermakna mereka tidak terbabit dalam rasuah.

“Apa yang penting kepada ketua kementerian, jabatan dan agensi ialah untuk mengesan ‘tanda merah’ titik rasuah,” katanya kepada wartawan selepas pelancaran bukunya, “Rasuah, Jenayah & Malaysia” di Kuala Lumpur,  hari ini.

Beliau berkata tanda merah itu termasuk kakitangan yang hidup mewah berbanding pendapatan, perubahan dalam gaya hidup, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.

Akhbar berkata SPRM akan hanya menahan seseorang apabila mereka mempunyai bukti yang mencukupi.

“Apa yang terbaik ialah rakyat membiarkan SPRM melakukan kerja mereka,” katanya.

Semalam, Adnan berkata pegawai DBKL bergelar “Datuk Seri” yang ditahan itu seorang yang baik dan menerima dua kenaikan pangkat dalam setahun, tetapi beliau tidak tahu apa pegawai itu buat di luar kerjanya.

Pegawai DBKL itu ialah salah seorang daripada tiga kakitangan awam kanan yang ditahan SPRM pada Isnin kerana didakwa melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang.

Dua lagi suspek – turut bergelar “Datuk” masing-masing bertugas di Jabatan Kerja Raya Melaka dan Tenaga Nasional Berhad Kelantan.

Susulan penahanan itu, SPRM merampas kereta mewah, membekukan akaun bank dengan jumlah simpanan lebih RM13 juta, wang tunai RM400,000, selain barang berharga lain yang disimpan di siling rumah salah seorang suspek.

Tiga suspek berkenaan ditahan reman tujuh hari bermula Selasa.