Thursday, October 23, 2008

PERGUNA DUIT RAKYAT UNTUK SELAMATKAN PELABUR?

Kini semakin geger diperkatakan mengenai dana tambahan sebanyak RM5 bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan, Valuecap Sdn. Bhd. diperoleh melalui pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Banyak pihak kini mempersoalkan tindakan kerajaan memaksa KWSP melabur sehingga RM5 bilion untuk menyelamatkan saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

"Apa istimewanya syarikat tersenarai di pasaran saham yang diumpankan ‘hantaran’ sebesar itu? Tak kena gaya, RM5 bilion hilang sekelip mata bila dicampakkan ke lubuk pasaran saham yang belum terhenti merudum," kata seorang pemimpin tinggi Pas.

Beliau menyifatkan langkah tersebut menunjukkan kerajaan tidak bersifat saksama dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ditubuhkan pada 2003, Valuecap merupakan syarikat pengurusan dana yang diwujudkan untuk melabur khusus dalam pasaran ekuiti Malaysia dan dimiliki bersama oleh Khazanah, PNB dan Dana Persaraan (Diperbadan).

"Langkah memperuntukkan RM5 bilion untuk pasaran saham, tetapi sepi dalam langkah-langkah meringankan beban rakyat dan merancakkan ekonomi, adalah langkah berat sebelah," kata beliau.

Jumlah RM5 bilion itu bukanlah jumlah yang kecil, katanya, malah lebih besar dari RM4 bilion yang pernah dijimatkan oleh kerajaan dengan menaikkan harga petrol dan diesel yang telah menyulitkan kehidupan rakyat satu masa dulu.

Pemimpin itu seterusnya mempersoalkan mengapa wang sebesar RM5 bilion itu tidak boleh diperuntukkan bagi merancakkan ekonomi negara seperti langkah "pump priming" atau insentif fiskal yang lain.

Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata dana tambahan sebanyak RM5 bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan, Valuecap Sdn. Bhd. adalah peruntukan tambahan yang disediakan untuk Valuecap.

Ini tidak termasuk peruntukan kerajaan pada tahun 2009. Najib menjelaskan, wang ini bukan sebahagian daripada 'Kumpulan Wang Yang Disatukan.' Ia adalah pinjaman daripada KWSP.
Menteri Kewangan itu menjelaskan banyak syarikat yang mempunyai prospek pada jangka masa panjang kini berada di bawah nilai sebenar.

Valuecap dengan dana RM10 bilion pada asalnya menyertai pasaran tempatan sejak 2003 dan berjaya meningkatkan nilai saham di Bursa Malaysia.

Najib semalam menjelaskan, tindakan menambah dana dalam Valuecap adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan langkah awal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan Malaysia diheret sekali dalam kancah krisis kewangan dunia masa kini.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyokong pandangan Najib berkata KWSP akan membuat keuntungan daripada RM5 bilion yang ia pinjamkan kepada agensi pelaburan kerajaan, Valuecap Sdn Bhd.

Keyakinan itu diasaskan kepada prestasi Valuecap sebelum ini yang meningkatkan portfolionya daripada RM5 bilion pada awalnya kepada RM8 bilion sekarang.

"Saya percaya mereka (Valuecap) akan mencatatkan prestasi baik dan KWSP pastinya akan mendapat pulangan mereka.

"Valuecap mencatatkan prestasi baik. Ia mempunyai prasarana baik, kakitangan yang baik yang mengetahui dengan mendalam tentang pasaran dan berpengetahuan mengenai apa yang sedang berlaku (dalam pasaran global)," katanya pada 20 Oktober lalu.

Untuk lebih mudah memahaminya, baca apa kata Penarik Beca dalam blognya, http://penarikbeca.blogspot.com

"Ayuh, dengan duit kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kita bail-out saham-saham blue-chip yang kini tertinggal di belakang di bursa-bursa tempatan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional yang nilai sahamnya berada di paras bawah nilai atau dalam bahasa sedap media-media kroni, terkurang nilai.

Alahai, bukannya banyak pun, RM5 bilion ja... Takkan kita tak tau, duit hasil titik peluh kita, termasuk pekerja bergaji murah dan golongan mustadh'adfin (tertindas), dalam KWSP tu memang dihimpun banyak-banyak untuk membantu pasaran saham. Persetankan semua keputusan berhemah untuk melabur dengan tujuan mendapatkan pulangan yang maksimum.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaikan menjerkah kita dengan berita gila bahawa kerajaan akan tibai RM5 bilion duit KWSP untuk meningkatkan dana agensi pelaburannya, Valuecap Sdn Bhd kepada RM10.3 bilion dan melabur di dalam saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

Menurut Menteri Kewangan itu, kerajaan berharap suntikan dana itu akan memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh saham-saham blue-chip yang kini tertinggal di belakang di bursa-bursa tempatan. Amboi, bila kita nak pakai sikit duit kita dalam KWSP, kena mengemis macam peminta sedekah.

Kadang-kadang pelbagai karenah menyebabkan kita rasa kita ni macam kucing kurap walaupun nak minta duit sendiri. Depa senang-senang boleh tibai RM5 bilion untuk bail-out saham-saham terkincit nilai.

Hampa nak kata apa?!! Depa ada kuasa. Hidup kuasa!!
Di hari yang sama Najib mengumumkan penibaian RM5 bilion duit kita dalam KWSP itu, Malaysiakini melaporkan Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat aduan polis lagi terhadap Najib berhubung isu helikopter Eurocopter dan Altantuya Shaariibuu."