Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Wednesday, May 10, 2017

Beri Projek Harap Balasan - 4 Pegawai Zakat Kena Tahan

 

Seorang pegawai kanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan tiga lagi pegawai badan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes penyelewengan wang zakat negeri itu.
   
Turut ditahan tujuh kontraktor berusia antara  41 dan 52 tahun yang dipercayai sering menerima projek atau tender daripada pegawai-pegawai ZPP yang ditahan itu.

Pegawai kanan berusia 50 tahun dan tiga pegawai ZPP masing-masing berusia 35, 39 dan 40 tahun serta tujuh kontraktor itu dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town pada pukul 3 petang semalam untuk perintah tahanan reman. 

Majistret Mohamed Amin Shahul Hamid membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini yang dikemukakan SPRM.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Aban pada sidang akhbar di pejabatnya di sini berkata pegawai kanan ZPP itu ditahan di pejabatnya di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada pukul 10.40 pagi semalam.

“Lelaki itu  dipercayai menerima barang-barang berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa pemilik syarikat kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan masyarakat ZPP.

“Suspek yang memegang jawatan itu sejak 1995 dipercayai turut memberi bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP),” katanya.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan (b)  serta seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20  tahun dan denda lima kali nilai suapan.

Beliau berkata SPRM mula menjejaki kegiatan yang dilakukan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hasil maklumat dan aduan orang awam. 

Sunday, May 22, 2016

Laporan PAC Negeri Pulau Pinang Dicadang Dijadikan Dokumen Tatapan Umum


Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Pulau Pinang dijadikan sebagai dokumen bagi tatapan umum.

Dalam kenyataan semalamm  beliau berkata ini susulan perbincangan hangat pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang minggu lalu telah mendedahkan bahawa laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri itu telah dua kali ditangguhkan.

"Ini membuktikan bahawa jawapan yang benar masih tidak lengkap," katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai jemputan kerajaan DAP Pulau Pinang bagi beliau melihat sendiri dokumen projek tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu pada 12 Mei lalu.

Abdul Rahman yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun menolak jemputan tersebut kerana baginya dalam keadaan ini ia tidak memberi banyak kelebihan.

"Sedikit sahaja matlamat akan tercapai apabila kertas ini ditunjukkan kepada saya sahaja, katanya. Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang sepatutnya menawarkan tawaran yang sama kepada yang lain terutamanya mereka yang berada di Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata antara pihak tersebut adalah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) serta pertubuhan bukan kerajaan yang bertapak di Pulau Pinang iaitu Penang Citizen Awareness Chant Group dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

"Sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang dan lima ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga telah menimbulkan persoalan mengenai projek terowong ini.

"Setakat ini, tiada seorang pun daripada mereka telah menerima jawapan yang memuaskan," kata Abdul Rahman.

Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Daripada LawiAyam

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.

Friday, November 20, 2015

Salleh Man Kini Duduk Dalam Dua Alam, Enggan Tinggalkan Kerajaan DAP


Wakil rakyat tunggal PAS dalam dewan perundangan Pulau Pinang menegaskan beliau masih sebahagian pentadbiran negeri walaupun setiausaha agung parti itu mengisytiharkan ia kini di pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir DatukMohd Salleh Man berkata, beliau baru sahaja membaca berita mengenai kenyataan setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan apabila pemberita menyerbu beliau di DUN Pulau Pinang bertanyakan hal itu.

Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, DAP memenangi 19 kerusi DUN, PKR (10 kerusi) dan PAS (satu) untuk menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, Takiyuddin hanya mengumumkan parti itu kini pembangkang di Pulau Pinang tetapi tidak berkata apa-apa tentang wakil rakyatnya.

 "Beliau tidak kata wakil rakyat pun sama. Beliau hanya menyebut parti. Ia tak sama," kata Salleh.

Ditekan pemberita untuk mendapatkan menjelaskan, beliau berkata, "Bagaimana pula dengan keadaan di Selangor?"

PAS tetap sebahagian daripada pentadbiran Selangor, bersama PKR dan DAP, walaupun dengan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP terdahulu tahun ini.

Tiada seorang pun daripada exco negeri PAS di Selangor meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, tidak seperti Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mengumumkan ia sebuah kerajaan Pakatan Harapan.

