Sunday, August 23, 2009

HINA ISLAM PAK SAMAD TAK KISAH…ASALKAN JANGAN BAHASA MELAYU

Kesian, semakin lanjut usia, Datuk A Samad Said semakin ‘sesat’. Hairannya pemimpin PAS apabila Pak Samad cakap bahasa dia orang sokong. Bahasa Melayu boleh, bangsa Melayu asobiyah.

Antara Bahasa Melayu dan Islam, lebih teruk menghina Islam. Tidakkah Pak Samad malu berkerjasama dengan mereka yang menghina Islam?

Daripada Exception 2008

Datuk A Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai "penghinaan berterusan" terhadap bahasa kebangsaan.

"Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu.

"Bahasa Melayu itu diperhina terus," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini. Lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) diminta mengulas penjelasan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu kelmarin. Selepas sebulan pengumuman pemansuhan dasar itu pada awal Julai, keputusan terbaru mekanisme "pendaratan lembut" ini diluluskan oleh kabinet 5 Ogos lalu, kata Alimuddin dalam sidang media khas menjelaskan perkara itu. Beliau juga berkata, di peringkat UPSR, subjek Sains dan Matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016, PMR sehingga 2013 dan SPM sehingga 2015.

Alimuddin juga memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012.

Dengan pendekatan terbaru "pendaratan lembut" pemansuhan PPSMI, dasar itu diteruskan bagi murid-murid darjah satu tahun depan dan 2011 sehingga kedua-dua kumpulan ini tamat darjah enam pada 2015 dan 2016 (lihat carta).
Curi-curi ajar BM Malam ini,

A Samad dan beberapa exco GMP dijadual berkempen di pentas PAS pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bagi mendesak pemansuhan segera dasar kontroversi itu (foto kanan).
"Dalam kempen, saya akan ingatkan, kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2003 (untuk laksana PPSMI), kerajaan melanggar Akta Bahasa pada 2009 dan akan terus melanggarnya sehingga 2017. "Kerajaan sepatutnya meluhuri undang-undang. (Teruskan PPSMI) ini dia (BN) langgar sendiri.

Parti seperti ini (Umno-BN) tidak harus dihormati langsung," kata Pak Samad lagi.
Beliau juga menyifatkan penjelasan terbaru Alimuddin kelmarin menyebabkan status PPSMI "menjadi semakin tidak jelas". Pak Samad berkata, ia berpunca daripada penjelasan awal Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status dasar itu yang "tidak tuntas dan berdikit-dikit".

"Nampaknya menteri tidak menjelaskannya (pemansuhan PPSMI) secara tuntas, tetapi membiarkan anak buahnya menyambung.
"Macam (konsep) Satu Malaysia juga, diumumkan dulu, kemudian orang itu perjelas sedikit, orang ini perjelas sedikit," kata A Samad, menyindir slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas perkara yang sama, Timbalan Pengerusi GMP Dr Shahrir Md Zain menggesa kerajaan membenarkan guru-guru mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun hadapan. "GMP mendesak kerajaan mengizinkan guru sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik mulai tahun hadapan kerana selama ini pun mereka curi-curi mengajar dalam bahasa Melayu; dan pelajar diizinkan menjawab dalam bahasa Melayu," katanya kepada Malaysiakini.

Jejas pelajar Melayu
"GMP tidak bersetuju dengan hasrat ketua pengarah pelajaran mengambil tindakan kepada guru yang menggunakan bahasa Melayu sebelum 2012, seperti yang dilaporkan akhbar semalam." Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda PKR Amirudin Shari menyifatkan penjelasan Alimuddin sebagai "bagaimana liciknya penipuan" yang dibuat oleh Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri.

Tambahnya, melanjutkan lagi PPSMI boleh menjejaskan ramai pelajar yang majoritinya berbangsa Melayu.
"Bagi kami keputusan kabinet ini menunjukkan jelas dasar-dasar yang merugikan rakyat dan amat menyedihkan keadaan anak-anak muda di sekolah rendah telah digadaikan untuk keegoan kerajaan dalam membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami juga curiga keputusan ini dibuat untuk melindungi kroni daripada kerugian atas perubahan dasar kerajaan tetapi akibatnya rakyat telah dikhianati dan membingungkan pelajar-pelajar sekolah terutama masyarakat Melayu di kawasan luar bandar."

Aduhai Pak Samad, kenapalah Pak Samad masih belum faham jugak... Nak mansuhkan PPSMI bukan semudah yang disangka. Kena melalui peringkat-peringkat agar pelajar tidak mengalami kejutan. Malah memudahkan silibus baru pengajaran dalam Bahasa Melayu nanti dikeluarkan dengan banyak.
Tapi Pak Samad seolah-olah tidak kisah berkerjasama dengan pihak yang jelas menghina Islam.

Bagi Pak Samad, tak kisah jika mereka nak hina Islam. Asalkan tak hina Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan Pak Samad. Bahasa Melayu takkan pupus sampai bila-bila. Itulah bahasa seharian kami berbicara bersama teman-teman, ibu-bapa dan masyarakat.

Thursday, August 20, 2009

TERKEDU KHALID...SULTAN S'GOR TOLAK GUNA ZAKAT

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri itu.

"Beta sekali-kali tidak berkenan wang zakat ini diambil, dipinjam atau disalurkan untuk perkara-perkara lain," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor semalam.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya wang Baitulmal yang diperoleh daripada sumbangan zakat digunakan bagi tujuan pembangunan negeri.

