Saturday, November 7, 2009

ANWAR, NIK AZIZ DAN HUSAM - ROYALTI MINYAK

1. Pengumuman Perdana Menteri berkaitan pemberian wang ehsan ke negeri Kelantan disambut dengan perasaan bercampur baur oleh rakyat Kelantan. UMNO gembira, mungkin ada Ketua-ketua bahagian yang sudah membayangkan projek akan disalurkan terus kepada mereka.

Bagi PAS pula, ianya bercampur-campur. Bagi rakyat pula ada yang beranggapan “aku tetap begini biar jutaan ringgit bantuan yang datang”.

2. Nik Aziz pernah berulang alik ke Kementerian Kewangan menemui Anwar semasa Anwar Menteri Kewangan dan TPM. Salah satu agenda pertemuan yang berulang kali itu adalah mengenai wang royalti minyak yang patut diberikan kepada Kelantan. Ia juga boleh digunakan bagi membayar hutang kerajaan negeri Kelantan kepada kerajaan pusat! Seperti biasa, Anwar bermain politik. Beliau menyatakan tiada halangan tetapi terikat dengan Dr. Mahathir (skg. Tun).

3. Anual Bakri Haron (s/u politik Datuk Nik Aziz) boleh mengesahkan perkara ini. Ketika beliau di Bahagian Belanjawan Kementerian Kewangan, ada satu kertas kerja telah dikemukakan kepada Anwar mencadangkan Kelantan patut diberikan bantuan dari royalti minyak sebagai membantu kerajaan negeri. Malangnya Anwar sebagai Menteri Kewangan telah tidak bersetuju serta TIDAK memanjangkannya ke mesyuarat kabinet.

4. Anwar kembali ‘menangguk di air keroh’ serta mahu memerangkap kerajaan pusat dengan isu ini. Tentunya ayam sakit yang digunakan ialah Husam Musa. Persepsi yang mahu ditimbulkan ialah kerajaan pusat terus-terusan mendiskriminasi rakyat Kelantan. Namun DS Najib pantas menangani isu ini. Keputusan segera dibuat w/pun tuntutan yang dibuat Husam berpandu kepada Anwar dan undang-undang yang tidak jelas.

5. Anwar boleh berbuat sesuatu (memberi bantuan)semasa beliau punya kuasa, tetapi tidak berbuat demikian. Malahan cadangan yang telah dikemukakan juga ditolaknya atas kuasa menteri! Ini sebenarnya helah politik Anwar mahu menekan rakyat Kelantan. Bantuan yang diberi kepada Kelantan ketika itu mestilah dilulus dan diberi atas nama beliau selaku Menteri Kewangan. Agensi-agensi pusat yang lain diketepikan.

6. Kelantan terlepas dari tangan BN setelah Anwar menyertai UMNO. Anwar berusaha bersungguh-sungguh mahu merampas Kelantan serta melonjakkan namanya. Namun caranya ialah menekan rakyat Kelantan! Segala bantuan harus ditapis dan hanya dibenar sekiranya boleh melonjakkan nama beliau. Cita-cita Anwar tidak kesampaian dan beliau menggunakan orang lain pula meneruskan huru-hara di Kelantan.

7. Kerana itu Nik Aziz bersyukur atas bantuan ini kerana beliau memperjuangkannya sekian lama (tak kira wang royalti atau bantuan). Ianya untuk manfaat rakyat Kelantan. ‘Ayam sakit’ Anwar di Kelantan, pasti beria-ia membantah. Ianya kerana arahan Anwar dan mungkin juga telah terbayang bakal terlepas banyak projek nanti. Ada juga yang secara sinis menyatakan Husam membantah kerana ‘tak masuk poket dia’.

PM DS Najib bertindak pantas menangani isu ini. Kerajaan Pusat boleh saja menolak mentah-mentah pemberian bantuan kerana jelas kawasan yang diperkatakan Kelantan adalah kawasan bertindih antara Malaysia dan Thailand dan perjanjian persefahaman adalah Kerajaan Malaysia dan Thailand. Tiada kena mengena dengan Kelantan.

