Monday, July 13, 2009

AZMIN ‘PUKUL ANAK SINDIR MENANTU’

Oleh Zainal Yusof (citra _bangsa@yahoo.com)

APABILA Naib Presiden PKR, Azmin Ali mencadangkan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor, DAP mula terkejut. Namun Pas hanya berdiam diri tetapi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim khabarnya tidak dapat lena dibuatnya.

Sebenarnya, orang PKR semua tahu bahawa Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa adalah orang yang paling berkuasa dalam PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biasanya apabila Azmin bercakap, ia adalah suara Anwar Ibrahim. Disebabkan Anwar kini sedang sibuk untuk ‘melarikan diri’ dari pendakwaan tuduhan kes liwat terhadapnya, menyebabkan Azmin kedepan dalam hal seperti ini.

Azmin tentunya nampak kelemahan Khalid sebagai Menteri Besar. Azmin memang disebut-sebut bakal Menteri Besar Selangor bagi mengantikan Khalid tetapi Khalid menafikannya. Orang PKR tentunya tahu, Azmin lebih awal berada di dalam PKR jika dibandingkan dengan Khalid.

Namun Khalid diperlukan kerana Khalid antara jutawan yang banyak membantu Anwar dan PKR ketika Anwar dalam kesengsaraan sewaktu awal-awal dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Siapa juga yang membantu Anwar, Azmin tahu. Azmin adalah SUSK Anwar ketika Anwar menjadi Menteri dan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Hubungan Azmin yang rapat dengan Anwar menyebabkan apa yang Azmin cakap biasanya ‘itulah yang Anwar setuju’.

Tidak hairanlah kalau ramai yang meninggalkan PKR kerana mereka tidak ‘dapat menerima’ Azmin sebagai orang paling berkuasa dalam PKR.

Cubalah bertanya dengan Datuk Nallakaruppan, Mohd Ezam Md Nor dan Abdul Rahman Othman. Mereka tentunya boleh menceritakan ‘siapakah Azmin’ dalam PKR. Kalau menentang cakap Azmin, ibarat menentang cakap Anwar, cerita mereka.

Jadi, ada yang mengatakan jika Azmin mendesak supaya barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor dirombak, ia bukan satu kenyataan ‘diangin lalu’ sahaja. Desakan itu tentulah sudah dibincang terlebih dahulu dengan Anwar. Mustahil Anwar tidak tahu apa yang mahu Azmin perkatakan dan jika Anwar tidak tahu, belum pasti beliau tidak bersetuju dengan desakan itu kerana ia datangnya dari Azmin.

Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah tidak perlu terkejut. Jika Azmin lakukan ini, mungkin kerana Azmin mahu memberitahu Dap di Selangor, keberanian Azmin melebihi keberanian DAP di Kedah yang hanya bertindak keluar dari Pakatan Pembangkang sehanya seminggu.
Lagipun, jika DAP terasa dengan kenyataan Azmin, ia mudah diselesaikan yang mustahak mesej yang mahu Azmin sampaikan ialah kepimpinan Menteri Besar Selangor tidak bermaya, walaupun desakan merombak barisan Exco itu hanyalah dilihat sebagai ‘pukul anak sindir menantu’.

Azmin sebenarnya mendesak Khalid. Sama ada Khalid faham atau tidak, khabarnya lena Khalid kini sudah terganggu. Maklumlah, yang menegur kepimpinan ini bukan calang-calang orang.

Khalid tidak pernah gentar. Malahan, sergahan SPRM terhadapnya sudah dilawannya sampai saman-menyaman. Tetapi apabila Azmin yang menegur, Khalid sudah terbayang dia bakal ‘makan pencen’ dalam politik, serentak dengan desas-desus yang mengatakan dia bakal mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim bertanding di situ.

DAP pula beranggapan Azmin menyerang Ronnie Liu Tian Khiew yang bertanggungjawab terhadap PBT di seluruh Selangor. Apa yang Azmin bangkitkan ada hubungan kaitnya dengan perlantikan Ahli Majlis yang menimbulkan rasa tidak puashati PKR. Namun, DAP menyifatkan kesilapan PKR sendiri yang menyebabkan wakil PKR tidak dapat diisi sebagai Ahli Majlis.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berpendapat desakan merombak barisan Exco tidak terhad kepada Exco sahaja sebaliknya menukarkan Khalid dari jawatan Menteri Besar kepada orang lain kerana Khalid dianggapnya sebagai gagal melaksanakan tugasnya mentadbir negeri.