"Beta tidak berkenan mereka yang luar dari pentadbiran Lembaga Zakat Selangor ini campur tangan dalam pengurusan zakat negeri ini," titah baginda, lapor Bernama.

Baginda juga mahu supaya dijelaskan kepada rakyat mengenai perbelanjanan kutipan zakat pada setiap tahun.

"Pengurusan zakat hendaklah dilakukan dengan betul dan janganlah adanya berlaku penyelewengan dalam pengurusan, kutipan dan pembahagiannya. Mereka yang melakukan penyelewengan maka akan menerima pembalasan dari Allah Subhanahu Wata'ala," titah Baginda.

Sultan Selangor juga menjelaskan bahawa baginda sangat-sangat mengambil berat dan mengikuti akan pengurusan zakat di negeri itu.

Baginda bertitah bahawa mereka yang terlibat dalam pengurusan zakat di negeri itu telah diberi penuh kepercayaan dan segala kutipan yang telah dibuat hendaklah diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor sepenuhnya untuk diuruskan dengan sempurna.

Konvensyen sehari itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Wednesday, August 19, 2009

DAP BERKUASA SEPENUHNYA DI SELANGOR?

Melihat kepada tajuknya, kita tentu seakan percaya bahawa DAP berkuasa sepenuhnya di Selangor.

Namun, tajuk sahaja menarik namun isinya mempertahankan DAP habis-habisan dan Ahli Parlimen Shah Alam bukan sekadar itu tetapi menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional dalam semua perkara.

Tak percaya? Baca sendiri.

Oleh Khalid Samad ( Ahli Parlimen Shah Alam)

Apabila berlakunya peristiwa berhubung pengawalan penjualan arak di Selangor, yang bermula di Shah Alam, tiba-tiba Umno/BN cuba menonjolkan diri mereka sebagai juara Islam! Pelik bin Ajaib, bukankah mereka yang memerintah selama 52 tahun sebelum naiknya PR? Mungkin mereka terlupa. Melayu Umno sememangnya mudah lupa.

Semasa BN memerintah, penduduk Seksyen 8 Shah Alam sudah pun meminta supaya kedai 7-Eleven di tempat mereka tidak menjual minuman keras. Jawapan Umno ialah menguncikan Surau Seksyen 8 kerana penduduk Seksyen 8 dianggap ‘melampau’.

Walaupun hubungan kedua peristiwa ini tidaklah begitu ‘direct’, tetapi lebih kurang begitulah ceritanya. Kisah ini pun mungkin mereka lupa kerana Melayu Umno mudah lupa.

Sekarang Umno Umno yang sama ini ingin mengherdik DAP dan memomokkan rakyat dengan ‘ancaman’ kekuasaan DAP. Ada yang sampai berkata, “tunggulah apabila DAP berkuasa sepenuhnya, mereka akan tunjuk belang mereka dan menindas ummat Islam!”

Hmmm, setahu saya, Umno/BN yang menindas ummat Islam selama ini. Melalui ISAnya.

Melalui pemecatan Mufti dan Pegawai Masjid yang tidak akur kepada kehendaknya. Melalui penarikan balik bantuan per kapita kepada sekolah agama rakyat dan sebagainya. Mungkin ini pun mereka lupa juga.

Umno ingin memomokkan DAP di kalangan orang Melayu, sepertimana memomokkan PAS di kalangan masyarakat Cina dan India.

Namun sebenarnya, tidak mungkin DAP berkuasa ‘sepenuhnya’ di Selangor. Walaupun boleh dipertikaikan kenyataan Umno/BN ini, tetapi cuba kita andaikan sahaja, untuk memuaskan hati mereka. Hakikatnya jika diteliti, DAP tidak mungkin berkuasa ‘sepenuhnya’ di Selangor kerana bagaimana mungkin mereka berkuasa ‘sepenuhnya’ sekiranya mereka hanya bertanding 16 dari 56 kerusi sahaja?

Inilah akibat mengajar Metamatik dalam bahasa Inggeris. Orang Umno sudah tidak pandai mengira! Kalau ingin berkuasa ‘sepenuhnya’, maka sepatutnya DAP bertanding untuk mendapatkan majoriti 2/3 yang bersamaan dengan 38 kerusi. Barulah mampu berkuasa ‘sepenuhnya’.

Kalau ingin berkuasa dengan majoriti mudah sekalipun, DAP akan memerlukan 29 kerusi. Adakah mungkin memenangi 29 kerusi sekiranya hanya bertanding 16? Atau apakah mungkin orang Umno anggap kerusi DUN ini boleh beranak-pinak?

Itulah sebabnya kita perlukan ‘Pakatan’. Bukan PAS sahaja, Umno pun perlukan pakatan dengan MCA dan MIC serta Gerakan. Namun sekarang ini MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi mampu mendapat sokongan bukan Melayu. Oleh itu Umno membawa mesej Melayu ekstrim kerana mereka menyedari bukan Melayu tidak akan lagi mengundi mereka, walau sekerap manapun Najib berulang ke Batu Caves.

Kasihan melihat gelagat Umno. Ini tak kena, itu tak kena. Akhirnya, seperti biasa kembali menipu dan memomokkan rakyat dengan ketakutan terhadap DAP dan PAS. Inilah akibatnya apabila sudah kehabisan modal.