Takiyuddin hari ini berkata, PAS kini sebuah parti pembangkang di Pulau Pinang selepas kira-kira 300 ahlinya yang memegang pelbagai jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri itu dipecat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kerajaan negeri menghantar surat penamatan kepada mereka kerana pentadbiran memerlukan orang yang boleh bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri serta dasar-dasarnya.

Salleh menegaskan beliau masih anggota kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, satu kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri selepas Salleh mengesahkan sokongannya kepada pentadbiran DAP.

Mohd Salleh  turut  berkata kedudukannya sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang perlu ditentukan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

Mohd Salleh yang juga ADUN kawasan Permatang Pasir berkata kemenangan beliau pada pilihan raya umum lepas adalah atas sokongan kerajaan Pakatan Rakyat yang kini kerajaan Pakatan Harapan.


"Atas mana-mana nama kerajaan itu bukan masalah bagi saya, tapi saya sokong kerajaan negeri kerana dulu kemenangan saya atas tiket semangat Pakatan Rakyat," katanya.


Takiyuddin membuat kenyataan itu pada sidang akhbar di Parlimen hari ini berikutan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menamatkan perkhidmatan 300 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas.



Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah berkata PAS negeri menerima keputusan PAS pusat bahawa parti itu kini pembangkang di negeri ini.

"Kami bersetuju dan terima apa saja keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat.Seperti mana kita ketahui PAS memang tidak bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lagi," katanya.


Terdahulu dalam kenyataan akhbarnya Mohd Yusni berkata kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang berbohong berhubung isu pemecatan 300 anggota JKKK daripada kalangan anggota PAS di negeri ini kerana ramai daripada mereka yang tidak menerima surat pemecatan daripada kerajaan negeri. 


"Jika tidak diserahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong bahawa semua 300 JKKK itu telah dipecat? Malah pihak kerajaan negeri seakan 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS," katanya.


Mohd Yusni turut mempersoalkan mengapa hanya 300 JKKK dimaklumkan sebagai dipecat sedangkan mengikut rekod sebenar menunjukkan 1,083 anggota PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK.


Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung pemecatan 300 JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin Parti Amanah Negara tidak relevan lagi kepada Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang.


Semalam Mohd Rashid dilapor berkata anggota JKKK PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas telah dipecat dan bukannya meletak jawatan seperti yang diumumkan PAS kawasan tersebut.


PAS Kepala Batas sebaliknya pada Selasa lepas mengumumkan menarik diri daripada memegang jawatan dalam JKKK bagi kawasan itu.


Sementara itu Mohd Rashid pada sidang akhbar di bangunan DUN hari ini berkata pihaknya menggesa PAS negeri berhenti daripada mempolitikkan isu berkenaan.


"PAS negeri harus sedar bahawa mereka bukan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan, sekali gus tidak layak menjawat apa-apa jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya.


Mohd Rashid turut menyatakan kerajaan negeri menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada anggota PAS yang dikenal pasti tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan sebaliknya bukan memecat mereka seperti yang dilapor akhbar semalam.


Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman ketika dihubungi berkata tindakan PAS pusat untuk mengisytiharkan PAS sebagai pembangkang adalah lanjutan daripada krisis parti itu dengan DAP.


Beliau berkata sekiranya pergaduhan itu tidak berlaku, PAS tidak akan berbuat demikian dan Pakatan akan lebih kukuh berbanding sekarang.


"Saya berasa tindakan PAS pusat itu tidak memberi sebarang kesan negatif kepada PKR dan Pakatan secara keseluruhan kerana ini hanya melibatkan seorang ADUN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata Mohd Salleh tidak perlu meletak jawatan untuk menyertai pembangkang kerana PAS tidak lagi dalam Pakatan Harapan.


"Salleh Man bagaikan duduk dalam dua alam di laut dan di darat kerana parti beliau tidak duduk dalam Pakatan Harapan tetapi dia pegang jawatan yang memerlukan dia laksanakan dasar Pakatan," katanya.

Monday, May 28, 2012

BN Lawan ‘Polisi Dengan Polisi’ Dengan Pakatan


Pengerusi baru Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow telah meletakkan fokus untuk menawan negeri tersebut dalam pilihan raya akan datang daripada Pakatan Rakyat (PR) menggunakan kaedah "polisi menentang polisi" berbanding mencari kekurangan perikatan pembangkang tersebut.

