Thursday, May 5, 2016

Pemberi Rasuah Turut Berdepan Hukuman Berat - TI-M


 “…masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral, seperti kata pepatah, ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya.”

Oleh Dato’ Akhbar Satar
Presiden, Transparency International Malaysia

Apakah masyarakat tahu bahawa  perbuatan memberi rasuah  adalah  satu  jenayah?

Kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima  dan jika  disabitkan, seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjarakan dan didenda. Rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah. 

Terdapat juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah sahaja.

Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral, seperti kata pepatah, ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya

Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah merupakan kesalahan serius.

Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.

Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

SPRM juga telah melancarkaan  kempen membanteras rasuah dan  kini ia turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam. 

Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika sekiranya dalam proses pemberian tersebut ada unsur “niat jahat” untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima  sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu  pada masa akan datang.

Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ciri “niat jahat” boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah.

Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat merbahaya kerana penerima boleh menyimpan “evidence” yang mencukupi untuk digunakan  di masa depan dan sebaliknya si penerima jika sekiranya merasa terancam juga akan menggunakan maklumat yang sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta merta.

Apabila sesuatu melibatkan wang ringgit ‘kawan’ yang pernah tidor sebantal pun tidak dipedulikan

Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi SAW.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
          
     “ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka…”

Penulis juga   ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah.

Cuba elak  daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.

Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah di rancangan menerusi media massa.

Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran.

Dari sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah dari kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat-syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah S.W.T kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi,  kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak anaknya dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga hari akhirat kelak, tunggulah!

Cuba kita renungkan kes yang melibatkan bekas Pengerusi Pewaja apabila beliau dituduh menerima rasuah, anak dan isterinya telah melarikan diri ke England.

Katanya lagi semasa beliau kaya, apabila beliau meletakkan tangannya di atas meja terdapat 200 tangan  lain yang memberi sokongan tetapi apabila beliau dituduh di mahkamah tiada lagi kelihatan kawan kawan yang menyokongnya dahulu. Ini adalah akibat gejala rasuah.

Bayangkan darah yang mengalir dalam tubuhnya, dalam tubuh isterinya, anak-anak mereka, ibu bapa mereka merupakan darah yang diterima daripada rezeki yang haram.

Inilah satu perbuatan yang paling buruk, paling kotor , paling keji dan memalukan dalam masyarakat kita.

Kecenderungan ini iaitu rasuah berpunca dari cetek ajaran agama sebenar, kurang iman dan takwa,naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata.

Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah telah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan  keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.

Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan konomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.

Selalunya  wang rasuah akan dihabiskan dengan sekelip mata oleh anak cucu mereka kerana wang tersebut  diperolehi secara tidak berkat.

No comments: