Saturday, October 31, 2009

SATU DEMI SATU TINGGALKAN PKR KERANA CURIGA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(pengarang@utusan.com.my)


UMPAMA retak menanti belah. Peletakan jawatan bersiri pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengiyakan cakap-cakap tentang keretakan dalam parti itu.

Bukan saja PKR yang dilanda masalah. Rakannya Pas turut dijangkiti sindrom perpecahan. Semuanya itu kononnya berkaitan dengan agenda 'membersihkan' parti.

PKR tidak mahu pemimpin yang tidak mendokong agenda parti itu. Lantas tugas wakil rakyat yang dipilih untuk berbakti kepada pengundi dialih kepada orang lain.

Tindakan itu terbukti dalam kes wakil rakyat PKR bagi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang. Badrul Hisham Abdullah keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR.

Apakan tidak, ketika mencalonkan Badrul Hisham tidak berbangkit soal masalah kekuatan otak. Namun selepas membantu PKR mendapatkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap beliau.

Adakah calon PKR semasa pilihan raya umum lalu hanya tangkap muat? Adakah mereka tidak perlu diberi mandat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat?

Sebab itu selepas menjadi wakil rakyat, pemimpin tertinggi tidak peduli. Malah mendapat khabar anak buahnya meninggalkan parti, tiada rasa kesal sebaliknya segala kelemahan yang 'dipadamkan' daripada rekod menjelang pilihan raya lalu diungkit semula.

Itu sebahagian daripada masalah di Pelabuhan Klang. Sebahagian lagi punca, kata Badrul Hisham kerana tidak gemar dengan sikap berdolak-dalik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwatnya.

Itu sandiwara dalam PKR. Sandiwara yang bermula dengan keyakinan mahu membentuk kerajaan pada 16 September tahun lalu nampaknya bertukar plot.

Sandiwara mahu menawan wakil-wakil rakyat dari negeri di bawah bayu itu kini melalui jalan cerita berbeza. Di negeri itu, krisis keyakinan terhadap barisan pemimpin PKR terserlah.

Siapa sangka Datuk Dr. Jeffrey Kitingan meletakkan semua jawatan dalam parti itu. Dan bukankah gerakan yang bermula secara perlahan dan kini tidak dapat diselindungkan lagi menunjukkan bahawa PKR sememangnya bermasalah.

Sebab itu alasan mahu membersihkan parti semacam tidak mendapat tempat di kalangan ahli-ahli PKR yang kini semakin berani menoktahkan perjuangan yang masih hijau.

Keengganan mengakui kelemahan serta cubaan mahu menunjukkan bahawa parti itu kukuh dengan sokongan dua lagi rakan - Pas dan DAP, menyebabkan ada yang muak.

Apatah lagi dalam keadaan ada wakil rakyatnya mula mempersoalkan isu moral pemimpinnya, sedangkan sebelum ini istilah tersebut tidak lut dalam parti itu.

Mana pernah ahli-ahli parti itu mencurigai moral pemimpin mereka, biar pun yang pernah dipenjarakan kerana kesalahan menyanggah moral. Sebaliknya pemimpin itulah yang disanjung, dijunjung dan dilambung umpama 'malaikat' yang bersih daripada dosa dan noda.

Tetapi trend itu mula terhakis. Kecurigaan mula mengatasi kesetiaan kepada parti dan pemimpin menyebabkan mereka mula berani bertindak; salah satu caranya dengan meninggalkan parti.

Bukan soal kekeliruan dan kejutan berikutan perubahan yang disusun dalam kepimpinan PKR mendorong tindakan meninggalkan parti atau meletakkan jawatan.

Tetapi hakikatnya soal ketidakpercayaan orang kuat parti terhadap pemimpin yang diberi mandat sebelum ini menyebabkan ada rajuk yang tidak mungkin dapat dipujuk.

Lantas perubahan yang dikatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam kononnya dipersetujui sebulat suara amat diragui.

Bukankah sepakat membawa berkat. Tetapi dalam kes perubahan dalam PKR, kesepakatan itu membawa kepada siri perpecahan. Pastinya ada punca tunggal kepada perkembangan terbaru itu dan mungkin juga membawa kepada berita seterusnya yang akan diledakkan tidak lama lagi.

Sepatutnya agenda mahu membersihkan parti daripada golongan 'bermasalah' dalam PKR dimulakan di peringkat nama-nama besar dalam parti itu.

Ini kerana nama-nama besar itu semakin tidak mendapat tempat, hilang kepercayaan malah tidak lagi diyakini untuk menjadikan PKR terus relevan.

Siapakah nama-nama itu, semua orang tahu jawapannya.

Wednesday, October 28, 2009

TEORI DOMINO LANDA PKR

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (mStar)

NAMPAKNYA momentum teori domino dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kian memuncak apabila satu demi satu pemimpinnya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

Perkembangan terkini yang berlaku benar-benar menyerlahkan keadaan sebenar kepincangan yang meledak terutamanya dari aspek kepimpinannya.

Tak ubah seperti permainan domino, bila satu tiang itu dijatuhkan, maka jangkitannya bukan satu atau dua, sebaliknya implikasinya akan menyerang secara berantai.