Pemimpin Gerakan itu telah merencana rancangan pembangunan komprehensif alternatif yang menjanjikan kepesatan pembangunan ekonomi dan membantu meningkatkan status sosio ekonomi rakyatnya, termasuk merapatkan jurang antara kawasan pulau dan tanah besar.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insider sewaktu temu ramah khas baru-baru ini untuk menggunakan keupayaan BN berbanding mencari kelemahan PR kerana pada masa ini, kaedah itu tidak lagi digunakan kerajaan, lebih-lebih lagi DAP Pulau Pinang.

Teng mengakui kerajaan DAP di bawah Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, berjaya menguruskan negeri itu dengan baik sejak 2008 dan sebarang cubaan BN untuk menafikan perkara itu oleh BN akan memakan diri sendiri.

"Mereka berjaya mentadbir dan menguruskan Pulau Pinang dengan baik dan memberikan gambaran positif oleh rakyat.

Mereka berjaya mengurus ekonomi, kumpulan berpendapatan rendah - gambaran yang ditanamkan di minda rakyat," kata Teng dengan berhati-hati.

Namun Setiausaha Agung Gerakan itu dengan segera menambah "Rome tidak dibina dalam tempoh semalaman", menjelaskan segala kejayaan PR adalah atas hasil usaha BN selama 40 tahun bertapak di negeri tersebut.

Mengambil kira pepatah yang mengatakan politik adalah permainan persepsi, Teng menegaskan pengundi sekarang melihat apa yang BN boleh tawarkan kepada mereka berbanding PR.

"Rakyat mulai melihat kami, bagaimana kami akan memerintah dengan lebih baik dari kerajaan PR, apa yang boleh kami tawarkan kepada mereka," katanya.

Ini jelasnya, adalah petanda positif kerana ia merupakan perubahan yang amat besar sejak 2008 apabila pengundi mula "menutup pintu hati mereka untuk BN."

Salah satu kunci utama adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebahagian pengundi mungkin pro PR di Pulau Pinang, katanya, menyukarkan untuk mereka menerima perubahan yang dilaksanakan Najib sejak 2009, terutamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Najib, jelas Teng, telah membawa perubahan besar terhadap BN yang mana, pengundi sebelum ini anti BN.

"Melihat kepada transformasi Najib, ia menunjukkan perdana menteri ikhlas untuk membantu setiap lapisan masyarakat. Rakyat sedar beliau berusaha yang terbaik untuk memajukan ekonomi negara," katanya.

"Jadi ini adalah caranya kami akan berperang - ia adalah berkenaan apa yang akan kami (BN) tawarkan, berbanding menghina PR. Kami akan lawan polisi dengan polisi, idea dengan idea. Jika kami menggunakan pendekatan sedemikian, ia tidak akan berlarutan."

Teng menjelaskan Pulau Pinang perlu beralih daripada fokus kepada bidang perusahaan, yang mana jelasnya sudah berada di kemuncaknya.

Sektor berkenaan jelasnya telah membantu membina asas yang kukuh bagi ekonomi negeri tersebut, keseluruhannya pada 1960an dan 1970an, negeri itu kini kekurangan kawasan dan tenaga kerja untuk industri menggunakan tenaga buruh ini.

"Apa yang kami ada adalah untuk merubah Pulau Pinang kepada syurga pelancongan antarabangsa; kami mahu menjadikan Pulau Pinang Daerah Kewangan Antarabangsa; kami ingin membina Taman Inovasi Dynamo; meningkatkan pembangunan perikanan pesisir pantai; dan juga menjadikan Pulau Pinang sebagai hub akuakultur," katanya.

Teng turut mengulangi pendiriannya menjadi Pulau Pinang zon pelabuhan bebas jika BN berkuasa, dan berkata ia adalah rancangan komprehensif untuk pembangunan infrastruktur yang terancang, pembangunan perhubungan perniagaan dan keperluan industri lain untuk menyokong status tersebut.

Beliau turut akan menyemak semula sistem pengangkutan dan menggunakan polisi untuk rumah mampu milik bagi penduduk Pulau Pinang dan mengambil kira faktor kenaikan kos dan harga barang di negeri tersebut.

"Sejak dulu lagi di bawah BN, apabila membina perumahan RM25,000 kos rendah menjadi isu kerana pemaju enggan membinanya, kami bercadang pada harga RM42,000 bagi polisi kos rendah dan sederhana.

"Sekarang harga melonjak kepada RM72,000 ... tapi ini tidak membantu menyelesaikan kos harga rumah. Jadi ia kembali kepada perancangan dan isu tanah - bagaimana kami akan mengubah premium tanah, kami memerlukan mekanisme efektif untuk memberikan subsidi terhadap rumah kos rendah bagi kehendak sosial ... dan bagaimana menjadikan ia mampu milik," katanya.

Teng menjelaskan kerajaan cuba untuk tidak meneruskan penggantungan terhadap membersihkan lebih kawasan dan membuka kawasan baru sebaliknya mengutamakan terhadap "pembangunan semula", kawasan skim perumahan kerajaan.

"Tambahan pula, kami memerlukan kunci aktivit utama kepada tanah besar dan menjadikan pulau satu kawasan yang sesuai untuk didiami dan juga pelancongan," katanya menjelaskan jurang yang luas antara tanah besar dan pulau.

Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang; DAP, PAS, PKR sewaktu PRU 12 pada 2008 apabila Gerakan yang memerintah hampir 40 tahun sejak 1969, ditewaskan tanpa memenangi walau satu kerusi. Rakan BN yang lain Umno bagaimanapun menyelamatkan 11 daripada 15 kerusi.

Yang lain, dimenangi DAP (19), PKR (9) dan PAS (1). Walaupun Umno berjaya menawan hati pengundi Melayu, Gerakan dan MCA perlu lebih berusaha gigih untuk menarik undi daripada masyarakat Cina.

Dengan 40 kerusi, 22 daripadanya dikuasai pengundi majoriti Cina.

Dalam pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding di 15 kerusi, Gerakan, 13, MCA, 10 dan MIC, dua.

Monday, April 23, 2012

Kemelut Pelantikan YDP MAINPP Bukti Pakatan Pembangkang Tak Bersefahaman - Najib

Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bersalaman dengan anggota BN pada majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Umum Peringkat Daerah Mengundi Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, sempena lawatan sehari Perdana Menteri di Pulau Pinang, semalam.

Kemelut pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membuktikan tiadanya persefahaman antara parti-parti dalam pakatan pembangkang yang menjadi kerajaan di negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pertikaian pelantikan itu menimbulkan banyak persoalan kepada pengundi mengenai bagaimana pakatan pembangkang mentadbir Pulau Pinang.

 "Ini (isu pelantikan) saya percaya akan menimbulkan banyak persoalan di kalangan para pengundi kita tentang perjalanan kerajaan negeri dan masa depan kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Najib bercakap kepada pemberita selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India dan Cina anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown semalam.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah berjanji akan memberikan jawatan tersebut kepada Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man jika beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dua tahun lepas.

Namun selepas kemenangan Salleh, kerajaan negeri Pulau Pinang melantik Abdul Malik Abul Kassim, anggota exco negeri, sebagai Yang Dipertua MAINPP dan Salleh sebagai timbalannya.

Atas desakan pelbagai pihak termasuk PAS, kerajaan negeri pimpinan DAP itu kemudian mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan lepas untuk memohon perkenan pelantikan Salleh sebagai Yang Dipertua MAINPP.

Saturday, August 20, 2011

Pulau Pinang Maju - Pakatan Tidak Adil Ambil Kredit

Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menegaskan kejayaan ekonomi Pulau Pinang sekarang seharusnya dikaitkan dengan pentadbirannya sehingga Mac 2008 sambil mendakwa Ketua Menteri Pakatan Rakyat Lim Guan Eng secara tidak adil menerima kredit yang seharusnya disalurkan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga Mac 2008 itu membidas, “asas kukuh” pelbagai projek pembangunan yang disusun oleh pentadbirannya diserahkan kepada Lim, yang kemudiannya menggunakan media untuk mendakwa kejayaan adalah kerana kebolehan beliau.

“Untuk berlaku adil, kita kena atribut kerja keras oleh banyak pihak dan dipandu oleh kerajaan negeri BN di bawah kepimpinan saya ketika itu.

“Kerja keras yang kami lakukan selama 12 tahun, ketika Lim Guan Eng mengambil alih pembangunan, projek-projek itu sudah pun berada di tahap maju,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kami menjalankan kerja-kerja keras. Saya boleh kata, kesemuanya. Tetapi, apa sahaja yang baik bagi Pulau Pinang, kita gembira dengan perkembangan itu.