Namun atas dasar prihatin, PM mengumumkan bantuan tersebut (dlm bentuk projek) agar dapat dinikmati oleh semua rakyat Kelantan. Lebih jauh lagi, PM mengambil tindakan politik yang bijak dan mematikan langkah Anwar! Bola yang dikembalikan Anwar untuk melawan DS Najib adalah bola tanggung!

PAstinya ’smash’ DS Najib akan terkena muka Anwar yang tidak berbuat demikian semasa Menteri Kewangan. Hanya sibuk bermain politik! Dan yang terkena ’smash’ itu pasti terasa sakit, lebih-lebih lagi ’smash’ itu datang dari tindakan yang dimulakannya sendiri

Sumber: http://x-pkr.blogspot.com

Saturday, October 31, 2009

SATU DEMI SATU TINGGALKAN PKR KERANA CURIGA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(pengarang@utusan.com.my)


UMPAMA retak menanti belah. Peletakan jawatan bersiri pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengiyakan cakap-cakap tentang keretakan dalam parti itu.

Bukan saja PKR yang dilanda masalah. Rakannya Pas turut dijangkiti sindrom perpecahan. Semuanya itu kononnya berkaitan dengan agenda 'membersihkan' parti.

PKR tidak mahu pemimpin yang tidak mendokong agenda parti itu. Lantas tugas wakil rakyat yang dipilih untuk berbakti kepada pengundi dialih kepada orang lain.

Tindakan itu terbukti dalam kes wakil rakyat PKR bagi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang. Badrul Hisham Abdullah keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR.

Apakan tidak, ketika mencalonkan Badrul Hisham tidak berbangkit soal masalah kekuatan otak. Namun selepas membantu PKR mendapatkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap beliau.

Adakah calon PKR semasa pilihan raya umum lalu hanya tangkap muat? Adakah mereka tidak perlu diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat?

Sebab itu selepas menjadi wakil rakyat, pemimpin tertinggi tidak peduli. Malah mendapat khabar anak buahnya meninggalkan parti, tiada rasa kesal sebaliknya segala kelemahan yang 'dipadamkan' daripada rekod menjelang pilihan raya lalu diungkit semula.

Itu sebahagian daripada masalah di Pelabuhan Klang. Sebahagian lagi punca, kata Badrul Hisham kerana tidak gemar dengan sikap berdolak-dalik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwatnya.

Itu sandiwara dalam PKR. Sandiwara yang bermula dengan keyakinan mahu membentuk kerajaan pada 16 September tahun lalu nampaknya bertukar plot.

Sandiwara mahu menawan wakil-wakil rakyat dari negeri di bawah bayu itu kini melalui jalan cerita berbeza. Di negeri itu, krisis keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR terserlah.

Siapa sangka Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletakkan semua jawatan dalam parti itu. Dan bukankah gerakan yang bermula secara perlahan dan kini tidak dapat diselindungkan lagi menunjukkan bahawa PKR sememangnya bermasalah.

Sebab itu alasan mahu membersihkan parti semacam tidak mendapat tempat di kalangan ahli-ahli PKR yang kini semakin berani menoktahkan perjuangan yang masih hijau.

Keengganan mengakui kelemahan serta cubaan mahu menunjukkan bahawa parti itu kukuh dengan sokongan dua lagi rakan - Pas dan DAP, menyebabkan ada yang muak.

Apatah lagi dalam keadaan ada wakil rakyatnya mula mempersoalkan isu moral pemimpinnya, sedangkan sebelum ini istilah tersebut tidak lut dalam parti itu.

Mana pernah ahli-ahli parti itu mencurigai moral pemimpin mereka, biar pun yang pernah dipenjarakan kerana kesalahan menyanggah moral. Sebaliknya pemimpin itulah yang disanjung, dijunjung dan dilambung umpama 'malaikat' yang bersih daripada dosa dan noda.

Tetapi trend itu mula terhakis. Kecurigaan mula mengatasi kesetiaan kepada parti dan pemimpin menyebabkan mereka mula berani bertindak; salah satu caranya dengan meninggalkan parti.

