NURHANANI ABDULLAH, Bandar Baru Bangi, Selangor
Utusan Online
SEBAIK sahaja membaca laporan berita mengenai kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'menghulurkan tangan' kepada Kerajaan Pusat, timbul tandatanya sejauh mana pemimpin itu ikhlas berbuat demikian.
Benarkah pemimpin yang terkenal dengan pendirian menjadikan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO 'musuh ketat' benar-benar serius atau sekadar menanam tebu di tepi bibir?
Sejarah menunjukkan Mursyidul Am Pas itu tidak pernah sebulu jauh sekali bersedia untuk bekerjasama dengan BN atau Pas.
Idea kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah oleh pemimpin itu lantaran BN atau UMNO disimpulkan bergelumang dengan dosa dan tidak layak bersama parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.
Lebih daripada itu, UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana kononnya parti itu menolak Islam.
Seolah-olah tidak ada satu pun dasar yang diperkenalkan kerajaan BN yang tonggak utamanya adalah UMNO bercirikan Islam.
Belajar daripada sejarah penolakan sebarang bentuk kerjasama Pas-UMNO oleh Nik Abdul Aziz, mendorong keyakinan bahawa kenyataan terbaru beliau pasti akan ada susulan negatif.
Dan ia terbukti benar hari ini. Di sebalik reaksi positif kalangan barisan pemimpin BN, Menteri Besar Kelantan itu menempelak UMNO. ''UMNO pergi jahanamlah''. Kata-kata sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa keluar dari mulut pemimpin Pas itu. Ayat-ayat lebih teruk daripada itu pun pernah dilontarkan oleh Mursyidul Am Pas tanpa ada rasa bersalah jauh sekali mahu meminta maaf.
Sebab itu apabila ada 'salam Pas untuk Kerajaan Pusat', sepatutnya tidak perlu ada reaksi positif atau mengalu-alukan kenyataan yang tidak diketahui paras keikhlasannya.
Barisan pemimpin kerajaan BN sepatutnya mengambil sikap 'biarkan, tunggu dan lihat'. Perlu juga dikaji apa sebenarnya motif tersembunyi di sebalik cubaan berbaik-baik itu sedangkan selamanya pemimpin Pas itu tidak pernah mementingkan semangat kerjasama dengan UMNO atau BN.
Sebelum Nik Abdul Aziz menghulurkan salam, beliau ada menekankan tentang perbezaan ideologi politik antara Pas dan UMNO terutamanya semasa pilihan raya kecil DUN Manek Urai hanya kerana 'pilihan raya'.
Tetapi hari ini nada Nik Abdul Aziz berbeza. Kesanggupannya bekerjasama dengan kerajaan BN kerana Perlembagaan menetapkan dasar Federalisme. Di bawah dasar itu, kerajaan BN mesti membantu membangunkan kerajaan negeri Kelantan.
Ini kerana, menurut Menteri Besar Kelantan itu, dasar Federalisme meletakkan beban dan tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri. Satu fakta yang tidak disentuh Nik Abdul Aziz adalah UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan BN. Paling penting pemimpin yang menerajui Kerajaan Persekutuan dari dulu sehingga kini adalah dari UMNO.
Mengapa tatkala mahu menjalin kerjasama semata-mata untuk mendapatkan ehsan kerajaan Pusat untuk membawa kemajuan kepada Kelantan, Menteri Besar itu mengetepikan fakta-fakta penting itu?
Mengapa untuk mendapat habuan berkepentingan sendiri, fakta UMNO berada dalam BN dipinggirkan? Bukankah BN itu mewakili UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lain yang tidak pernah diterima oleh Pas?
Pemimpin BN perlu belajar daripada insiden seperti ini yang ulang tayangnya bukan sekali malah berkali-kali.
Kaji dulu keikhlasan Pas sebelum menyambut salam yang dihulur. Lihat dulu sama ada tangan yang menghulur itu bersih atau bersalut dengan 'agenda negatif' yang tidak perlu menunggu lama untuk disaksikan kebenarannya.
No comments:
Post a Comment