Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Daripada LawiAyam

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.

Friday, November 20, 2015

Salleh Man Kini Duduk Dalam Dua Alam, Enggan Tinggalkan Kerajaan DAP


Wakil rakyat tunggal PAS dalam dewan perundangan Pulau Pinang menegaskan beliau masih sebahagian pentadbiran negeri walaupun setiausaha agung parti itu mengisytiharkan ia kini di pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir DatukMohd Salleh Man berkata, beliau baru sahaja membaca berita mengenai kenyataan setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan apabila pemberita menyerbu beliau di DUN Pulau Pinang bertanyakan hal itu.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, DAP memenangi 19 kerusi DUN, PKR (10 kerusi) dan PAS (satu) untuk menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, Takiyuddin hanya mengumumkan parti itu kini pembangkang di Pulau Pinang tetapi tidak berkata apa-apa tentang wakil rakyatnya.

 "Beliau tidak kata wakil rakyat pun sama. Beliau hanya menyebut parti. Ia tak sama," kata Salleh.

Ditekan pemberita untuk mendapatkan menjelaskan, beliau berkata, "Bagaimana pula dengan keadaan di Selangor?"

PAS tetap sebahagian daripada pentadbiran Selangor, bersama PKR dan DAP, walaupun dengan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP terdahulu tahun ini.

Tiada seorang pun daripada exco negeri PAS di Selangor meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, tidak seperti Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mengumumkan ia sebuah kerajaan Pakatan Harapan.

Takiyuddin hari ini berkata, PAS kini sebuah parti pembangkang di Pulau Pinang selepas kira-kira 300 ahlinya yang memegang pelbagai jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri itu dipecat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kerajaan negeri menghantar surat penamatan kepada mereka kerana pentadbiran memerlukan orang yang boleh bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri serta dasar-dasarnya.

Salleh menegaskan beliau masih anggota kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, satu kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri selepas Salleh mengesahkan sokongannya kepada pentadbiran DAP.

Mohd Salleh  turut  berkata kedudukannya sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang perlu ditentukan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

Mohd Salleh yang juga ADUN kawasan Permatang Pasir berkata kemenangan beliau pada pilihan raya umum lepas adalah atas sokongan kerajaan Pakatan Rakyat yang kini kerajaan Pakatan Harapan.


"Atas mana-mana nama kerajaan itu bukan masalah bagi saya, tapi saya sokong kerajaan negeri kerana dulu kemenangan saya atas tiket semangat Pakatan Rakyat," katanya.


Takiyuddin membuat kenyataan itu pada sidang akhbar di Parlimen hari ini berikutan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menamatkan perkhidmatan 300 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas.



Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah berkata PAS negeri menerima keputusan PAS pusat bahawa parti itu kini pembangkang di negeri ini.

"Kami bersetuju dan terima apa saja keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat.Seperti mana kita ketahui PAS memang tidak bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lagi," katanya.


Terdahulu dalam kenyataan akhbarnya Mohd Yusni berkata kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang berbohong berhubung isu pemecatan 300 anggota JKKK daripada kalangan anggota PAS di negeri ini kerana ramai daripada mereka yang tidak menerima surat pemecatan daripada kerajaan negeri. 


"Jika tidak diserahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong bahawa semua 300 JKKK itu telah dipecat? Malah pihak kerajaan negeri seakan 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS," katanya.


Mohd Yusni turut mempersoalkan mengapa hanya 300 JKKK dimaklumkan sebagai dipecat sedangkan mengikut rekod sebenar menunjukkan 1,083 anggota PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK.


Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung pemecatan 300 JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin Parti Amanah Negara tidak relevan lagi kepada Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang.


Semalam Mohd Rashid dilapor berkata anggota JKKK PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas telah dipecat dan bukannya meletak jawatan seperti yang diumumkan PAS kawasan tersebut.


PAS Kepala Batas sebaliknya pada Selasa lepas mengumumkan menarik diri daripada memegang jawatan dalam JKKK bagi kawasan itu.


Sementara itu Mohd Rashid pada sidang akhbar di bangunan DUN hari ini berkata pihaknya menggesa PAS negeri berhenti daripada mempolitikkan isu berkenaan.


"PAS negeri harus sedar bahawa mereka bukan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, sekali gus tidak layak menjawat apa-apa jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.


Mohd Rashid turut menyatakan kerajaan negeri menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada anggota PAS yang dikenal pasti tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan sebaliknya bukan memecat mereka seperti yang dilapor akhbar semalam.


Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman ketika dihubungi berkata tindakan PAS pusat untuk mengisytiharkan PAS sebagai pembangkang adalah lanjutan daripada krisis parti itu dengan DAP.


Beliau berkata sekiranya pergaduhan itu tidak berlaku, PAS tidak akan berbuat demikian dan Pakatan akan lebih kukuh berbanding sekarang.


"Saya berasa tindakan PAS pusat itu tidak memberi sebarang kesan negatif kepada PKR dan Pakatan secara keseluruhan kerana ini hanya melibatkan seorang ADUN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata Mohd Salleh tidak perlu meletak jawatan untuk menyertai pembangkang kerana PAS tidak lagi dalam Pakatan Harapan.


"Salleh Man bagaikan duduk dalam dua alam di laut dan di darat kerana parti beliau tidak duduk dalam Pakatan Harapan tetapi dia pegang jawatan yang memerlukan dia laksanakan dasar Pakatan," katanya.

Wednesday, November 18, 2015

PAS Kepala Batas Umum Tarik Diri Pegang Jawatan Dalam JKKK


Tindakan PAS Kepala Batas menarik diri daripada memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen berkenaan,  berkuat kuasa serta-merta menjelaskan lagi betapa krisis DAP-PAS kian memuncak.

Keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa sebab, antaranya PAS bukan lagi dalam kepimpinan kerajaan Pulau Pinang selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.

Penarikan diri itu juga dilakukan demi menjaga maruah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja dengan pimpinan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS.

Yang DiPertuanya, Bukhori Ghazali berkata Lim juga  dengan sesuka hati mengambil tindakan tidak sewajarnya terhadap rakan yang selama ini beralah dalam banyak perkara.

"PAS tidak sewajarnya dilihat masih melukut di tepi gantang, mana mungkin JKKK dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang PAS bertanding boleh berkhidmat di bawah DAP yang memantau dan menyelaras segala urusan JKKK, dan pada masa sama meminta pimpinan PAS kawasan menolak kepimpinan ulama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kepala Batas, malam tadi.

Bagaimanapun, Bukhori berkata PAS sebagai gerakan dakwah dan siasah tidak menolak perlunya hubungan baik dengan sesiapa sahaja terutama rakyat Pulau Pinang yang tidak bersalah dalam hal itu.

"PAS tetap komited memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun tidak melalui saluran pemerintahan seperti yang telah dilakukan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-12," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pendirian PAS Kepala Batas terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man, Bukhori berkata sehingga kini PAS kawasan itu belum membuat sebarang keputusan .

"Bagaimanapun kami menghormati keputusan yang dibuat PAS Permatang Pauh," katanya.

Ahad lepas (15 November), PAS Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Salleh Man berikutan kenyataannya yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata PAS kawasan itu membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya pada Isnin lepas.

Katanya, pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan pada 2 November, Salleh Man mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Lim.

Omar yang juga timbalan Yang Dipertua 2 PAS Pulau Pinang, berkata keputusan itu yang mendapat persetujuan PAS negeri, akan dimaklumkan kepada PAS pusat.


Reaksi kepada keputusan itu,  Mohd Salleh berkata beliau akan terus berkhidmat untuk kerajaan Pulau Pinang dan penduduk kawasan berkenaan sebagai ADUN mewakili PAS.

Mohd Salleh berkata beliau tetap akan terus bersama PAS, malah merupakan anggota seumur hidup parti itu.

Ditanya mengenai pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Mohd Salleh berkata: "Itu pendirian mereka. Saya tak boleh nak komen. Saya sebagai ADUN Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Permatang Pasir".

Beliau berkata sehingga sekarang, hubungannya dengan PAS negeri dan pusat masih baik.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan sebagai anggota PAS, Mohd Salleh berkata: "Isu itu tidak pernah timbul. Saya tegaskan sekali lagi, saya tetap dengan PAS untuk selama-lamanya".