UIGHUR TENAT DIKEKANG HAN

Oleh Hafizahril Hamid (Mingguan Malaysia)

NASIB umat Islam sering saja tertindas terutama di kawasan yang mereka menjadi minoriti. Tidak kira di ceruk rantau mana mereka berada, ada saja konflik dan penindasan yang tercetus.

Kita boleh saksikan juga perkara sebegini berlaku di negara seperti Thailand dan Filipina yang mana umat Islam merupakan minoriti.

Begitu juga nasib umat Islam di negara-negara Barat seperti Perancis. Mereka ini dilayan seperti penduduk kelas kedua kerana mereka ini merupakan pendatang dari negara bekas jajahan seperti Maghribi dan Algeria. Maka tidak hairanlah berita kejadian rusuhan pada 2005 pernah menjadi sisi gelap bagi negara itu.

Namun semua kejadian ini tidak dinilai dengan bijak dan terbuka oleh China, sebuah negara yang bakal mendominasi landskap ekonomi dan politik dunia. Jika mereka mengkaji dan menilai apa yang berlaku di Palestin, selatan Thailand malah di Perancis pastinya nasib penduduk minoriti Uighur akan lebih baik dan terjamin memandangkan mereka ini juga sebahagian dari penduduk negara itu.

Mereka ini adalah penduduk asal dan menguasai wilayah Xinjiang namun kini mereka dipandang sebagai penduduk kelas kedua. Mereka ini bukan sahaja ditindas kerana agama tetapi lebih terarah kepada cubaan asimilasi dan dominasi oleh China.

Dalam kejadian terbaru di Urumqi dalam wilayah Xinjiang, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat. Mereka membantah kematian beberapa pekerja kilang alat permainan akibat perkelahian antara kaum Uighur dengan kaum Han China pada 25 Jun lalu.

Pada awalnya pertembungan pada Ahad lalu tercetus akibat kegagalan kerajaan mengendalikan pertikaian tersebut dengan adil hingga bertukar menjadi ganas. Maka tercetuslah pertempuran antara kaum Han dan etnik Uighur yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 156 orang terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera.

Tindakan ini dilihat sebagai yang paling berdarah selepas kejadian di Medan Tiananmen lebih 20 tahun lalu. China menuduh puak pemisah Islam Uighur menggunakan senjata pisau dan kayu belantan ketika mengadakan rusuhan.

Ratusan penunjuk perasaan dari kaum Han, kumpulan etnik utama di China, dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, paip besi dan batang kayu bertindak menyerang kedai-kedai milik kaum Uighur.

"Mereka menyerang kami, kini giliran kami untuk menyerang mereka," kata seorang lelaki Han.
Sebelum itu, sekumpulan wanita Islam Uighur yang bertudung bergelut dengan anggota polis bersenjata dalam protes berasingan di ibu kota itu.

Kira-kira 200 wanita menyekat sebatang jalan sambil menjerit bahawa suami dan anak-anak mereka telah ditangkap dalam operasi besar-besaran yang dijalankan oleh pihak berkuasa China ke atas kaum minoriti Islam itu.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, polis telah menangkap 1,434 suspek kerana disyaki terlibat dalam rusuhan tersebut.

Bagaimanapun di sebalik semua insiden ini pastinya kita tertanya-tanya kenapa peristiwa ini berlaku. Secara umumnya diskriminasi dan polarisasi kaum menjadi kata kunci kepada rusuhan ditambah pula rasa tidak puas hati akibat penindasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap kaum Uighur.

Wilayah Xinjiang yang mempunyai keluasan 1.6 juta kaki persegi dengan kepadatan penduduk 20 juta merupakan sebuah wilayah yang asalnya dikuasai oleh kaum Uighur. Nama wilayah Xinjiang yang bermaksud wilayah baru dalam bahasa Mandarin dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum Uighur. Mereka lebih suka jika nama yang membayangkan etnik mereka seperti Uyghurstan digunakan.

Wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Rusia bahagian utara serta Pakistan dan India di bahagian selatan turut menempatkan 47 etnik lain. Namun kaum Uighur yang kebanyakan bertutur dalam bahasa Turki menguasai dengan jumlah penduduk 8.3 juta.

Dari segi sejarah, wilayah ini telah banyak kali dijajah oleh China. Wilayah ini pernah muncul sebagai Turkestan Timur ketika berlakunya perang saudara namun China bertindak menyerang dan menguasai wilayah ini pada tahun 1949. Sejak itu wilayah itu diletakkan sebagai salah satu dari lima wilayah autonomi di China.

Bagaimanapun peningkatan mendadak kaum Han China di situ telah meningkatkan kemarahan kaum Uighur. Bayangkan dari hanya enam 6 peratus pada 1949 kini kaum Han telah meningkat kepada lebih 40 peratus penguasaan.

Ini jelas menunjukkan polisi yang diamalkan China bagi mengelakkan penguasaan kaum Uighur di wilayah itu selain dari mengelak sebarang kegiatan nasionalis berleluasa. Apatah lagi dengan kejayaan negara-negara bekas jajahan Rusia seperti Kazakhstan mendapat kemerdekaan pada 1990-an, China melihat usaha menempatkan kaum Han di wilayah ini sebagai satu keperluan untuk mengekang sebarang usaha-usaha berbentuk nasionalis dan kemerdekaan.

Gerakan mendapat kemerdekaan oleh puak Uighur ini telah diusahakan oleh Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) dan Parti Islam Turkestan (TIM). Kedua-dua kumpulan telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas dan didakwa pernah menerima latihan dan dana dari Al-Qaeda.

Bagi pemimpin demokrasi Uighur yang kini tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat (AS), Rebiya Kadeer beliau menganggap apa yang berlaku sekarang sebagai tindakan luahan perasaan marah penduduk asal.

"Apa yang saya lihat di sana ialah golongan muda tidak mempunyai pekerjaan, tanpa pendidikan dan tanpa harapan.

"Mereka tahu matlamat mereka tetapi pada masa yang sama mereka tahu tidak ada harapan untuk ia dipenuhi. Saya tidak menyokong tindakan ganas sebegini tetapi kemarahan seperti ini pasti ada sebabnya," kata Rebiya yang pernah menjadi antara orang terkaya di China sebelum disumbat ke dalam penjara selama enam tahun.

Kebanyakan perniagaan dikuasai oleh penduduk Han dan rumah-rumah penduduk Uighur telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kemasukan kaum Han. Kebanyakan peluang pekerjaan turut dikuasai oleh puak Han. Lebih menyedihkan budaya kaum Uighur telah diketepikan dan mereka kini umpama golongan minoriti yang terpaksa menumpang di wilayah sendiri walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Kaum Uighur mengatakan kebanyakan dasar-dasar kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka demi memberi tempat kepada penghijrahan kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang dan ini telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.

Dari segi kemanusiaan penindasan sebegini tidak seharusnya berlaku. Kaum Uighur hanya mahukan keadilan dan hak mereka dikembalikan. Namun laungan mereka ini tidak mendapat sebarang pembelaan dari kerajaan China. Sesungguhnya pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan kaum Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku.

Mereka perlu lebih peka dengan kehendak puak Uighur ini memandangkan mereka juga sebahagian dari penduduk negara itu. Adalah jelas, yang tertindas adalah puak Uighur kerana segala hak dan kepunyaan mereka ini dirampas hanya untuk memberi ruang untuk kaum majoriti Han yang menguasai China secara keseluruhan.

Sunday, July 5, 2009

Anwar tidak boleh tutup ketentuan ALLAH

Oleh Cyber1Trooper, AIDCclub

Pada 3 Julai lalu, Anwar dan peguambela masih meneruskan saki baki 'pertarungannya' untuk menangguhkan dan menggugurkan kes. Perbicaraan dalam perbicaraan sengaja dicipta oleh Anwar untuk mencapai maksud tersebut.

Hari ini juga mahkamah mendengar satu lagi pra perbicaraan berkenaan dengan permohonan dokumen. Hari ini juga keputusan akan dibuat, setelah kes itu sepatutnya dibicarakan pada 1 Julai lepas, terpaksa ditangguhkan kerana tiada kerjasama Anwar, katanya dia mahu ke parlimen, kerana urusan di parlimen lebih penting, maka pra-perbicaraan yang membabitkan permohonan dokumen terpaksa ditangguhkan mengikut kehendak Anwar.

Betulkah Anwar benar-benar perihatin kepada parlimen ? Kalau benar, kenapa pada masa lalu, Anwar sanggup tidak hadir ke parlimen, semata-mata untuk mengikuti sidang Amerika di Doha ? Dia beri alasan kononnya dia terlepas kapal terbang, walhal dari awal lagi Anwar sudah diketahui, bahawa persidangan Amerika di Doha, melepasi tarikh persidangan parlimen.

Tidak tahulah, keputusan berkaitan dengan 'permohonan dokumen' hari ini terpaksa ditangguhkan lagi, dengan Anwar memberi alasan lain pula. Lagipun sebelum ini, Sulaiman Abdullah, Ketua Peguambela telah memberi bayangan, bahawa dia tidak dapat hadir dalam perbicaraan hari ini kerana mempunyai tugas lain yang lebih penting.

Kalau Anwar dan peguambelanya menganggap perbicaraan memohon dokumen tidak penting, kenapa mereka bersungguh-sunguh failkan petisen memohon agar kes dokumen dibicarakan pada 10 Jun lalu ?

Apabila mahkamah mengambil respon terhadap permintaan Anwar dengan menetapkan tarikh perbicaraan (asalnya 1 Julai, ditangguh kepada 3 Julai), kenapa pula, Anwar dan barisan peguamnya mengambil sikap sambil lewa, seolah-olah tidak berminat meneruskan perbicaraan ini ?

Bermacam-macam alasan diberikan Anwar, sibuk dengan urusan parlimen, sibuk dengan mesyuarat PR, juga pelbagai alasan diberikan oleh barisan peguam Anwar, sibuk dengan urusan lain yang lebih penting, belum bersedia sepenuhnya dan sebagainya yang membawa maksud mahu tangguh menangguh kes ini. Lagi lama ditangguh, lagi bagus. Kalau boleh lakukan sesuatu agar kes ini tidak dibicarakan terus, barangkali itulah yang tersemat di hati kecil Anwar!

Berlainan pula dengan pihak mangsa, Saiful Bukhari, kita tidak mendengar, dia tidak beri kerjasama. Walaupun kadang-kadang dia merungut (seperti yang diluah di blognya), kerana Anwar berusaha menangguh-nangguhkan kes, namun Saiful akur dan menuruti setiap keputusan mahkamah.

Kita juga tidak mendengar apa-apa rungutan apatah lagi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak pendakwaraya, walaupun pada hakikatnya mereka juga seperti manusia lain, bosan dengan karenah Anwar yang mahu mengelak kes ini dibicarakan.

Tetapi kita sering mendengar kenyataan media yang dibuat oleh Anwar dan barisan peguambelanya (terutamanya Sankara Nair) di media, khasnya Malaysiakini. Sebab itu dari awal lagi, saya membuat rumusan bahawa Anwar silap memilih ketua peguambela yang sepatutnya diberikan kepada SN Nair, bukannya kepada Sulaiman Abdullah.

Tetapi kenapakah Anwar tidak memilih SN Nair sebagai ketua? Kenapa pula pilih Sulaiman Abdullah ? Anwar pun tahu ketidakupayaan SN Nair menjadi ketua, berbanding dengan Sulaiman Abdullah, sebab itu Anwar pilih Sulaiman, tetapi semua arahan Anwar disalurkan kepada SN Nair, bukan kepada Sulaiman Abdullah, hingga terjadilah konflik peribadi.

Kenapa terjadi begitu ? Sebenarnya Anwar sendiri dalam dilema untuk memilih antara 'menyediakan hujah-hujah kebenaran fakta' dengan 'hujah-hujah persepsi politik'dalam menghadapi kes pertuduhan liwat kali ini.

Ini kerana, Anwar telah belajar, faktor kekalahan kes liwat tahun 2000, apabila Christopher Fernando,(ketua peguambela Anwar ketika itu) hanya mengikut skrip yang disediakan Anwar, iaitu tidak menjawab soalan pendakwaraya, sebaliknya menyerang pendakwaraya dengan merekacipta satu hipotesis baru, iaitu, 'teori konspirasi'

Soalan pendakwaraya ketika itu, betulkah kamu (Anwar Ibrahim) meliwat Azizan Abu Bakar pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, di apartmen Sukma Darmawan (adik angkat kamu), di unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, Kuala Lumpur ?

Tetapi semasa diberi peluang menjawab, Anwar tidak menjawab soalan itu, sama ada betul atau tidak, sebaliknya, Anwar mencipta satu pertuduhan baru, semua ini TEORI KONSPIRASI.

Christopher Fernando, tahu jawapan Anwar itu akan menyebabkan Anwar tewas, kerana tidak menjawab soalan, tetapi Christopher juga tahu, dia dibayar oleh Anwar untuk mengikuti semua kemahuan Anwar. Menang atau kalah tidak penting kepada Christopher, tetapi yang lebih penting adalah bayarannya. Maka, Christopher,menggunakan kekuatan retoriknya, mengikut semua skrip yang disediakan oleh Anwar berhujah atas hipotesis baru Teori Konspirasi, walaupun gagal dibuktikan secara sah!

Sulaiman Abdullah yang bersama-sama team peguambela Anwar ketika itu tidak bersetuju, kaedah tidak menjawab soalan yang dicadangkan Anwar, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa, kerana dia hanyalah salah seorang peguam Anwar, ketuanya adalah Christopher Fernando.

Jadi harga yang mahal mahal diperolehi oleh Christoper adalah bayaran lumayan daripada Anwar serta dianggap hero oleh para penyokong Anwar, kerana berjaya 'menyambung lidah Anwar'. Tetapi Anwar juga turut mendapat harga paling mahal dalam kes itu, di mana dia telah tewas, dan dihukum penjara selama sembilan tahun!

Jadi berdasarkan pengajaran kes terdahulu, sekali lagi Anwar berada dalam dilema untuk memberikan hujah-hujah kebenaran yang sepatutnya disalurkan kepada Sulaiman Abdullah atau menyedia skrip politik lama,'Teori Konspirasi' yang disalurkan kepada SN Nair.

SN Nair adalah peguam kepercayaan Anwar, sebab itu dari SN Nair berambut (1998), hingga sekarang berkepala botak, SN Nair diambil menjadi peguam peribadi Anwar. Maknanya SN Nair merupakan khadam yang setia dengan Anwar, sanggup mengikuti apa sahaja skrip yang dibuat oleh Anwar, walaupun sudah diketahui skrip itu bakal membunuh majikannya sendiri.

Hari-hari terakhir sebelum barisan pendakwaraya mengemukakan bukti (sepatutnya 8 Julai ini), satu pengajaran lain juga kita dapat ketahui.

Pengajaran itu adalah Anwar adalah seorang yang suka menyalahgunakan kedudukannya untuk mencapai apa yang dikehendaki. Anwar mengarahkan barisan peguamnya, untuk berusaha mengubah keputusan mahkamah yang sebelum ini menetapkan 1-24 Julai sebagai tarikh perbicaraan. Anwar tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu dan menggunakan kekuatan wangnya telah mengarahkan para peguamnya untuk menggugurkan kes itu dengan mencipta beberapa perbicaraan kecil lain. Pada 10 Jun difailkan petisen perbicaraan kes dokumen dan pada 17 Jun pula dibuat lagi satu petisen baru iaitu memohon perbicaraan digugurkan. Inilah usaha-usaha terakhir Anwar untuk menggugurkan kes, menggunakan kekuatan kewangannya dan barisan para peguamnya.

Ini membetulkan semua tuduhan yang telah dibuat sebelum ini bahawa pada tahun 1997, Anwar Ibrahim telah 'menggunakan' kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membuat arahan kepada Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Mohd Said Awang, ketika itu untuk mengubah surat pengakuan bersumpah yang telah dibuat oleh Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar.

Tujuan Anwar 'mengarahkan' Pengarah Cawangan Khas untuk melakukan penyelewengan, mengikut kemahuannya untuk menggelakkan skandalnya dengan Shamsidar Tahrin, Sukma Darmawan dan Azizan Abu Bakar diketahui umum.

Jadi, kalau dahulu Anwar pernah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri, maka perkara sama dilakukan kini semata-mata untuk menutup skandalnya terbongkar.

Kalau dulu, Anwar bermati-matian mahu menutup kes dan tidak mahu kes itu dibicarakan, bagaimana pula dengan sekarang?

Anwar boleh tutup semua perkara untuk diketahui umum, tetapi Anwar tidak boleh tutup ketentuan ALLAH yang membukanya untuk diketahui semua orang!