Showing posts with label zakat. Show all posts
Showing posts with label zakat. Show all posts

Wednesday, May 10, 2017

Beri Projek Harap Balasan - 4 Pegawai Zakat Kena Tahan

 

Seorang pegawai kanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan tiga lagi pegawai badan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes penyelewengan wang zakat negeri itu.
   
Turut ditahan tujuh kontraktor berusia antara  41 dan 52 tahun yang dipercayai sering menerima projek atau tender daripada pegawai-pegawai ZPP yang ditahan itu.

Pegawai kanan berusia 50 tahun dan tiga pegawai ZPP masing-masing berusia 35, 39 dan 40 tahun serta tujuh kontraktor itu dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town pada pukul 3 petang semalam untuk perintah tahanan reman. 

Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini yang dikemukakan SPRM.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban pada sidang akhbar di pejabatnya di sini berkata pegawai kanan ZPP itu ditahan di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada pukul 10.40 pagi semalam.

“Lelaki itu  dipercayai menerima barang-barang berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa pemilik syarikat kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan masyarakat ZPP.

“Suspek yang memegang jawatan itu sejak 1995 dipercayai turut memberi bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP),” katanya.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan (b)  serta seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20  tahun dan denda lima kali nilai suapan.

Beliau berkata SPRM mula menjejaki kegiatan yang dilakukan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hasil maklumat dan aduan orang awam. 

Thursday, August 20, 2009

TERKEDU KHALID...SULTAN S'GOR TOLAK GUNA ZAKAT

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri itu.

"Beta sekali-kali tidak berkenan wang zakat ini diambil, dipinjam atau disalurkan untuk perkara-perkara lain," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor semalam.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya wang Baitulmal yang diperoleh daripada sumbangan zakat digunakan bagi tujuan pembangunan negeri.

"Beta tidak berkenan mereka yang luar dari pentadbiran Lembaga Zakat Selangor ini campur tangan dalam pengurusan zakat negeri ini," titah baginda, lapor Bernama.

Baginda juga mahu supaya dijelaskan kepada rakyat mengenai perbelanjanan kutipan zakat pada setiap tahun.

"Pengurusan zakat hendaklah dilakukan dengan betul dan janganlah adanya berlaku penyelewengan dalam pengurusan, kutipan dan pembahagiannya. Mereka yang melakukan penyelewengan maka akan menerima pembalasan dari Allah Subhanahu Wata'ala," titah Baginda.

Sultan Selangor juga menjelaskan bahawa baginda sangat-sangat mengambil berat dan mengikuti akan pengurusan zakat di negeri itu.

Baginda bertitah bahawa mereka yang terlibat dalam pengurusan zakat di negeri itu telah diberi penuh kepercayaan dan segala kutipan yang telah dibuat hendaklah diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor sepenuhnya untuk diuruskan dengan sempurna.

Konvensyen sehari itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.