Monday, November 9, 2015

Pemimpin DAP Bersaing Sesama Sendiri Demi Sokongan, Pertahan Kedudukan

"Kemenangan meyakinkan sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapatkan jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya."
 Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar (Bernama)
Beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan pemimpin-pemimpin DAP Selangor bersaing hebat di antara satu sama lain untuk meningkatkan profil masing-masing dalam usaha menarik perhatian anggota-anggota parti di peringkat akar umbi.

Menjelang konvensyen dan pemilihan parti peringkat negeri pada 1 Nov lepas - calon-calon dengan lantang membangkitkan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melancarkan serangan terhadap bekas rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, PAS, dengan harapan dapat meraih sokongan perwakilan bagi membantu memenangi pemilihan itu.

Bagi mereka, kemenangan meyakinkan sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapatkan jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya.

Lebih daripada itu, kemungkinan mendapat 'tiket' bertanding dalam pilihan raya umum akan datang pula boleh dianggap sebagai bonus tambahan.

Penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain berpendapat, sudah menjadi kelaziman bagi calon-calon untuk mengambil kesempatan daripada isu-isu semasa dalam usaha mendapatkan momentum sokongan menjelang mana-mana pemilihan parti.

"Pemimpin parti atau calon akan lantang menjuarai isu dan polemik semasa bagi meraih perhatian dan sokongan ahli di peringkat akar umbi.

"Masing-masing mahu dilihat sebagai pemimpin yang tegas dan mengutamakan kepentingan parti. Mereka yang bertegas untuk memenuhi kehendak parti akan lebih mendapat perhatian perwakilan," pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu Bernama.

Beliau berkata kesemua mereka ingin dilihat sebagai orang kuat parti yang tegar, yang meletakkan kepentingan parti melebihi diri sendiri, justeru mereka yang memenuhi harapan parti akan lebih cenderung meraih undi perwakilan.

"Hakikatnya, kesemua parti politik memerlukan pemimpin yang boleh bekerja dan bukannya yang hanya pandai mengeluarkan kenyataan sekadar untuk menaikkan semangat umum," katanya.

Seorang lagi penganalisis Dr Amini Amir Abdullah, yang merupakan pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata adalah jelas bahawa tindakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mencabar Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara langsung mengenai kedudukan firma milik negara itu adalah semata-mata helah untuk kepentingan politik, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau dalam kepimpinan DAP Selangor.

(Pua bagaimanapun menarik diri daripada perbahasan tersebut selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tidak akan membenarkan perbahasan diteruskan memandangkan Pua adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang pada masa ini sedang menyiasat 1MDB. Pada Khamis lepas, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli akan menggantikan Pua dalam perbahasan yang dicadangkan).

Pada pemilihan DAP Selangor Ahad lepas, Pua menerima 495 undi dan berada di tempat kelapan dalam perebutan 15 jawatan dalam jawatankuasa pusat. Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo di tempat tertinggi dengan 736 undi.

Ironinya walaupun keputusan pemilihan Pua tidak memberangsangkan, Pua dilantik semula sebagai Pengerusi DAP Selangor manakala Gobind Singh kekal sebagai Timbalan Pengerusi.

Tempoh sebelum menjelang hari pemilihan DAP Selangor juga menyaksikan pemimpin parti negeri melancarkan serangan terhadap "musuh" mereka, iaitu PAS.

Walaupun ramai mendesak agar wakil PAS disingkirkan dari barisan Exco negeri, terdapat pula pihak yang mencadangkan supaya DAP meletakkan calonnya sendiri bagi kelapan-lapan kerusi Dewan Undangan Negeri, kini dipegang oleh PAS di Selangor, pada pilihan raya akan datang.

Pada minggu lepas, Pua dilaporkan berkata bahawa parti itu telah bersedia untuk meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Mengulas perkara itu, Amini Amir berkata semua isu yang dibangkitkan adalah sekadar untuk menjadikan seseorang pemimpin itu sebagai 'juara' sekali gus menjadikan kehadiran mereka dirasai dan diberi ganjaran jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri.

Beliau berkata ada isu-isu lain yang DAP cuba nafikan seperti konflik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS serta isu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang masih belum diperakukan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Isu-isu mengenai debat 1MDB, desakan supaya exco PAS dalam kerajaan negeri digugurkan dan cadangan bertanding di kawasan-kawasan PAS hanyalah untuk memperkukuhkan kedudukan pemimpin DAP sedia ada sahaja," katanya kepada Bernama.

Amini Amir berkata oleh sebab itu, tidak menghairankan apabila pimpinan DAP secara bermati-matian menonjolkan diri demi mempertahankan kuasa mereka.

"Mereka sedar akan kelebihannya mempunyai kuasa di peringkat negeri, maka mereka terpaksa cari idea baharu menonjolkan diri dalam usaha memenangi pemilihan tersebut.

"Oleh yang demikian, isu yang mereka tonjolkan sebenarnya tidak ikhlas dan segala tujuan mereka hanya untuk keuntungan politik dan kedudukan individu tertentu," katanya, jelas merujuk kepada tindakan Pua.

Kenapa DAP Selangor perlu membabitkan PAS dalam soal pemilihan barisan kepimpinan parti itu di negeri berkenaan?

Tidak menafikan bahawa PAS hanya dijadikan sebagai bahan kempen, Mohd Izani berkata DAP kini telah menjadi terlalu angkuh sehingga melupakan segala sumbangan PAS kepada parti itu.

"Mereka mahu menjadikan PAS tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Tetapi, DAP tidak boleh memadamkan sejarah bahawa mereka pernah bekerjasama dengan PAS dan PAS juga telah membuka banyak ruang kepada DAP sepanjang tempoh itu," katanya.

Amini Amir pula berpendapat PAS dan DAP tidak akan berjaya bekerjasama memandangkan masing-masing mempunyai nilai-nilai prinsip dan asas yang berbeza. Beliau juga percaya bahawa DAP akan terus menjadikan PAS sebagai karung tinju dan bahan belasahan mereka.

"Saya rasa DAP menganggap penyokong-penyokong PAS sebagai ancaman, kerana pastinya mereka tidak akan mengundi DAP dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, DAP menjadikan PAS sebagai isu dalam pemilihan parti itu kerana PAS tidak mahu mengikut telunjuk DAP," katanya.

Monday, October 19, 2015

Hadi Ibaratkan Wakil Rakyat Lompat Parti Umpama 'Monyet'


"Ini monyet tidak tahu makna istiqamah. Sebaik sahaja mereka sudah tidak memiliki buah, mereka segera melompat ke pokok lain yang mempunyai buah-buahan. Mereka meninggalkan pokok itu tanpa memahami makna istiqamah dan cabaran-cabaran yang dihadapi." 

Jika sebelum ini mereka digelar 'katak', namun kini kumpulan wakil rakyat yang bertindak melompat parti dirujuk sebagai 'monyet' oleh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya monyet berkenaan sudah tidak sabar untuk melompat ke pokok lain setelah mereka dapati pokok yang diduduki sebelum ini kehabisan buah.

Merujuk kepada mereka yang meninggalkan PAS bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), beliau menyifatkan kumpulan itu seperti "monyet yang tidak sabar tidak setia kepada perjuangan."

"Ini monyet tidak tahu makna istiqamah. Sebaik sahaja mereka sudah tidak memiliki buah, mereka segera melompat ke pokok lain yang mempunyai buah-buahan.

"Mereka meninggalkan pokok itu tanpa memahami makna istiqamah dan cabaran-cabaran yang dihadapi," katanya ketika Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, malam kelmarin.

Beliau turut menegaskan apa sahaja makhluk yang tidak mengikuti jalan-jalan Allah, mereka akan menjadi zalim kerana mereka melampaui batas.

Tambah beliau lagi, politik cara Islam ialah tetap berada dalam jemaah dimasa senang susah dan tidak sewenang-wenangnya bertindak lari dari rumah terutama mendapat pujukan daripada pihak lain.

Sebagaimana contoh yang diberikan oleh beliau iaitu baiah dalam peristiwa Aqabah oleh para sahabat dari Madinah, mereka berisitiqamah dalam baiah mereka sehingga kepada semua khulafa’ ar-rasyidin kerana keimanan mereka.


Himpunan malam ini kata beliau adalah untuk mengukuhkan gerakan ini bagi memastikan PAS kekal dalam keredaan Allah disamping menunjukkan kesungguhan ahli-ahli PAS.

