Thursday, August 20, 2009

TERKEDU KHALID...SULTAN S'GOR TOLAK GUNA ZAKAT

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri itu.

"Beta sekali-kali tidak berkenan wang zakat ini diambil, dipinjam atau disalurkan untuk perkara-perkara lain," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor semalam.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya wang Baitulmal yang diperoleh daripada sumbangan zakat digunakan bagi tujuan pembangunan negeri.

"Beta tidak berkenan mereka yang luar dari pentadbiran Lembaga Zakat Selangor ini campur tangan dalam pengurusan zakat negeri ini," titah baginda, lapor Bernama.

Baginda juga mahu supaya dijelaskan kepada rakyat mengenai perbelanjanan kutipan zakat pada setiap tahun.

"Pengurusan zakat hendaklah dilakukan dengan betul dan janganlah adanya berlaku penyelewengan dalam pengurusan, kutipan dan pembahagiannya. Mereka yang melakukan penyelewengan maka akan menerima pembalasan dari Allah Subhanahu Wata'ala," titah Baginda.

Sultan Selangor juga menjelaskan bahawa baginda sangat-sangat mengambil berat dan mengikuti akan pengurusan zakat di negeri itu.

Baginda bertitah bahawa mereka yang terlibat dalam pengurusan zakat di negeri itu telah diberi penuh kepercayaan dan segala kutipan yang telah dibuat hendaklah diserahkan kepada Lembaga Zakat Selangor sepenuhnya untuk diuruskan dengan sempurna.

Konvensyen sehari itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

No comments: