Showing posts with label krisis. Show all posts
Showing posts with label krisis. Show all posts

Saturday, October 31, 2009

SATU DEMI SATU TINGGALKAN PKR KERANA CURIGA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(pengarang@utusan.com.my)


UMPAMA retak menanti belah. Peletakan jawatan bersiri pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengiyakan cakap-cakap tentang keretakan dalam parti itu.

Bukan saja PKR yang dilanda masalah. Rakannya Pas turut dijangkiti sindrom perpecahan. Semuanya itu kononnya berkaitan dengan agenda 'membersihkan' parti.

PKR tidak mahu pemimpin yang tidak mendokong agenda parti itu. Lantas tugas wakil rakyat yang dipilih untuk berbakti kepada pengundi dialih kepada orang lain.

Tindakan itu terbukti dalam kes wakil rakyat PKR bagi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang. Badrul Hisham Abdullah keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR.

Apakan tidak, ketika mencalonkan Badrul Hisham tidak berbangkit soal masalah kekuatan otak. Namun selepas membantu PKR mendapatkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap beliau.

Adakah calon PKR semasa pilihan raya umum lalu hanya tangkap muat? Adakah mereka tidak perlu diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat?

Sebab itu selepas menjadi wakil rakyat, pemimpin tertinggi tidak peduli. Malah mendapat khabar anak buahnya meninggalkan parti, tiada rasa kesal sebaliknya segala kelemahan yang 'dipadamkan' daripada rekod menjelang pilihan raya lalu diungkit semula.

Itu sebahagian daripada masalah di Pelabuhan Klang. Sebahagian lagi punca, kata Badrul Hisham kerana tidak gemar dengan sikap berdolak-dalik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwatnya.

Itu sandiwara dalam PKR. Sandiwara yang bermula dengan keyakinan mahu membentuk kerajaan pada 16 September tahun lalu nampaknya bertukar plot.

Sandiwara mahu menawan wakil-wakil rakyat dari negeri di bawah bayu itu kini melalui jalan cerita berbeza. Di negeri itu, krisis keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR terserlah.

Siapa sangka Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletakkan semua jawatan dalam parti itu. Dan bukankah gerakan yang bermula secara perlahan dan kini tidak dapat diselindungkan lagi menunjukkan bahawa PKR sememangnya bermasalah.

Sebab itu alasan mahu membersihkan parti semacam tidak mendapat tempat di kalangan ahli-ahli PKR yang kini semakin berani menoktahkan perjuangan yang masih hijau.

Keengganan mengakui kelemahan serta cubaan mahu menunjukkan bahawa parti itu kukuh dengan sokongan dua lagi rakan - Pas dan DAP, menyebabkan ada yang muak.

Apatah lagi dalam keadaan ada wakil rakyatnya mula mempersoalkan isu moral pemimpinnya, sedangkan sebelum ini istilah tersebut tidak lut dalam parti itu.

Mana pernah ahli-ahli parti itu mencurigai moral pemimpin mereka, biar pun yang pernah dipenjarakan kerana kesalahan menyanggah moral. Sebaliknya pemimpin itulah yang disanjung, dijunjung dan dilambung umpama 'malaikat' yang bersih daripada dosa dan noda.

Tetapi trend itu mula terhakis. Kecurigaan mula mengatasi kesetiaan kepada parti dan pemimpin menyebabkan mereka mula berani bertindak; salah satu caranya dengan meninggalkan parti.

Bukan soal kekeliruan dan kejutan berikutan perubahan yang disusun dalam kepimpinan PKR mendorong tindakan meninggalkan parti atau meletakkan jawatan.

Tetapi hakikatnya soal ketidakpercayaan orang kuat parti terhadap pemimpin yang diberi mandat sebelum ini menyebabkan ada rajuk yang tidak mungkin dapat dipujuk.

Lantas perubahan yang dikatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam kononnya dipersetujui sebulat suara amat diragui.

Bukankah sepakat membawa berkat. Tetapi dalam kes perubahan dalam PKR, kesepakatan itu membawa kepada siri perpecahan. Pastinya ada punca tunggal kepada perkembangan terbaru itu dan mungkin juga membawa kepada berita seterusnya yang akan diledakkan tidak lama lagi.

Sepatutnya agenda mahu membersihkan parti daripada golongan 'bermasalah' dalam PKR dimulakan di peringkat nama-nama besar dalam parti itu.

Ini kerana nama-nama besar itu semakin tidak mendapat tempat, hilang kepercayaan malah tidak lagi diyakini untuk menjadikan PKR terus relevan.

Siapakah nama-nama itu, semua orang tahu jawapannya.