Atas apa jua halangan, ahli-ahli serta pemimpin digesa bersedia dan bersama-sama berisitiqamah untuk mempertahankan Islam kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan IbrahimTuan Man dalam ucapannya menekankan agar orang-orang Islam tidak terpengaruh dengan pihak yang menaja jahiliyyah bentuk baru.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan negara melalui remaja dan belia mestilah melalui proses Islamisasi dan bukannya hanya menukar kerajaan semata-mata kerana cara begitu tidak akan berbeza dengan pemerintahan yang ada sekarang.

Tuan juga banyak menyentuh berkenaan penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama melibatkan isu 1MDB.

Timbalan Pengerusi Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayob kemudiannya mengambil tempat bagi mewakili 200 NGO untuk berucap dalam majlis malam ini, menegaskan bahawa kehadiran yang sebegitu ramai telah menghampakan harapan agar PAS dihapuskan dalam persada politik negara.

Kongres Rakyat tambah beliau, akan membawa hasrat rakyat kepada kerajaan, NGO-NGO dan kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan hasrat rakyat diberi keutamaan.

Mantan Naib Presiden Keadilan Rakyat itu menegaskan akan bersama-sama PAS dan NGO-NGO lain bagi memastikan Putrajaya akan diambialih pada PRU ke 14 nanti.


Menteri Besar Kelantan Datuk  Ahmad Yaakob melahirkan keyakinan penuh bahawa kejayaan Kelantan mempertahankan kerajaan Islam sehingga 25 tahun adalah hasil sikap istiqamah ahli-ahlinya.

Kelantan telah membuktikan kepada negeri-negeri lain bahawa ia adalah guru politik dengan cara politiknya yang agak berlainan dengan negeri-negeri lain.

Sambil melahirkan rasa syukurnya dengan kejayaan ini, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ianya adalah hasil kesinambungan daripada pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan antara manusia ini menurut Mursyidul Am PAS Datuk  Dr Haron Din pula telah berlaku bermula dari zaman nabi Adam lagi apabila Habil dan Qabil berbalah merebut pasangan.
Maka kata beliau, pihak yang benar-benar ikhlas dalam menyempurnakan suruhan Allah pastilah golongan yang berisitiqamah yang akan mendapat kemenangan dan keredhaan Allah.

Program telah ditangguhkan dengan bacaan doa oleh Presiden PAS yang begitu sebak membacakan bait-bait akhir doa dan bacaan ikrar perjuangan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dan diikuti oleh hadirin.

teganukini

Sunday, October 11, 2015

Hanya Polis Dapat Bertindak…Ajar Guan Eng & Dua ‘Anjing’ Yang Kurang Ajar


Nak cakap apa lagi selain mempertahankan Lim Guan Eng.

Semalam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan Ketua Menteri Lim Guan Eng merasuah tiga daripada pegawai penguatkuasanya untuk menarik balik laporan polis terhadap dua lelaki yang melanggar peraturan memarkir kenderaan di George Town.

Dalam sidang medianya Ahli Majlis MBPP, iaitu agensi kerajaan negeri pimpinan DAP,  Ong Ah Teong berkata dakwaan itu adalah "pembohongan, fitnah jahat dan cubaan mencetuskan kebencian terhadap kerajaan negeri."

Beliau membuat kenyataan mengulas pada akaun Facebook Penang Kini yang dikendalikan pihak tidak dikenali.

Dalam posnya, penulis mendakwa Lim memberikan habuan RM200 kepada tiga penguatkuasa MBPP yang terlibat mengunci tayar sebuah kereta di George Town supaya menarik balik laporan polis terhadap dua lelaki Cina yang memaki mereka.

Tindakan mengunci tayar kereta sedang dijalankan secara meluas di Pulau Pinang kerana pemiliknya melanggar undang-undang dengan meletakkan kereta di tempat yang salah atau di luar tempat ruang letak kereta yang ada, yang kadang-kadang menyebabkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar George Town.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan terbabit berhujah bahawa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan mengunci tayar kereta kerana ia tidak menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi.

Penang Kini menarik banyak komen dengan kebanyakannya berbau perkauman terhadap pegawai MBPP serta dua lelaki yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Ong membuat laporan polis terhadap akaun berkenaan yang dikatakan "mempertikai maruah" tiga pegawai penguatkuasa Melayu berkenaan.