Pergolakan yang berlaku dalam PKR semakin ketara bermula dengan pengumuman 'cuti politik' oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta selepas Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Malah laporan media sebelum ini juga ada menyebut kononnya hasrat Zaid untuk ke negeri itu tidak direstui oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Bagaimanapun Azmin menafikan mengenai perkara itu dan dakwaan kononnya terdapat pergeseran antara beliau dan Zaid.

Lanjutan isu Zaid yang mendakwa beliau dihalang daripada menghadiri program parti itu di Sabah, timbul pula isu konflik kepimpinan yang melanda PKR Sabah yang pada ketika itu diterajui oleh Azmin sebagai Pengerusi PKR negeri.

Kepimpinan Azmin dikatakan ditolak oleh pemimpin negeri itu yang mahukan anak tempatan menerajui PKR Sabah.

Menyedari kesan yang bakal berlaku jika perkara ini berlarutan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera membuat rombakan bagi jawatan pengerusi PKR negeri termasuk Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin dari Semenanjung.

Bagaimanapun kekalutan yang berlaku bukan sekadar 'ribut dalam cawan', apabila Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik.

Tindakan Dr Jeffrey jelas sekali memberi satu tamparan hebat kepada PKR dalam usaha mereka untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

Adalah dipercayai majoriti ketua-ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin dinamakan sebagai pengerusi PKR negeri minggu lepas selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Nampak permainan domino ini tidak terhenti begitu sahaja kerana dalam masa kurang 24 jam selepas Dr Jeffrey mengumumkan pendiriannya semalam, Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti hari ini.

Liew bagaimanapun berkata beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

Liew sebenarnya kecewa kerana selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi PKR Sabah diambil alih oleh Datuk Kong Hong Ming atas sebab yang tidak diketahui.

Belum sempat isu Dr Jeffrey diselesaikan, timbul pula isu Liew.

Perkembangan ini semestinya memberi tamparan hebat kepada PKR kerana pengaruh kedua-dua pemimpin berkenaan terutamanya di peringkat akar umbi cukup kuat.

Tambahan pula Dr Jeffrey tidak menolak kemungkinan menyertai semula Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai abangnya Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Jika Dr Jeffrey mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN), tidak mustahil beberapa ketua bahagian PKR yang lain serta penyokongnya akan mengikut jejak langkahnya.

Saturday, October 24, 2009

TEOH BENG HOCK : 'PEMBUNUH' HARUS DICARI DENGAN SEGERA

Semakin hari nampakya inkues kematian Teoh Beng Hock menjadi semakin rumit. Adakala ianya membosankan. Ianya nampak semakin caca marba dan dipolitikan.

Tambahan pula peguam yang mewakili keluarga Teoh iaitu Gobind Singh juga orang politik. Kehadiran ahli patalogi dari Thailand memberi keterangan semalam,sekali lagi menggemparkan dunia politik tanahair. Ronnie Liu dan Gobind tersenyum lebar semalam.

Malah Ronnie ,kelihatan sentiasa mengekori punggung Doktor berkenaan di mahkamah semalam. Seolah-olah beliau seorang Exco tiada kerja di pejabat. Masa berjam-jam dihabiskan di mahkamah.

Walaupun beberapa sahabat saya termasuk AIDC meragui Doktor berkenaan,kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa ahli politik pembangkang,tetapi saya mengambil sikap sebaliknya.

Saya boleh bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Doktor berkenaan,iaitu 80 % kemungkinan Teoh dibunuh. Tetapi dengan apa cara untuk dibuktikan dan siapa pembunuhnya ?

Tak lain tak bukan ialah,kubur Teoh harus dikorek kembali dan biarkan Doktor berkenaan membuat bedah siasat sekali lagi. Saya berharap pihak keluarga Teoh,peguam, DAP dan Kerajaan Selangor bersetuju untuk ianya dilakukan, bagi mencari keadilan. Jangan pula mereka,tidak bersetuju. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Oleh yang demikian ,mulai sekarang pihak berkuasa harus mengawasi kubur Teoh 24 jam,untuk memastikan tiada anasir-anasir jahat cuba mensabotajkan mayat atau kubur Teoh.

Selepas semua pihak bersetuju dan perintah mahkamah diperolehi untuk mengorek semula kubur Teoh,biarkan Doktor berkenaan melakukan pemeriksaan, dan sekiranya benar beliau mengatakan Teoh dibunuh,maka beliau harus mencari DNA siapakah yang ada dibadan Teoh.

Dalam masa yang sama sekiranya benar Teoh dibunuh,maka pihak polis haruslah menahan reman semua pegawai SPRM yang terlibat dalam kes Teoh, Ronnie Liu,Ean Yong Wah (majikan Teoh) dan Tan Bon Hwa. Soal siasat mereka habis-habisan. Sekiranya ada antara mereka yang mengaku terlibat,maka inkues harus ditamatkan dan dakwa mereka yang berkenaan. Tiada guna meneruskan inkues,jika ianya menjadi medan politik,bukan lagi menjadi medan mencari kebenaran.

Sekiranya tiada pembunuh yang dapat dikesan,maka tiada jalan lain,inkues harus diteruskan walaupun ianya membosankan.

Falsafah saya senang sahaja, yang benar tetap benar. Kebenaran tetap wujud walaupun memakan masa yang panjang. Berani kerana benar, takut kerana salah. Keadilan untuk Teoh harus dituntut. Dalam masa yang sama jangan lupa keadilan untuk Saiful Bukhari juga harus dituntut.

Sumber RBF & AIDC