Tuesday, November 18, 2008

BELAJARLAH BAGAIMANA PAS TUMBANG

Bagaimana kalau PKR memerintah Malaysia?

Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn mungkin menjadi sasaran pertama mereka.
PKR jangan mudah lupa. Belajarlah daripada Pas bagaimana kesannya jika ambil alih bangunan sembarangan.

Antara sebab Pas tumbang di Terengganu ialah kerana tidak sabar untuk mengambil alih balai-balai raya dan tadika Islam, menyebabkan rakyat marah.

Kini ‘perangai Pas’ diamalkan pula oleh PKR yang menjadi peneraju kerajaan negeri Selangor.
Semalam geger satu Selangor apabila sikap keterlaluan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mengambil alih bangunan yang menempatkan bilik gerakan UMNO Bahagian Pandan dan juga pusat khidmat masyarakat bahagian tersebut.

Pengambilalihan itu berlaku pada awal bulan ini dengan MPAJ bertindak menukar kunci bangunan itu tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada mana-mana pemimpin UMNO bahagian itu.

Ketua UMNO bahagian tersebut, Abdul Ghani Ismail berkata, pengambilalihan pejabat UMNO itu sangat tidak wajar dilakukan kerana ia adalah milik masyarakat setempat dan kegunaan bersama.

Ppihaknya akan mempertahankan hak mereka terhadap bangunan itu memandangkan ia sudah lama memberi kemudahan kepada penduduk untuk membuat sebarang aduan.

Apa yang dikesalkan, katanya, ialah penduduk yang menjadi mangsa keadaan kerana mereka kini tidak lagi mempunyai pusat khidmat masyarakat serta pusat pengaduan awam yang sebelum ini dibina di dalam satu kawasan bersama bilik gerakan UMNO.

"Sepatutnya, penyerahan pejabat tersebut perlu dimaklumkan pada saya dan sebarang tindakan perlu dilaksanakan setelah perbincangan diadakan.

"Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan MPAJ bagi mendapatkan status sebenar bangunan ini dan mempertahankan hak UMNO pada bangunan itu," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mejar (B) Iszehan Hamid turut berpendapat langkah pengambilalihan pejabat mahupun dewan di Selangor oleh kerajaan negeri adalah tidak wajar.

"Kebanyakan dewan di negeri Selangor dibina di atas peruntukan sendiri sama ada oleh pemimpin terdahulu atau pun orang ramai. Jadi pengambilalihan dewan berkenaan perlu dikaji semula," jelasnya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Suhaimi Mamat pula berkata, masalah tersebut seharusnya dibawa berbincang bagi memuaskan hati semua pihak dan UMNO bahagian itu supaya masyarakat setempat tidak menjadi mangsa.

"Kami bukanlah mahu bertikam lidah dengan sesiapa namun kita seharusnya berfikir tentang generasi baru yang memerlukan sokongan daripada mereka," katanya.

Mohd. Suhaimi berkata, pejabat tersebut merupakan nadi utama parti di bahagian itu dan ia tidak seharusnya diserahkan kepada MPAJ atas apa juga alasan.

Penolong Setiausaha UMNO Bahagian Pandan, Faizal Sufar berharap perkara tersebut dapat dibincangkan dengan MPAJ dan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan menguntungkan semua pihak.

Dewan komuniti di Selangor mula menjadi isu apabila kerajaan negeri di bawah kepimpinan pakatan pembangkang mengarahkan ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diuruskan.

Notis dikeluarkan Ogos lalu kepada semua pengurus dewan atas alasan untuk mengelak penyalahgunaan dewan berkenaan dan memudahkan penyelarasan.

Kerajaan negeri turut mengugut akan meruntuhkan dewan yang gagal diserahkan kepada PBT selepas tamat tempoh notis.