“Tetapi beliau mahu mengambil kredit berkaitan (perkara) itu, ia adalah tidak adil,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Menurut perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida), Pulau Pinang berada di kedudukan teratas dari segi kemasukan pelaburan dalam projek-projek pengeluaran, menarik RM12.24 bilion, lima kali ganda berbanding RM2.17 bilion pada 2009.

Perangkaan Mida juga menunjukkan Pulau Pinang berada di kedudukan kedua selepas Selangor sehingga Mei 2011, menerima RM4.49 bilion dalam bentuk projek pengeluaran yang diluluskan, selepas Selangor yang memperoleh RM4.47 bilion.

Koh yang juga Presiden Gerakan berkata, perbandingan yang dibuat antara pentadbiran Lim dan beliau adalah tidak adil kerana pelaburan dan pembangunan tidak berlaku dalam semalaman dan ia merupakan kesan “akumulatif.”

“Satu contoh perdana ialah Pulau Pinang disenaraikan sebagai kawasan Warisan Dunia ... pentadbirannya saya cuba sejak 1996.
“Kami berharap untuk mendapatkan penyenaraian pada 2006 atau 2007 (tetapi) ia sangat mencabar disebabkan permohonan penyenaraian bersama dengan Melaka. Penyenaraian Unesco diluluskan pada Julai 2008, hanya empat bulan selepas Lim Guan Eng mengambil alih,” kata Koh.

Perkara yang sama, kata Koh, terpakai dalam soal berkaitan dengan pelaburan kerana ia akan mengambil masa untuk memutuskan sama ada mahu melabur di Pulau Pinang ataupun sebaliknya dan tertakluk kepada perundingan dengan Mida.

“Sehingga kini beberapa pelaburan yang diluluskan oleh Mida atau diumumkan oleh pelabur adalah kerja yang dilakukan oleh kami selama lima tahun.

“Malah, kebanyakan pelaburan semula telah dipromosikan ketika era (Tun Lim) Chong Eu, khususnya ketika 18 tahun saya menjadi Ketua Menteri,” kata Koh lagi.
Koh juga berkata, pengumuman Lim mengenai simpanan negeri mencecah RM1 bilion tahun bukan sesuatu yang hebat.

Sebaliknya kata Koh, Lim telah gagal untuk memaklumkan bahawa ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, simpanan negeri itu sudah pun mencapai RM850 juta.

Dakwa Koh, pengumuman Lim itu seolah-olah menunjukkan bahawa BN meninggalkan negeri itu dengan sifar simpanan dan ia satu andaian yang mengelirukan orang ramai.

Sejak beberapa hari lalu Koh berhadapan dengan tekanan agar melepaskan jawatan presiden Gerakan jika BN mahu merampas balik Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Beliau dilihat sebagai pemimpin yang tidak boleh membuat keputusan tegas dan simbol kepimpinan BN yang telah ditolak oleh pengundi pada Mac 2008.

Saturday, September 11, 2010

‘HANTU LAPAR’ vs SOLAT TARAWIKH

Artis serta lagu yang didendangkan berhampiran masjid yang begitu kuat sehingga menganggu umat Islam beribadah gi Gerogetown.

Sebelum ini tidak kedengaran kejadian aneh seperti ini di Pulau Pinang.

Sejak beratus-ratus tahun, masyarakat Islam dan bukan Islam, khususnya kaum Cina dapat bertoleransi dengan baik.

Namun sejak kerajaan pakatan pembangkang memerintah, ‘Hantu Lapar’ yang dulunya dapat hidup tenang kini menunjukkan ‘taringnya’, malah menggugat dan meracau sehingga mengganggu jemaah yang bersembahyang di dua masjid lama di Pulau Mutiara itu.

Pada ketika kerajaan Pulau Pinang diperintah oleh Barisan Nasional diketuai oleh Gerakan, ‘Hantu Lapar’ ini mungkin wujud tetapi tidak seganas akhir-akhir ini.

‘Hantu Lapar’ itu sekarang ini naik tocang hinggakan masjid pun tidak dihiraukannya.

Pesta Hantu Lapar yang diluluskan kerajaan DAP Pulau Pinang ini bukan sahaja tidak hormat tetapi semakin galak untuk mengganggu aktiviti ibadah orang Islam di pulau itu.

Jemaah Masjid Kapitan Keling dan Masjid Acheh di George Town hampir sepanjang bulan Ramadan lalu tidak tenang dan dua masjid berkenaan sering diganggu oleh ‘Hantu Lapar’ yang bertuankan kerajaan pakatan Pulau Pinang.