Saturday, June 13, 2009

PARTI KACAU-BILAU RAKYAT JOLOKAN TERBARU PKR

Nasir Sukiman
11 Jun 2009

KRISIS dalaman melibatkan tuduh menuduh dan fitnah memfitnah di kalangan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang rupa-rupanya tidak berakhir dengan pelantikan Dr Mansor Osman sebagai TKM 1 yang baru.

Mansor yang dicabar membuktikan beliau mampu membela nasib Melayu berbanding Fairus Khairuddin, terpaksa akur dengan hakikat bahawa kira-kira satu pertiga saja pengundi memilih beliau pada Pilihan Raya Kecil N.12 Penanti pada 31 Mei lalu.Namun apa yang lebih memalukan adalah percakaran di kalangan pemimpin PKR berterusan sebaik saja episod ‘pemecatan’ Fairus selesai.
Sebelum ini pengumuman Mansor sebagai calon TKM 1 dipertikaikan berikutan laporan Zahrain cuba melobi agar Exco Negeri, Abdul Malik Abul Kassim diberikan peluang memegang jawatan itu.Dalam semua isu nama Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dikaitkan sebagai pengacau atau dalang.Sejajar inilah, kini PKR diberikan jolokan baru – Parti Kacau-Bilau Rakyat atau Kekacauan atau Parti Kacau Rakyat.

Perbalahan sesama sendiri itu pula berpunca daripada anggapan sesetengah pemimpin bahawa kuasa adalah lubuk membawa kepada kekayaan. Berikutan anggapan sedemikian, perebutan kuasa itu melimpah melibatkan bukan saja sesama pemimpin PKR malah mengaitkan juga Pas dan DAP.

Terbaru, PKR menafikan dakwaan pemimpin dan ahli parti itu mendapat habuan lebih lumayan daripada kontrak pembersihan Alam Flora di Selangor berbanding lagi 60 peratus yang harus dikongsi di antara DAP dan PAS.

Kalangan yang membongkar kegiatan itu juga mendakwa ada pakatan sulit berkaitan pembahagian itu.

Sebelum ini, tidak syak lagi adalah tindakan memboikot upacara angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang baru, Mokhtar Jait dikatakan berpunca daripada keinginan Ketua Wip PKR, Johari Kassim untuk menyandang jawatan itu.

Ini diakui Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang mendedahkan beliau dimaklumkan Pengerusi PKR Negeri, Zahrain Hashim bahawa Johari tidak berpuas hati dengan pelantikan Mokhtar kerana 'mengidam' jawatan itu.

Mengikut jangkaan awal, Johari sepatutnya memegang jawatan itu jika YDP MPSP dilantik daripada kalangan ahli majlis PKR lantas memperkuatkan kuasanya bagi menghadapi kerenah Zahrain.

Di majlis itu, lapan daripada sembilan ahli majlis MPSP dari PKR memboikot upacara berkenaan kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan parti itu berhubung pelantikan Mokhtar sebagai YDP MPSP.

MPSP, sebuah majlis perbandaran terbesar di Semenanjung mempunyai 24 ahli majlis dengan 10 diwakili pemimpin DAP, PKR (9), Pas (2) manakala pertubuhan bukan kerajaan (tiga).

Di tengah-tengah kemelut dan kekacauan itu, Anwar semakin giat mengejar mimpinya dengan terbaru, untuk menakluk Perlis, satu-satunya negeri di utara tanah air yang terlepas daripada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Impian itu, dakwa Anwar, diterjemahkan apabila PKR menerima 630 borang keahlian daripada ahli UMNO untuk menyertai pembangkang. Namun kerajaan Perlis, yang menjalankan siasatan mendapati cuma 30 ahli Umno menyertai PKR.

Mereka yang menyertai pembangkang disebabkan dasar kecewa kepada UMNO selepas kalah dalam pemilihan dan ada yang tidak dilantik sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Anwar jelas cuba mencari pengaruh di negeri-negeri utara sedang krisis dalaman di Selangor dan Pulau Pinang semakin parah melibatkan ramai pemimpin atasan yang saling tuduh menuduh sebagaimana didedahkan golongan anti-PKR dan anti-Anwar pada ceramah menjelang PRK Penanti, hujung Mei lalu.

Bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, pernah mendakwa sesiapa dalam PKR yang cuba mendapatkan makumat sahih melibatkan kegiatan rasuah atau menyiasat pemberian habuan kontrak, akan dipinggirkan dan dibuli sedang penyokong mereka dipecat.

Kalangan pemimpin yang dicap membuat angkara pula dipindahkan ke kawasan lain hingga menghilangkan pengaruh mereka. - malaysiaaktif.com