Kelmarin Kerajaan Pulau Pinang memberi penghargaan kepada tiga pegawai penguatkuasa MBPP yang baru-baru ini mendapat layaran kasar kerana menjalankan tugas mereka mengunci tayar kereta yang diletak di tempat yang salah di George Town.


Ketua Menteri Lim Guan Eng menyerahkan kepada mereka masing-masing RM200 di atas "keberanian dan sikap profesional" mereka ketika berdepan dengan insiden itu yang berlaku di Jalan Campbell pada 7 Oktober.

Tiga pegawai berkenaan ialah Zarina Othman, Siti Asa Abu Bakar, dan Sabrina Mohd Sabri.

Lim berkata, dalam menghadapi situasi mencabar itu, mereka tetap tenang, profesional dan berani, serta mempertahankan etika kerja mereka dalam menguatkuasakan undang-undang negara.

Mereka telah mengunci tayar kereta Myvi Perodua yang diletakkan di kaki lima di sepanjang jalan yang sibuk.

Dalam satu sidang media yang diadakan kelmarin, Ong menjelaskan bahawa pemilik kereta dan rakannya marah apabila diberitahu mereka perlu membayar RM50 untuk membuka kunci tersebut.

Kata Ong, pemilik dan rakannya bertengkar dengan pegawai berkenaan dan cuba membuka sendiri kunci tersebut tetapi tidak berjaya.


Katanya, walaupun Zarina cuba menjelaskan perkara itu kepada mereka dengan tenang, kedua-dua lelaki bertindak agak kasar dan mencampakkan wang kertas RM50 ke atas tanah, dan bukan memberi wang itu kepada pegawai itu.

Malah, katanya, pemilik dan rakannya mengugut pegawai berkenaan, dan memanggil mereka anjing.

Kata Ong kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 7 Oktober lalu dan sejam kemudian, seorang daripada pegawai terbabit membuat laporan polis berhubung tindak tanduk dua lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun pengadu menarik balik laporan berkenaan pada malamnya kerana bimbang terhadap keselamatan diri selepas diugut dua lelaki terbabit yang akan mencederakannya jika mereka terserempak lagi.

"Malah mereka memanggil penguatkuasa itu sebagai anjing," katanya.

Sehari kemudian, kata Ong, MBPP membuat sidang media mengutuk dua lelaki berkenaan dan menggesa penguatkuasa MBPP itu membuat laporan polis semula.
Penguatkuasa terbabit kemudian membuat laporan polis untuk kali kedua.

"Hanya sehari kemudian (9 Oktober) Lim menyerahkan insentif RM200 kepada tiga penguatkuasa itu kerana keberaniuan dan profesionalisme mereka menangani kes berkenaan," katanya.

Semalam polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan berhubung dakwaan cuba menghalang pejawat awam melaksanakan tugas.

Kita berharap polis bertindak adil dan ‘mengajar dengan baik’ sesiapa juga yang membuat kecoh dan ‘kurang ajar’ seperti ini.

Laporan menyebut, dua lelaki yang didakwa bertindak biadap memaki dan mencampak duit kepada anggota penguatkuasa MBPP itu direman selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP MiorFaridalatarash Wahid berkata polis akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan selepas menjalankan siasatan ke atas dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun yang ditahan semalam.

"Rakaman video itu dibuat oleh seorang daripada penguatkuasa berkenaan dan setakat ini polis telah merekodkan keterangan tiga penguatkuasa MBPP yang terlibat dalam insiden berkenaan

"Selain itu, kami juga akan panggil beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya di Georgetown semalam.


Beliau berkata polis percaya dapat melengkapkan kertas siasatan kes itu dalam tempoh terdekat dan seterusnya menyerahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk arahan selanjutnya.

Mior Faridaltrash berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan dan denda RM1,000.

Friday, October 9, 2015

Cina Boleh Buat Apa Saja Kerana Mereka Berada Di 'Negeri Cina'


Dua pemuda Cina yang biadap ini sepatutnya dikenakan tindakan tegas kerana mengganggu tugas penjawat awam,

Mereka berani kerana mungkin beranggapan berada di negara lain, bukan di Malaysia.

Kita mahu tenguk apa tindakan terhadap mereka ini.

Semalam, ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pihak berkuasa me­nyiasat segera perbuatan biadab dua pemuda Cina terhadap anggota penguat kuasa mereka yang sedang melakukan tugas dalam kejadian di Lebuh Campbell di Pulau Pinang, kira-kira pukul 11 pagi itu.

Sambil melahirkan rasa kesal, wakil mereka, Mohd. Yusoff Mohd. Noh berkata, tindakan kurang ajar dua pemuda berkenaan yang membaling wang kompaun serta mencaci penguat kuasa wanita MBPP itu dengan perkataan `anjing’ jelas merupakan perbuatan tidak bertamadun.

Menurutnya, perbuatan itu juga boleh disifatkan sebagai cubaan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dengan baik serta memalukan anggota penguat kuasa di tempat awam.

Malah, jelas beliau, tindakan pemuda berkenaan yang cuba membuka sendiri kapit roda atas ke­salahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki juga merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sepatutnya jika mana-mana pihak yang disaman tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membuat aduan terus kepada MBPP.

“Bukannya berkelakuan biadab dengan mencaci anggota penguat kuasa dan menghina mereka de­ngan mencampakkan wang kompaun seperti dilakukan pemuda berkenaan,” katanya kepada pemberita seperti di siarkan Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian tiga penguat kuasa MBPP yang diherdik dengan perkataan kesat oleh dua pemuda Cina kerana tidak berpuas hati selepas kenderaan mereka dikunci kerana kesalahan meletakkan kereta di laluan pejalan kaki.

Dalam rakaman kejadian itu yang tersebar di Internet hari ini, kedua-dua pemuda berkenaan dalam keadaan marah pada awalnya cuba membuka sendiri tayar yang dikunci anggota penguat kuasa MBPP berkenaan.

Bagaimanapun, mereka akhir­nya mengalah apabila salah seorang daripada mereka membayar kompaun kesalahan tersebut tetapi de­ngan mencampakkan wang ke lantai sebelum dikutip penguat kuasa MBPP wanita berkenaan.

Video berdurasi dua minit itu mengundang rasa marah dan kurang senang orang ramai yang menyifatkan tindakan pemuda berkenaan sebagai melampau dan menghina penjawat awam.

Malah, majoriti mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua pemuda berkenaan sebagai pe­ngajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan penjawat awam.

Sementara itu, Mohd. Yusoff melahirkan rasa bangga dengan sikap tenang ketiga-tiga anggota pe­nguat kuasa MBPP berkenaan dalam berdepan situasi tersebut.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai memahami serta menghormati bidang tugas penguat kuasa MBPP yang perlu bertindak ke atas kesalahan pemandu yang jelas menyusahkan pihak lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada salah seorang penguat kuasa MBPP berkenaan semalam.

Sehubungan itu, menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Friday, September 25, 2015

AS, Australia Beri Amaran Kemungkinan Ancaman Pengganas Di Jalan Alor


Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan di Jalan Alor berikutan kemungkinan ancaman pengganas.

Dalam satu kenyataan di laman web kedutaan itu pada malam semalam, ia berkata, nasihat berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berhubung kemungkinan tindakan pengganas.

Ia menasihatkan rakyat AS supaya mengelakkan daripada berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar hari ini.

"Bagi semua lokasi lain, Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengingatkan rakyat AS perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap keselamatan diri.

"Pada masa lalu, badan-badan pengganas mempunyai rancangan mengenai serangan mereka sejajar dengan tarikh penting dalam kalendar," kata kedutaan itu.

Ia mengingatkan rakyat AS supaya sentiasa berhati-hati semasa dalam perjalanan kerana mereka mungkin menjadi sasaran kumpulan ekstremis tanpa mengira negara mereka berada.

"Teliti semula rancangan keselamatan diri anda, sentiasa berwaspada terhadap persekitaran, termasuk acara tempatan dan memantau stesen berita tempatan untuk perkembangan.

"Sentiasa berwaspada pada tahap yang tinggi, ambil langkah yang sewajarnya untuk mempertingkatkan keselamatan diri anda dan mengikut arahan pihak berkuasa," menurut nasihat kedutaan itu.

The Straits Times semalam (Khamis)  melaporkan satu amaran turut dikeluarkan dalam laman web Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Kerajaan Australia.

"Berikutan kemungkinan ancaman keganasan, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pada Khamis, 24 September.


"Kami terus menasihatkan rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan semula mengenai keperluan untuk mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di Malaysia," menurut amaran itu.