Bantahan oleh jawatankuasa dua masjid di Georgetown

Kita tidak faham, apakah yang dilakukan oleh anggota Exco Melayu dan Islam, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam masalah gangguan ‘Hantu Lapar’ ini.

Kenapa mereka berdiam diri? Takut kepada Lim Guan Eng atau sudah terlalu kenyang?

Laporan Malaysiakini semalam menyebut, Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling dan Masjid Acheh di Georgetown Pulau Pinang merayu bantuan Yang di-Pertuan Agong supaya mengarahkan pihak berkuasa yang terbabit segera menghentikan 'pencabulan' sambutan Pesta Hantu Lapar yang menganggu penduduk setempat.

Menurut jurucakap jawatankuasa itu, Mohideen Abdul Kader (gambar kiri) satu memorandum akan dihantar kepada baginda bagi mencari penyelesaian sebelum perkara itu menimbulkan masalah lain yang lebih besar.

Menurut Mohideen lagi, bunyi muzik yang kuat itu menganggu umat Islam yang menunaikan solat di masjid berkenaan.

"Persembahan itu tidak mempunyai signifikan budaya ataupun keagamaan tetapi hanya meniru budaya pop Barat,” katanya pada sidang akhbar yang juga dihadiri oleh 30 anggota qariah masjid.

Sejak sebulan lalu, terdapat persembahan di mana gadis muda yang berpakaian menjolokkan mata menyanyikan lagu pop Cina, Inggeris, Melayu dan juga Hindi dengan iringan muzik yang medesingkan telinga.

Menurut Mohideen, agak malang aktiviti seumpama itu dibenarkan ketika Ramadan di mana umat Islam cuba menumpukan perhatian dalam menunaikan ibadat mereka.

Tuesday, March 9, 2010

ORANG MELAYU PULAU PINANG SEMAKIN TERPINGGIR

Oleh Kamal Ahmad (Berita Harian)

MELAYU tidak mampu lagi tinggal di Pulau Pinang berikutan kenaikan harga rumah dan percukaian hartanah. Di mana mereka tinggal sekarang? Kebanyakan dalam rumah kecil dan sesak seperti Tanjung Tokong dan Rifle Range.

Mereka turut menghuni rumah pangsa satu bilik, di atas tanah wakaf, tanah terbiar, ‘tanah tumpang’ atau tanah Tol kerajaan. Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian.

Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

“Orang Melayu yang tinggal di kawasan miskin dan sesak dalam bandar ini akan melahirkan fenomena dinamakan kemiskinan bandar yang kesannya antara lain gejala sosial. Mereka juga berada pada kedudukan paling bawah dalam rantaian nilai.

“Kalau kerajaan negeri menyedari masalah Melayu terpinggir di Pulau Pinang maka perlu dan tiba masanya untuk mereka duduk bersama mencari satu pelan tindakan baru untuk menyelesaikan keadaan sekarang ini. Kita lihat tidak ada (tindakan kerajaan),” kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM), Rizal Faris Mohideen Kadir.

Beliau berkata, pelan tindakan baru untuk Pulau Pinang bukan semata-mata bagi kepentingan Melayu malah mencakupi soal isu pelancongan, mengekalkan status Tapak Warisan Dunia dan soal pembangunan.

“Bila permasalahan Melayu seperti isu meroboh gerai, merampas barang perniagaan dan tindakan menyaman tidak selesai, ini seolah-olah organisasi Melayu tidur dan tak buat kerja pada hal kami menjuarai isu ini sejak hari pertama lagi.

“Akhirnya, kami bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pulau Pinang termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpakat serta nekad bahawa sudah cukup kita berunding, beri teguran dan nasihat. Kini tiba masanya orang Melayu menunjukkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

“Berapa lama kita nak duduk dan lihat. Takkan sehingga lenyap orang Melayu (di Pulau Pinang), baru kita nak ambil tindakan,” katanya merujuk kepada tindakan orang Melayu mengadakan perhimpunan di Bangunan Komtar, baru-baru ini.

Rizal turut mendakwa Lim Guan Eng melakukan penghantaran delegasi termasuk perdagangan ke Singapura bagi memperhebatkan perhubungan Pulau Pinang dengan republik itu.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata kerajaan negeri juga difahamkan hendak menggubal undang-undang baru berhubung notis meroboh gerai haram tidak lagi memerlukan tempoh 30 hingga 50 hari tetapi dilakukan dalam masa 24 jam tanpa perlu sebarang notis.

