Friday, July 22, 2016

SPRM Bimbang Gejala Rasuah Di Malaysia 55 Peratus Babitkan Belia


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius trend penglibatan belia dalam isu rasuah di negara ini.

SPRM mendapati sebanyak 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2013 adalah golongan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Kebimbangan itu didasarkan kerana golngan belia merupakan tonggak negara yang akan meneraju pembangunan dan masa hadapan negara.

Berikutan itu SPRM merangka pelbagai program di peringkat negeri dan ibu pejabat dengan sekolah, institusi pengajuan tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi pendedahan kepada belia berhubung isu rasuah.

Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil  berkata 
penemuan SPRM itu  menunjukkan penglibatan rasuah dalam kalangan belia agak tinggi dan ia perlu ditangani dengan efektif agar tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

“Kita memandang serius tentang penglibatan belia dalam isu rasuah kerana mereka merupakan tonggak negara yang akan meneraju pembangunan dan masa hadapan negara.

“Justeru kita telah merangka pelbagai program di peringkat negeri dan ibu pejabat dengan sekolah, institusi pengajuan tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan bagi memberi pendedahan kepada belia berhubung isu rasuah,” katanya kepada pemberita di Melaka semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Program Merakyatkan SPRM bersama Agensi Awam, Swasta dan Komuniti Setempat di sini yang turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias.

Mengulas lanjut, Shamshun Baharin berkata kajian persepsi rasuah dalam kalangan pelajar di negara ini yang menyatakan kesanggupan mereka menerima rasuah apabila bekerja mencatatkan penurunan daripada 30.5 peratus pada tahun 2002 berbanding 10.7 peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata penurunan berkenaan ekoran langkah efektif SPRM melaksanakan pelbagai program di semua peringkat masyarakat di negara ini termasuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sejak 2007 dan peringkat sekolah melalui program ‘Wira Antirasuah’.

“Kita telah menubuhkan sebanyak 103 Sekretariat Pencegahan Rasuah di negara ini termasuk di institusi pengajian swasta dan kita lihat kesedaran golongan masyarakat terutama golongan belia di negara ini, semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata pendidikan pencegahan rasuah juga turut melibatkan sektor awam menerusi unit integriti yang diwujudkan bagi memberi penerangan dan pendidikan berhubung isu dan cara menangani rasuah.

Katanya, antara aspek yang ditekankan isu pencegahan rasuah dalam kalangan belia termasuk sistem keadilan jenayah supaya mereka memahami fungsi dan tugas SPRM serta membantu SPRM dalam usaha mencegah segala bentuk ativiti jenayah.

Sementara itu, Azmi berkata SPRM Melaka menahan seramai 29 individu terdiri daripada 18 penjawat awam dan 11 orang awam berkaitan isu rasuah di negeri itu antara tempoh Januari lepas hingga hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lima individu dituduh di mahkamah dan kebanyakannya merupakan golongan belia yang didapati menerima dan memberi rasuah, terlibat dalam penggubalan wang haram dan membuat tuntutan yang tidak wujud.

“Pada masa sama, kita telah mengemukakan Laporan Pencegahan Rasuah Malaysia kepada majikan penjawat awam yang terlibat dalam perbuatan rasuah agar diambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan Pegawai-pegawai Awam 1993.

“Tindakan itu dilakukan kerana kita tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka di mahkamah dan kes berkenaan dirujuk pada majikan mereka untuk tindakan lanjut sama ada dibuang kerja atau merit mereka dipotong,” katanya.