Saturday, June 13, 2009

PARTI KACAU-BILAU RAKYAT JOLOKAN TERBARU PKR

Nasir Sukiman
11 Jun 2009

KRISIS dalaman melibatkan tuduh menuduh dan fitnah memfitnah di kalangan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang rupa-rupanya tidak berakhir dengan pelantikan Dr Mansor Osman sebagai TKM 1 yang baru.

Mansor yang dicabar membuktikan beliau mampu membela nasib Melayu berbanding Fairus Khairuddin, terpaksa akur dengan hakikat bahawa kira-kira satu pertiga saja pengundi memilih beliau pada Pilihan Raya Kecil N.12 Penanti pada 31 Mei lalu.Namun apa yang lebih memalukan adalah percakaran di kalangan pemimpin PKR berterusan sebaik saja episod ‘pemecatan’ Fairus selesai.
Sebelum ini pengumuman Mansor sebagai calon TKM 1 dipertikaikan berikutan laporan Zahrain cuba melobi agar Exco Negeri, Abdul Malik Abul Kassim diberikan peluang memegang jawatan itu.Dalam semua isu nama Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dikaitkan sebagai pengacau atau dalang.Sejajar inilah, kini PKR diberikan jolokan baru – Parti Kacau-Bilau Rakyat atau Kekacauan atau Parti Kacau Rakyat.

Perbalahan sesama sendiri itu pula berpunca daripada anggapan sesetengah pemimpin bahawa kuasa adalah lubuk membawa kepada kekayaan. Berikutan anggapan sedemikian, perebutan kuasa itu melimpah melibatkan bukan saja sesama pemimpin PKR malah mengaitkan juga Pas dan DAP.

Terbaru, PKR menafikan dakwaan pemimpin dan ahli parti itu mendapat habuan lebih lumayan daripada kontrak pembersihan Alam Flora di Selangor berbanding lagi 60 peratus yang harus dikongsi di antara DAP dan PAS.

Kalangan yang membongkar kegiatan itu juga mendakwa ada pakatan sulit berkaitan pembahagian itu.

Sebelum ini, tidak syak lagi adalah tindakan memboikot upacara angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang baru, Mokhtar Jait dikatakan berpunca daripada keinginan Ketua Wip PKR, Johari Kassim untuk menyandang jawatan itu.

Ini diakui Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang mendedahkan beliau dimaklumkan Pengerusi PKR Negeri, Zahrain Hashim bahawa Johari tidak berpuas hati dengan pelantikan Mokhtar kerana 'mengidam' jawatan itu.

Mengikut jangkaan awal, Johari sepatutnya memegang jawatan itu jika YDP MPSP dilantik daripada kalangan ahli majlis PKR lantas memperkuatkan kuasanya bagi menghadapi kerenah Zahrain.

Di majlis itu, lapan daripada sembilan ahli majlis MPSP dari PKR memboikot upacara berkenaan kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan parti itu berhubung pelantikan Mokhtar sebagai YDP MPSP.

MPSP, sebuah majlis perbandaran terbesar di Semenanjung mempunyai 24 ahli majlis dengan 10 diwakili pemimpin DAP, PKR (9), Pas (2) manakala pertubuhan bukan kerajaan (tiga).

Di tengah-tengah kemelut dan kekacauan itu, Anwar semakin giat mengejar mimpinya dengan terbaru, untuk menakluk Perlis, satu-satunya negeri di utara tanah air yang terlepas daripada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Impian itu, dakwa Anwar, diterjemahkan apabila PKR menerima 630 borang keahlian daripada ahli UMNO untuk menyertai pembangkang. Namun kerajaan Perlis, yang menjalankan siasatan mendapati cuma 30 ahli Umno menyertai PKR.

Mereka yang menyertai pembangkang disebabkan dasar kecewa kepada UMNO selepas kalah dalam pemilihan dan ada yang tidak dilantik sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Anwar jelas cuba mencari pengaruh di negeri-negeri utara sedang krisis dalaman di Selangor dan Pulau Pinang semakin parah melibatkan ramai pemimpin atasan yang saling tuduh menuduh sebagaimana didedahkan golongan anti-PKR dan anti-Anwar pada ceramah menjelang PRK Penanti, hujung Mei lalu.

Bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, pernah mendakwa sesiapa dalam PKR yang cuba mendapatkan makumat sahih melibatkan kegiatan rasuah atau menyiasat pemberian habuan kontrak, akan dipinggirkan dan dibuli sedang penyokong mereka dipecat.

Kalangan pemimpin yang dicap membuat angkara pula dipindahkan ke kawasan lain hingga menghilangkan pengaruh mereka. - malaysiaaktif.com