“Juga difahamkan, kerajaan negeri hendak ‘menghalalkan’ peniaga Batu Feringgi yang merangkumi 99 peratus Cina. Kenapa ada sikap sebegini?” katanya.

“Saya nampak matlamat kerajaan negeri mudah saja. Melayu (di Pulau Pinang) hendak dijadikan seperti di Singapura. Lee Kuan Yew dan Lim Guan Eng umpama mentor dan protege. Kehadiran Kuan Yew dulu memang inilah matlamatnya untuk ajar Guan Eng bagaimana untuk sisihkan Melayu Pulau Pinang dan seolah-olah kami hidup bergantung kepada dia.

“Kita bukan bermusuh dengan penduduk Cina dan India yang ada tetapi masalahnya ialah Guan Eng. Itu adalah fokus masalah kita,” kata anak jati Kampung Melayu Tanjung Tokong itu.

Beliau mengimbas kembali janji pemimpin parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu, bahawa perkampungan Melayu di Tanjung Tokong akan dijadikan tanah warisan.

Tetapi selepas mengambil alih kerajaan negeri, mereka mendakwa tiada kuasa dan kawasan itu adalah tanah Kerajaan Persekutuan.

“Bagi saya, ini satu pembohongan dan penipuan yang sejelas-jelasnya kepada orang Melayu di Tanjung Tokong yang memberi kepercayaan kepada mereka, kononnya mengundi mereka adalah demi mempertahankan tanah berkenaan. Hari ini, orang Melayu di Tanjung Tokong masih lagi berhempas pulas dan berjuang untuk mempertahankan tanah itu,” katanya.

Perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk itu adalah tanah Tol yang sudah dibatalkan hak milik oleh kerajaan negeri. Dengan mencadangkan statusnya ditukar kepada kampung warisan maka kampung itu akan dikekalkan.

“Kalau berani, kami cabar kerajaan negeri untuk datang dan robohkan perkampungan kita. Lihatlah apa tindakan kita. Jadi kami kini umpama tinggal di perkampungan setinggan sebab tidak tahu tanah itu hak milik siapa. Dia nak halau kami bila-bila masa saja boleh,” katanya.

Beliau difahamkan kawasan itu hendak dimajukan dengan pangsapuri mewah yang mencecah RM1 juta seunit dan penduduknya yang 100 peratus Melayu akan dipindahkan ke lokasi lain.
“Bagaimana orang Melayu di kampung itu yang kerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan nak beli rumah itu? Semua ini bertujuan menghalau orang Melayu dari pulau ini dan pulau ini hanya boleh diduduki orang yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Sebaliknya, kerajaan negeri menjemput penduduk Singapura dan Hong Kong datang mendiami Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

Jais turut mendedahkan dasar komuniti perniagaan dan sektor swasta Cina di negeri itu yang mewajibkan syarat menguasai bahasa Mandarin untuk calon yang mahu mencari pekerjaan.

“Perkara itu adalah mustahil bagi orang Melayu. Ini benda yang tak masuk akal dan kita sedar bahawa inilah agenda dia sebenarnya dan ke mana arah dia nak bawa Pulau Pinang ini memang cukup jelas bagi kita,” katanya.

Sunday, December 6, 2009

PULAU PINANG DALAM BAHAYA , IA AKAN TERLEPAS MACAM SINGAPURA

Para pemimpin utama negara ini terutama yang terdiri dari bangsa Melayu hendaklah menumpukan perhatian serta merta kepada negeri kita Pulau Pinang ,salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu asalnya dan kini dalam Persekutuan Malaysia.
Mari kita segera melupakan kegilaan para pemimpin DAP, Keadilan dan PAS, kerana mereka kini sedang membuat lakonan untuk menarik perhatian Kerajaan Barisan Nasional terutamanya para pemimpin UMNO untuk mengaburi mata semua orang ; sedangkan pada masa yang sama mereka kini bertungkus lumus untuk menghapuskan kuasa Melayu di negeri Pulau Pinang buat selama-lamanya.