Bukan soal kekeliruan dan kejutan berikutan perubahan yang disusun dalam kepimpinan PKR mendorong tindakan meninggalkan parti atau meletakkan jawatan.

Tetapi hakikatnya soal ketidakpercayaan orang kuat parti terhadap pemimpin yang diberi mandat sebelum ini menyebabkan ada rajuk yang tidak mungkin dapat dipujuk.

Lantas perubahan yang dikatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam kononnya dipersetujui sebulat suara amat diragui.

Bukankah sepakat membawa berkat. Tetapi dalam kes perubahan dalam PKR, kesepakatan itu membawa kepada siri perpecahan. Pastinya ada punca tunggal kepada perkembangan terbaru itu dan mungkin juga membawa kepada berita seterusnya yang akan diledakkan tidak lama lagi.

Sepatutnya agenda mahu membersihkan parti daripada golongan 'bermasalah' dalam PKR dimulakan di peringkat nama-nama besar dalam parti itu.

Ini kerana nama-nama besar itu semakin tidak mendapat tempat, hilang kepercayaan malah tidak lagi diyakini untuk menjadikan PKR terus relevan.

Siapakah nama-nama itu, semua orang tahu jawapannya.

Wednesday, October 28, 2009

TEORI DOMINO LANDA PKR

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (mStar)

NAMPAKNYA momentum teori domino dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kian memuncak apabila satu demi satu pemimpinnya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

Perkembangan terkini yang berlaku benar-benar menyerlahkan keadaan sebenar kepincangan yang meledak terutamanya dari aspek kepimpinannya.

Tak ubah seperti permainan domino, bila satu tiang itu dijatuhkan, maka jangkitannya bukan satu atau dua, sebaliknya implikasinya akan menyerang secara berantai.

Pergolakan yang berlaku dalam PKR semakin ketara bermula dengan pengumuman 'cuti politik' oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta selepas Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Malah laporan media sebelum ini juga ada menyebut kononnya hasrat Zaid untuk ke negeri itu tidak direstui oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Bagaimanapun Azmin menafikan mengenai perkara itu dan dakwaan kononnya terdapat pergeseran antara beliau dan Zaid.

Lanjutan isu Zaid yang mendakwa beliau dihalang daripada menghadiri program parti itu di Sabah, timbul pula isu konflik kepimpinan yang melanda PKR Sabah yang pada ketika itu diterajui oleh Azmin sebagai Pengerusi PKR negeri.

Kepimpinan Azmin dikatakan ditolak oleh pemimpin negeri itu yang mahukan anak tempatan menerajui PKR Sabah.

Menyedari kesan yang bakal berlaku jika perkara ini berlarutan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera membuat rombakan bagi jawatan pengerusi PKR negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin dari Semenanjung.

Bagaimanapun kekalutan yang berlaku bukan sekadar 'ribut dalam cawan', apabila Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik.

Tindakan Dr Jeffrey jelas sekali memberi satu tamparan hebat kepada PKR dalam usaha mereka untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

Adalah dipercayai majoriti ketua-ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin dinamakan sebagai pengerusi PKR negeri minggu lepas selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Nampak permainan domino ini tidak terhenti begitu sahaja kerana dalam masa kurang 24 jam selepas Dr Jeffrey mengumumkan pendiriannya semalam, Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti hari ini.

Liew bagaimanapun berkata beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

Liew sebenarnya kecewa kerana selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi PKR Sabah diambil alih oleh Datuk Kong Hong Ming atas sebab yang tidak diketahui.

Belum sempat isu Dr Jeffrey diselesaikan, timbul pula isu Liew.

Perkembangan ini semestinya memberi tamparan hebat kepada PKR kerana pengaruh kedua-dua pemimpin berkenaan terutamanya di peringkat akar umbi cukup kuat.

Tambahan pula Dr Jeffrey tidak menolak kemungkinan menyertai semula Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai abangnya Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Jika Dr Jeffrey mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN), tidak mustahil beberapa ketua bahagian PKR yang lain serta penyokongnya akan mengikut jejak langkahnya.