DAP Pulau Pinang kini memulakan usaha ‘rezoning’ atau mengezon semula atau membuat garis persempadanan semula semua penempatan penduduk Pulau Pinang. Rancangan di sebalik itu ialah menjadikan semua kawasan majoriti pengundi Melayu berpecah menjadi secil-kecil dan tidak ada suara majoriti di semua tempat.

Untuk ini orang Melayu akan dipindahkan dalam bentuk kumpulan –kumpulan kecil dan diletakkan ketengah-tengah kawasan pengundi Cina . Manakala para pengundi Cina pula dalam bentuk kumpulan yang besar dipindahkan kekawasan penduduk Orang Melayu untuk menjadikan bilangan mereka melebihi bilangan penduduk Melayu. Cara ini bila pilihanraya nanti semua calon DAP dan pakatan mereka akan menang mudah.

Cara inilah yang telah dibuat oleh Lee Kuan Yew di Singapura sebaik saja dia keluarkan dirinya dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 lalu.

Kembali ke Pulau Pinang, rancangan Lim Guan Eng adalah 100% mengikut jejak Lee Kuan Yew. Saya mempunyai bukti , bahawa Lim Guan Eng hampir setiap minggu terbang ke Singapura mengadap Sifu atau guru besarnya bagaimana hendak menghapuskan kuasa politik Melayu di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng pernah terkeluar cakap kepada orang-orangnya di Pulau Pinang mengenai apa yang dituturkan oleh Lee Kuan Yew kepadanya semasa mengadap Sifu Agungnya di Singapura itu.Katanya Lee Kuan Yew berkata kepadanya..” You don’t worry I’ll teach you step by step”…ertinya ,jangan bimbang saya akan ajar kamu selangkah demi selangkah (bagaimana hendak menghancurkan pengaruh dan politik kaum Melayu di Pulau Pinang).selanjutnya sini

Petikan dari artikel Datuk Hj. Che Yazid bin Hj. Che Seman menceritakan grand design yang sedang berlaku di Pulau Pinang,malah cukup banyak bukti bukti yang sedang berlaku di negeri ini.Pisau mengharapkan melayu Pulau Pinang agar bangkit dan sedar apa yang sebenarnya yang diinginkan oleh Khalifah cina melaka ini.

Salah satu contoh terdekat,Yb Malik dari PKR akan menjadi mangsa apabila kesan rezoning berlaku di kawasannya sendiri, justifikasi untuk menolak YB Malik selepas ini kerana jumlah pengundi orang melayu kurang daripada pengundi cina,maka yang layak hanya mereka yang berbangsa cina menjadi calon wakil rakyat.

Satu lagi bukti, DAP sedang menjalankan gerak kerja untuk menghapuskan kuasa orang melayu di pulau sebelum PRU13 semata mata untuk tidak rela kalah.Pemimpin Melayu Pakatan Haprak yang ada hanyalah sekadar boneka,Banyak rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sedang dirancang pembinaan disebelah tanah besar.

Pisau cadangkan kerajaan pusat seperti SPNB supaya membina banyak rumah mampu milik di sebelah pulau dan pastikan 80% adalah milik melayu dan dikenakan syarat tidak boleh dijual.Jika tidak melayu hanya tinggal nama di Pulau Pinang.

Pisau katakan kenapa kerajaan pusat harus campur tangan dalam program perumahan yang dicadangkan ini kerana Pejabat Perumahan Negeri akan ditukar kepada Syarikat Perumahan Negeri dimana pengerusinya adalah berbangsa cina.Maka selepas ini permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah dan rumah kos rendah sederhana perlu mendapatkan sokongan dari YB YB dari DAP. Implikasinya mereka akan mengawal segala permohonan,jadi melayu akhirnya tidak akan mendapat apa apa .Pegawai kerajaan tidak mampu berbuat apa apa mereka hanya mampu menurut perintah.Segala polisi dan arahan untuk Pejabat Perumahan Negeri adalah datang dari kerajaan negeri yang kita sedia maklum dibawah kawalan sepenuhnya khalifah cina melaka Lim Guan Eng.

Rayuan Pisau kepada kerajaan pusat, berilah perhatian secara serius dakwaan ini. Perkara ini benar benar berlaku.Buat rakyat Pulau Pinang,bangkitlah,Pisau mohon dengan rendah diri agar bangkit dan bantah tentang polisi ini.

Pisau kata " bangkitlah,tolak perbezaan politik,kita hampir kepada tidak ada apa apa lagi di pulau pinang"